Jumlah Paparan Halaman

31.10.11

LUPA DILUPAI.....

Pasukan bolasepak NS 2011 cemerlang

RAHANG, 30 Okt.  – Majlis sepetang Piala Malaysia sebentar tadi berlangsung dengan  meriah dan penyokong-penyokong pasukan Piala Malaysia, Hoben Jang Hoben berpusu-pusu ke Rahang Square bagi menyentuh piala prestij yang di impikan setiap negeri.

Di majlis yang sama, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, menteri besar Negeri Sembilan merangkap Presiden PBNS sebentar tadi mengumumkan tiada cuti umum pada hari Isnin dan kerja seperti biasa.

Beliau juga mengumumkan bahawa Piala Malaysia yang telah kembali di tangan Negeri Sembilan pada tahun ini akan di arak di setiap daerah di seluruh Negeri Sembilan dalam masa terdekat ini dan akan diumumkan selepas mesyuarat bersama EXCO PBNS.

Beliau juga  bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain malam tadi walau pun ketinggalan 1-0 pada minit ke 59, tetapi dengan disiplin dan fokus para pemain kemenangan ini berpihak kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang bermain baik.

Malah menurut beliau, kejayaan ini merupakan kejayaan bersama rakyat khususnya di Negeri Sembilan yang tegar dan tidak berputus asa menyokong pemain-pemain biarpun masa begitu singkat untuk mengejar gol Terengganu sama ada menonton di stadium mahu pun di rumah.

Beliau juga menjawab soalan wartawan mengenai imbuhan pemain, bahawa imbuhan itu akan diputuskan ketika mesyuarat  EXCO PBNS.

Berkaitan dengan keputusan akan mengambil pemain import pula, sebagai Presiden PBNS, beliau memberi mandat kepada  Azraai Khor Abdullah selaku ketua juru latih untuk memilih pemain berkaliber bermain di musim akan datang.

 Azraai Khor Abdullah pula mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan presiden PBNS kepadanya dan sedang dalam proses mencari pemain import dari Amerika Latin dan sedang menunggu senarai daripada perunding  yang ditugaskan.

Sebagai juru latih juga, beliau memuji PBNS yang diketuai oleh menteri besar yang sentiasa memberi kerjasama baik dari segi nasihat, peralatan latihan dan kebajikan pemain.

Biar pun beliau baru bertugas sebagai ketua juru latih dan sebelum ini tidak mendapat kepercayaan banyak pihak, tetapi keputusan perlawanan malam tadi menunjukkan bahawa cakap-cakap orang adalah tidak benar.

Beliau juga berpendapat, terdapat kelainan di dalam pentadbiran PBNS yang tidak sama seperti pengurusan persatuan bola sepak di negeri lain.

Menurutnya, ini  juga menjadi faktor kejayaan anak buahnya dalam kempen Piala Malaysia.

Hairuddin Omar yang ditemui sebentar tadi mengucapkan terima kasih kepada penyokong Hoben Jang Hoben yang juga faktor beliau berazam memberi persembahan permainan yang baik malam tadi.

Beliau tidak menafikan kejayaan pasukan malam tadi adalah berpunca dari sokongan peminat juga.

Sambutan meriah buat skuad JUARA PIALA MALAYSIA 2011 di hadapan Pejabat PBNS, Medan Rahang, Seremban petang semalam
CUIT SIKIT:
Muncul juara Piala Malaysia. Satu daripada 3 KPI PBNS tercapai. TAHNIAH.
Namun, sesuatu yang pembaca perlu ingat dan jangan sampai melupakan mereka ialah, Julai lalu sebuah kelab dari Negeri Sembilan yang bernama BETARIA FC telah muncul juara Piala FAM 2011. 
Muncul juara Piala FAM akan membolehkan kelab tersebut bermain di Liga Premier untuk musim 2012.
Dengan segala macam habuan dan imbuhan yang bakal diterima oleh skuad  Juara Piala Malaysia itu, adakah Juara Liga FAM yang merupakan pertandingan divisyen tiga negara ini mendapat layanan yang serupa?

Bebudak SUKMA pun mendapat habuan yang lumayan jika menang, inikan pula sebuah kelab dari negeri ini yang berjaya di peringkat nasional. Takkan terbiar begitu sahaja.

Dengar khabarnya, kelab tersebut akan bermain di Liga Premier tetapi tidak lagi membawa nama Negeri Sembilan. Sebaliknya, kelab tersebut akan bermain sebagai kelab yang bernaung dengan sebuah negeri yang berjiran. Sebab dan musababnya tidaklah diketahui secara rasmi. Tapi, aku fikir ini adalah berkaitan dengan pengiktirafan dan penghargaan yang sepatutnya diterima daripada pihak berkuasa bola sepak negeri.

Aku harap ianya tidaklah menjadi begitu. Biarlah mereka terus membawa nama negeri ini sebagaimana Kelab Terengganu T-Team itu. Semoga berita itu tidak benar.
Sekiranya berita itu benar, aku fikir adalah silap di mana - mana. Sebagai bapak, sepatutnya layanlah semua anak - anak kita dengan baik dan saksama. Jangan sampai anak tinggalkan bapak dan mencari bapak angkat di kampung sebelah.
JANGAN LUPAKAN JASA MEREKA WALAU PUN SEKECIL HAMA, KOCIK PUN PIALO, BOSA PUN PIALO. NAK DAPEK PIALO, KONO LA JADI JUARO. KOK DAH JUARO, TAKKAN KITO LUPOKAN PULAK.....

30.10.11

KISAH BOTAK.....

Negeri Sembilan juara Piala Malaysia

2011/10/29

SHAH ALAM: Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia selepas bangkit menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Terengganu mendahului menerusi jaringan Ashaari Shamsudin pada minit ke-59.

Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-81 apabila penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee, gagal menangkap kemas bola sepakan S Kunalan yang melantun di depannya.

Hairuddin Omar memastikan kemenangan Negeri Sembilan menerusi rembatan cantik pada minit ke-85.

CUIT SIKIT:
Seperti yang aku duga dan jangka, Terengganu tewas bukan kepada Negeri Sembilan. Terengganu tewas kepada tuah HAI-O, anak watan Setiu itu.
Bacalah posting sebelum ini bertajuk MENGGEGAR SHAH ALAM.
HAI - O dan Pertandingan Akhir Piala Malaysia ini mempunyai ikatan unik bermula 2009 lagi. Tahun berkenaan, beliau muncul sebagai pemain pinjaman untuk Negeri Sembilan dan menjaringkan gol kedua di pentas akhir untuk membantu Negeri Sembilan menang 3-1 ke atas Kelantan.
Tahun 2010 pula, beliau menyertai Kelantan dan menjaringkan gol penyamaan dalam laluan kemenangan 2-1 Kelantan ke atas Negeri Sembilan.
Malam tadi, bersama - sama Negeri Sembilan pula, HAI - O muncul lagi menjaringkan gol kemenangan. Malangnya, mangsa BOTAK DARI SETIU ini adalah TERENGGANU DARUL IMAN, negeri tanah tumpah darahnya sendiri. Namun, sebagai profesional, aku percaya HAI - O memahami konsep di mana langit dijunjung, di situ bumi dipijak.
Mana - mana pasukan yang ingin mencapai misi 3 atau 13 atau pun 33 pada musim hadapan, belilah HAI - O. Sebabnya amat mudah. Tahun hadapan, HAI - O akan berusia 33 tahun.
KOTAK BUKAN SEBARANG KOTAK,
KOTAK BARU BANYAK WARNA;
BOTAK BUKAN SEBARANG BOTAK,
BOTAK SETIU, HAI - O NAMANYA.

29.10.11

TERKINI DARI SHAH ALAM.....

Sahabat fb ES EM melaporkan seawal jam 4.30 ptg, penyokong tegar Negeri Sembilan telah memasuki Stadium Shah Alam.
ES EM di Stadium Shah Alam

Bolasepak Malaysia melaporkan di wall fbnya...
Ketika kedua2 penyokong mula memenuhi Stadium Shah Alam ,ulat tiket pon turut berleluasa..mereka menjual dgn harga RM45,lebih murah dr yg dijual FAM. menurut temubual, mereka mbeli tiket berkenaan di Kuala Terengganu..
 info daripada Pit Firdaus..


Yang menarik mengenai Bolasepak Malaysia
Lokasi : Tanah Tumpahnya Darahku
Latar Belakang :Page Liga Super Malaysia 2011 ditubuhkan pada 25.11.10. Kemudian pada 27.02.11 ianya digantikan dengan Page Bolasepak Malaysia.

CUIT SIKIT:

Itulah senario ringkas dari Stadium Shah Alam. Ulat tiket mencari makan. Namun, kali ini agak luar biasa kerana biasanya harga tiket dijual berlipat kali ganda mahalnya oleh ulat.

Kali ini, ulat menjual tiket dengan kadar harga lima ringgit lebuh murah berbanding harga FAM.

Aku fikir, langkah FAM menjual tiket pada harga RM 50.00 itu, turut tidak digemari oleh ulat. Sebab itu mereka sanggup menjual pada harga yang lebih murah.

Kok ulet pun tak gomar amo kau, takkan kau nak begar laie FAM OIIIII!

PENONTON KENA BAIKI PADANG.....


Baik pulih padang sebab tiket naik
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bukan sengaja mahu mencipta alasan, sebaliknya kos membaiki permukaan padang menjadi punca utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa meletakkan harga tiket kepada RM 50 bagi semua tempat duduk untuk aksi final Piala Malaysia esok.
Menurut sumber FAM yang enggan didedahkan, jika mutu padang Stadium Shah dalam keadaan baik, harga tiket untuk menyaksikan pertembungan Terengganu dan Negeri Sembilan, mungkin dapat direndahkan.
"Kerosakan padang di Stadium Shah Alam terlalu serius dan 20 peratus daripada hasil penjualan tiket akan digunakan untuk menampung kos membaiki padang.
"Atas faktor tersebut, selepas berbincang dengan kedua-dua persatuan negeri, FAM berpendapat RM50 adalah jumlah wajar bagi membayar kos kerosakan padang yang saya sifatkan agak tinggi.
"Ini ditambah lebihan keuntungan penjualan tiket itu akan dibahagikan kepada Terengganu dan Negeri Sembilan yang bermain di perlawanan akhir.
"Orang ramai perlu faham, walaupun penyenggaraan Stadium Shah Alam bukan di bawah tanggungjawab FAM, tetapi kerana telah menyewa untuk perlawanan akhir Piala Malaysia, FAM harus membayar kos kerosakan padang, bukannya Majlis Banda Raya Shah Alam (MBSA), " kata sumber tersebut ketika di hubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sumber FAM itu juga menjelaskan, terdapat sedikit tambahan dalam kos keselamatan untuk final di Stadium Shah Alam
"Pada tahun ini juga terdapat peningkatan dari segi penggunaan tenaga keselamatan iaitu daripada 1,600 pada tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil kepada 2,000 untuk final tahun ini.
"Jadi secara tidak langsung FAM terpaksa membayar kos keselamatan yang lebih berbanding sebelum ini, " ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, tiada cadangan untuk menurunkan harga tiket RM50 pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Ahmad Shah turut merayu supaya harga tiket dikurangkan.
Cuma isu tiket semahal RM50 sedikit reda di kalangan penyokong selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberikan subsidi, sementara Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) hanya menjual sebanyak RM 30 kepada peminat setia Hobin Jang Hobin.
Baki sebanyak 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam esok.
CUIT SIKIT:
Setahu aku, adat orang menyewa ni mudah aje. Apa - apa kemusykilan berkaitan perkara yang disewa akan ditanggung oleh pihak yang empunya.
Jika pihak yang menyewa itu menanggung kos pembaikan di atas kemusykilan itu, kos itu hendaklah ditolak daripada nilai sewaan.
Dalam kes sewaan Stadium Shah Alam dan padangnya, sekali lagi tanggungjawab membaiki padang adalah di bawah pihak PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam selaku pemegang amanah menjaga stadium berkenaan. Mungkin MBSA tiada bajet untuk membaik pulih rumput di padang stadium yang mahal tu.
Gamaknya, ekoran daripada ketiadaan bajet itu, aku fikir pihak MBSA telah menurunkan tanggungjawab untuk membaik pulih padang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang diPengerusikan oleh Datuk Hamidin Mohd. Amin selaku Setia Usaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor [FAS].
Aku fikir dalam hal ini, langkah menaikkan harga tiket final ke paras RM 50.00 adalah kerana adanya peranan FAS yang cuba menumpang tui untuk menggunakan kesempatan mendapatkan bajet membaiki padang menerusi jualan tiket final Piala Malaysia 2011.

Kerana itu, ketika sidang akhbar Isnin lalu, Setia Usaha Agung FAS itu turut mengumumkan Stadium Shah Alam akan ditutup sehingga Mac 2012 bagi kerja - kerja membaikpulih padang. Sesuatu yang ganjil sebenarnya. Sebabnya, beliau bukanlah Yang DiPertua MBSA selaku pihak yang sepatutnya bertanggungjawab kepada stadium berkenaan.

MAKA, akhirnya terjawablah kenapa dan mengapa FAM berkeras tidak akan menurunkan harga tiket walau pun mendapat teguran daripada Menteri Belia dan Sukan serta kedua - dua Timbalan Presidennya.

LEBIH teruk apabila wakil kedua - dua persatuan bola sepak negeri yang layak ke final ini, turut bersekongkol untuk menyusahkan penyokong mereka sendiri. Nasib baiklah kedua - dua negeri berkenaan mempunyai YAB MENTERI BESAR yang prihatin dan faham erti susah bagi rakyat jelata yang masih menyokong bola sepak MALAYSIA.

Lain kali kalau dah tahu sukarnya menjaga mutu padang bola sepak, JAGALAH sebaik mungkin dan jangan biarkan ia menjadi seperti ini.....

28.10.11

MENGGEGAR SHAH ALAM

Dengan segala usaha untuk memberikan subsidi harga tiket oleh kedua - dua pasukan, akhirnya dijangka lebih 60 ribu penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan akan berkampung sementara di Shah Alam pada 29 Oktober nanti. 

Menjelang sepak mula perlawanan akhir nanti, khabarnya pelbagai aktiviti akan diadakan oleh pihak penaja di perkarangan stadium. Tentunya ini berkaitan usaha untuk mempromosikan produk masing - masing.

Para penyokong juga pastinya bersiap sedia dengan segala macam sepanduk, poster dan pemidang gergasi untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing - masing.

Dengan tiba - tiba pertandingan akhir Piala Malaysia kali ini menjadi panas dengan isu padang dan isu harga tiket. Dijangka juga akan menjadi panas di dalam stadium kerana kedua - dua pasukan mempunyai penyokong yang gemar bermain mercun di khalayak ramai. Walau pun tidak sehebat penyokong Kelantan, aku jangka dentuman mercun dan bunga api akan muncul jua di stadium nanti kecuali, pihak keselamatan benar - benar membuat 100% pemeriksaan badan dan beg galas penonton. 

Barisan kemungkinan kedua - dua pasukan dijangka tidak berubah. Sama seperti peringkat separuh akhir dahulu. Tidak mungkin Ketua Jurulatih kedua - dua pasukan akan mengubah barisan yang telah membawa kemenangan sebelum ini.

Khabarnya, tiada kecederaan dan penggantungan pemain melanda kedua - dua pasukan. Jadi, inilah barisan kemungkinannya.....
Dan, aku memilih,
Sang Rusa untuk muncul juara buat kali ini kerana faktor pengalaman bermain di pentas akhir Piala Malaysia ini menyebelahi mereka. Buat Sang Penyu, anda bakal dimusnahkan oleh anak watan anda sendiri kali ini. Siapa lagi jika bukan HAI-O. Ya! HAI-O biasanya meledak di pentas akhir Piala Malaysia. Sabtu nanti, dia akan meledak lagi dan ledakannya akan membuatkan SANG PENYU MENANGIS.


CUIT SIKIT:

Disebalik membeli tiket pada harga subsidi, khabarnya akan muncul sepanduk bantahan terhadap FAM di stadium nanti.

Yang itu aku setuju. Anak muda yang agresif dan berjiwa kental perlu meluahkan apa yang tidak puas di hati anda. Dalamasa yang sama, luahkan juga apa yang anda puas hati.  Nyatakan juga TERIMA KASIH anda dalam bentuk sepanduk kepada Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri yang bersusah payah memberikan subsidi harga tiket tu.

TAHNIAH kepada anak muda yang berani berkata benar di khalayak walau pun hanya menerusi sepanduk. Teruskan niat murni anda itu. Biar FAM tahu bahawa bola sepak bukanlah hak ekslusif mereka sahaja. Bola sepak adalah milik kita bersama.

Untuk itu, sewajarnya FAM meletakkan harga tiket bukan sekadar mengikut kehendak tekak mereka tetapi hendaklah mengikut kemampuan rakyat marhain yang bukanlah anak bangsawan dan kaya. Bukan anak Tan Sri dan anak Datuk seperti anak - anak mereka.

Beritahu FAM, bahawa yang menjadi penyokong majoriti adalah anak muda berpendapatan kecil dari bandar, kampung dan juga rancangan FELDA. Juga ramai anak nelayan yang menjadi penyokong tegar bola sepak ini.

BANTAH jangan TAK BANTAH kenaikan harga tiket final yang tak masuk akal tu. Cuma satu yang ingin aku nasihatkan,
KALAU ASYIK BANTAH JE, BILA BICARA MAU HABIS DAAAAAAA!.....


27.10.11

FAM DAH MENANG DUA KOSONG.....

FINAL PIALA MALAYSIA 2011 Sabtu ini bagi aku adalah final paling koman pernah diadakan.

Pertemuan yang dijangka hebat diantara Terengganu dan Negeri Sembilan sudah meriah dengan pelbagai cerita.

Pertamanya, apabila Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup untuk memberikan laluan kepada kerja - kerja pembaikan trek, FAM memilih untuk mengadakan perlawanan akhir itu di Stadium Shah Alam. Kedengaran luahan dan cadangan pelbagai pihak supaya arena itu diubah. Bukan kerana tidak sukakan Selangor yang gagal mencapai misi 33 mereka. Hanya kerana keadaan padang stadium berkenaan yang tak semonggah [bahasa NS] dan kurang sesuai untuk perlawanan akhir.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan [JKPT] FAM telah memutuskan untuk tetap menganjurkan final itu di Shah Alam, Fullstop. Kata Pengerusinya, padang itu bukanlah teruk sangat walaupun tidaklah bagus sangat. Kata aku, padang itu sesuai sangatlah untuk final jika melibatkan pasukan soccerkid's dan superkid's.

Soal keselamatan juga menjadi faktor mengapa Stadium Shah Alam tetap menjadi pujaan hati Jawatankuasa Pertandingan itu.

Keduanya, jika penyokong kedua - dua pasukan ingin menontonnya di stadium, sila bayar RM 50.00, NOKTAH. Ada RM 50, beli tiket, masuk stadium dan menjeritlah sekuat hati menyokong pasukan anda. Kata Setiausaha Agung FAM, harga tiket itu masih murah jika dibandingkan dengan negara serantau.

Bab harga tiket ni memang menarik. Dilaporkan, Menteri Belia dan Sukan dan ramai peminat kedua - dua pasukan membantah harganya. Di fb Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden FAM ada tercatat rasa terkejut beliau berkenaan harga RM 50 itu. Bagi beliau, RM 30 sudah berpatutan.

Ketiganya, Kerajaan Negeri Terengganu yang kaya dengan hasil minyak tu awal - awal lagi telah memberikan subsidi 50% kepada pembeli tiket tu. Di Terengganu, harga tiket final cuma RM 25.00.

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan hari mengumumkan untuk menurunkan harga tiket ke paras RM 30.00. Bukan kerajaan negeri tetapi persatuan bola sepak negeri yang memberikan subsidi.....
CUIT SIKIT:

Aku angkat tabik kepada JKPT FAM.

Pertamanya kerana memikirkan soal keselamatan apabila memilih Stadium Shah Alam itu. Maknanya, selain Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam, stadium - stadium lain di Malaysia termasuklah stadium di negeri Presiden dan Timbalan Presiden FAM, TIDAK SELAMAT. Sebab itu mereka berkeras untuk mengadakan final itu di Shah Alam. Bukan di lain - lain stadium yang padangnya lebih baik berbanding di Shah Alam.

Keduanya, FAM telah menang pertandingan akhir ini. Kedua - dua pasukan yang bertanding terpaksa meraba kocek seluar dan saku baju untuk memberikan subsidi harga tiket kepada penyokong mereka. FAM tetap masyuk. Terengganu dan Negeri Sembilan yang sepatutnya mendesak supaya diturunkan harga tiket, terpaksa pulak memberikan subsidi. Dua - dua kalah serentak.

Ketiganya, FAM masih punya jawapan yang tidak cerdik apabila membandingkan harga tiket itu dengan negara - negara serantau. Kata aku, jika di Indonesia harga tiket mahal memang patut pun. Di sana, setiap pasukan ada enam tujuh orang pemain import. Pengadil pun mereka import.

Liga kita yang ada hanyalah pemain tempatan yang kadang kala ada "class" kadang kala tidak. Pengadil pun kadang kala gila meroyan di tengah padang.

Selamat berbahagia FAM dengan karenah anda!

Nota kaki dari fb kelab penyokong NS:
BERITA : PBNS sah turunkan harga tiket RM50 kepada RM30 untuk penyokong N9. Pengorbanan PBNS menggunakan dana persatuan untuk meringankan beban penyokong2nya. Tahniah dan terima kasih DATUK SERI UTAMA MOHAMMAD HASSAN

26.10.11

POKETKU HABIS BINASA.....

Penyokong NS tetap beli tiket
SETIAP kali aksi final Piala Malaysia, pasti ada isu tiket. Jika sebelum ini penyokong tidak dapat membeli kerana tiket habis dijual, kali ini ceritanya harga tiket mahal, lapor RAIS YEOP JOHARI.
Begitupun, sebilangan besar penyokong Negeri Sembilan tiada mempunyai pilihan, malah terpaksa akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membeli harga tiket pada harga yang agak mahal demi menyaksikan aksi final Piala Malaysia di Stadium Alam, Sabtu ini.
Kata mereka, bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini dan aksi final adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu dek kerana minat mereka tetap menyaksikan pasukan kesayangan, sekali gus mengenepikan isu harga tiket.
Seorang peminat, Farizi Mohd., 20, berkata, FAM sepatutnya mengambil kira semua faktor termasuk kemampuan orang ramai.
"Rata-rata yang peminat bola sepak tempatan ini adalah golongan yang berpendapatan sederhana dan di kalangan belia yang masih belajar.
"Penonton yang datang tengok Piala Malaysia dengan mereka yang datang menyaksikan perlawanan persahabatan kelab gergasi England (EPL) baru-baru ini adalah golongan yang berbeza," katanya.
S. Anand Raj, 32, pula berkata, setiap kali Negeri Sembilan berjaya ke final Piala Malaysia, dia tidak pernah ketinggalan menyaksikannya.
Ujarnya, walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan FAM itu dia tidak mempunyai pilihan, membeli pada harga yang telah ditetapkan.
Bagi Khairulzzaman Mohd. Yusof, 31, keputusan FAM itu dianggap terlalu membebankan penyokong.
"Kami bukannya orang senang, nilai RM50 amat besar buat kami yang berpendapatan kecil," ujarnya.
Penyokong setia Hoben Jang Hoben mula berkumpul di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kira-kira sejam sebelum tiket dijual pada pukul 5 petang semalam.
Dalam pada itu, lain pula kisah sekumpulan penyokong yang kecewa dengan isu harga tiket tersebut apabila memboikot penjualan tiket.
Antara luahkan mereka menerusi poster kecil berwarna kuning yang dipegang: 'Poketku habis binasa', 'FAM cekik darah' serta 'penyokong profesional'.
CUIT SIKIT:

Binasa atau tak binasa, bola tetap bola. Walau pun dalam tempoh seminggu ni hujan kerap turun di Negeri Sembilan yang menyebabkan aktiviti menoreh getah tergendala, tiket bola tetap dibeli.

Penangan bola terutamanya apabila ianya Pertandingan Akhir Piala Malaysia. Kerana minat dan sentimen kenegerian, tiket mahal pun tetap ada pembelinya. TERPAKSA. Memang terpaksa. Takkan nak biarkan pasukan NS bermain tanpa sokongan.

Dalam hal ini, FAM telah menang satu kosong ke atas penyokong Negeri Sembilan. Itulah untungnya menjadi tokey.
POKETKU HABIS BINASA?
WAKA WAKA ...THIS IS THE TIME FOR SHAH ALAM.....

24.10.11

MASYUK BEB MASYUK.....

Akhirnya, semua permintaan untuk menukar arena final Piala Malaysia, ditolak oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Stadium Shah Alam tetap menjadi pujaan hati. Biar pun keadaan padangnya boleh dipersoalkan. Biar pun kedua - dua finalis tidak berpuas hati. Biarlah semua tidak berpuas hati, asalkan Jawatankuasa berkenaan berpuas hati cukuplah.

Alasan mudah ialah, selain Stadium Nasional Bukit Jalil, tiada lagi stadium di negara ini yang mampu menampung lebih enam puluh ribu penonton kecuali Stadium Shah Alam. Justru, keadaan padang stadium berkenaan yang dilaporkan teruk dan buruk oleh Nadi Arena semalam ditolak ke tepi.

Pengurusan Stadium Shah Alam hari ini turut berjanji akan memperbaiki keadaan padang dalam tempoh seminggu ini. Jika gagal memenuhi janji itu pun, final Piala Malaysia tetap akan berlangsung pada Sabtu ini. Arenanya pun tetap tidak berubah.

CUIT SIKIT:

Jika final nanti tidak mempamerkan kualiti permainan yang tinggi, jangan salahkan Ketua Jurulatih dan pemain. Salahkanlah mutu padang final itu.

Yang penting bukan kualiti padang tetapi jumlah yang bakal masyuk dengan kadar tiket RM 50.00 itu. Dengan 65,000 keping tiket bakal terjual, FAM bakal mengutip RM 3.2 JUTA Sabtu ini.

Setelah ditolak kos pengurusan pertandingan, kedua - dua pasukan akan berkongsi bakinya. Mungkin hampir SATU JUTA juga yang bakal masuk ke kantung Terengganu dan Negeri Sembilan. Tak mengapa bermain di atas pasir pun asalkan masyuk.

MASYUK LEBIH PENTING DARIPADA KUALITI PADANG.....Lantak kau le beb.

23.10.11

BUAT KALI KETIGA.....

HATTRICK NS.....

Negeri Sembilan berjaya lagi ke pertandingan akhir Piala Malaysia. Kemenangan 2 -1 di Seremban ke atas T- Team malam tadi, sekadar pelengkap kepada laluan yang telah terbuka sejak kemenangan di Kuala Terengganu pada 18 Oktober lalu.
Gol gol perlawanan antara Negeri Sembilan dan T Team telah dijaringkan oleh Mohd Fitri Omar pada  minit ke  72 untuk meletakkan  T Team mendahului Negeri Sembilan.Seminit kemudian Negeri Sembilan membalas melalui Shahurain Abu Samah di minit ke  73. Pada minit ke 80 Muhd Shukur Adan (ketua pasukan) menanduk  bola masuk dan menjadikan agregate 6 -3 sehingga tamat permainan dan melayakkan Negeri Sembilan ke perlawanan akhir bertemu Terengganu.
Skuad Terengganu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya menewaskan Selangor 2-1 (agregat 4-1).
CUIT SIKIT:

NS ternyata sangat bertuah musim ini. Setelah mengharungi Liga Super dan Piala FA dengan langkah sumbang, Piala Malaysialah satu - satunya yang bakal pengubat lara penyokong tegar skuad Hobin Jang Hobin ini.

Bukan mudah buat mana - mana pasukan untuk kekal mencabar di peringkat akhir ini buat 3 musim berturut - turut. Bermula 2009 hingga sekarang, NS adalah pasukan yang sangat sinonim dengan final Piala Malaysia ini.

Dua tahun berturut - turut bertemu Kelantan, kini giliran Juara Piala FA Terengganu pula menjadi lawan beradu tektik dan teknik di padang. Bergilir mengusung piala bersama Kelantan, kini masa dan waktu yang tepat untuk Piala Malaysia kembali semula ke Negeri Adat Perpatih ini.

Merampas semula Piala Malaysia adalah KPI pasukan NS. AYUH! Buktikan anda memang bersedia untuk mencapai KPI berkenaan. Tidaklah seumpama misi di dalam mimpi seperti pasukan jiran kita tu.

22.10.11

MENCARI SISA - SISA TUAH.....

Malam nanti, samada hujan atau tidak, separuh akhir kedua Piala Malaysia akan berlangsung. Dua pasukan tuan tumah, Terengganu dan Negeri Sembilan akan turun untuk menghabiskan baki 90 minit pertarungan dengan cara bermain selamat. Asalkan tidak kalah, sudah cukup buat kedua - dua pasukan.

Pencabar mereka, Selangor yang bermisi 33 dan Kelab T-Team berkunjung ke arena lawan dengan defisit dua gol. Dilihat amat sukar buat kedua - dua pasukan untuk bangkit di arena lawan yang pasti tidak menjanjikan syurga buat mereka.

Terengganu tidak pernah tewas kepada Selangor di Kuala Terengganu sejak tahun 2002. T-Team pula, telah kalah tiga kali musim ini kepada Negeri Sembilan. Apa lagi yang mereka cari, selain daripada mencari sisa - sisa tuah perjuangan, yang telah mereka biarkan berlalu di arena sendiri Selasa lalu.

Gagal memenangi perlawanan di tempat sendiri pastinya mengundang padah buat kedua - dua pasukan. Tragedi pasti menimpa Terengganu dan Negeri Sembilan, sekiranya keputusan malam nanti tidak memihak kepada mereka.
CUIT SIKIT:

Aku mengharapkan agar tiada lagi komen Ketua Jurulatih Selangor  yang menyalahkan bola kurang angin seperti tempohari.

Jika kalah, adalah lebih baik sekiranya mengakui akan kehebatan lawan. Mungkin usaha pihak lawan adalah lebih baik berbanding pasukan anda. Akuilah bahawa pasukan anda tidak sekuat mana pun.

Hanya misi sahaja yang lebih. Persediaan untuk menjayakan misi berkenaan tidak menampakkan kesungguhan untuk mencapainya. Masalah pasukan bermisi ini ialah mereka masih bermimpi seperti tahun 1980'an dahulu.

Mereka sangka mereka masih gagah. Sebab itu pemain yang mereka pinjam untuk Piala Malaysia ini hanyalah penjaga gol dan pemain midfield. Sepatutnya mereka mencari penyerang tulen untuk mengisi kekosongan yang sekian lama tidak terisi sejak ketiadaan Shafee Sali.

Kerana gemar bermimpi itulah, misi mereka hampir gagal di peringkat kumpulan tempohari. Selamat maju jaya buat yang terbaik. Buat yang bakal tercicir malam ini, sejarah lampau tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan masa hadapan.

SELANGOR! Tuah ada tetapi malang sampai dahulu. Anda kecundang!

20.10.11

BOLA KURANG ANGIN.....

Semalam 19 Oktober menerusi slot FORMASI di Astro Arena, telah dibincangkan pelbagai aspek meliputi kejayaan dan kegagalan lapan pasukan yang telah bermain di peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia 2011.


Semuanya menarik. Moderator program, Zainal Abidin Raub dan Ahli Panel, Hj. Abd. Rahman Ibrahim selaku Ketua Jurulatih PKNS FC dan Richard Schully, Jurulatih Penjaga Gol Harimau Muda telah menjayakan program itu dengan menarik.


Tetapi, temubual menerusi telefon dengan Ketua Jurulatih Selangor, En. P.Maniam benar - benar memberikan aku pengalaman baru. Tanpa rasa bersalah, beliau menjawab punca kekalahan Selangor di tangan Terengganu adalah kerana:-

  1. Kegagalan Shafiq Rahim dan D.Surendran menyempurnakan sepakan percuma akibat BOLA KURANG ANGIN.
  2.  Selangor cuma mengharapkan situasi bola mati untuk mendapatkan gol kerana tidak mempunyai striker.
CUIT SIKIT:

Nampaknya benarlah pendapat aku menerusi posting sebelum ini. Selangor bermain bola sepak menggunakan strategi permainan hoki.

Jika tidak mampu mendapatkan gol padang, carilah gol menerusi sepakan percuma atau sepakan penalti.

Sekiranya usaha untuk mendapatkan gol menerusi bola mati itu gagal, maka marilah kita mati bersama - sama.

Kepada En. P.Maniam, aku ucapkan selamat maju jaya kerana anda telah dengan yakin dan pastinya mengesan keadaan bola kurang angin dari luar padang.

Untuk musim hadapan, aku cadangkan kepada pemain bola sepak supaya menggunakan pula sistem badminton. Apabila bola didapati tidak sesuai, maka mohonlah kepada pengadil untuk menukarnya dengan yang baru.

En.P.Maniam boleh menjadi urusetia bola di setiap perlawanan.

Macam ni punya DOL, pun ada.....PIRAHHHHHHHHHHHH!

18.10.11

MAIN BOLA, STRATEGI HOKI.....

Terengganu dan Negeri Sembilan semakin pasti akan bertemu di final Piala Malaysia 2011. Dua gol agregat yang diraih di arena lawan, sudah cukup buat penyokong kedua - duanya, menempah bas rombongan ke Shah Alam, 29 Oktober nanti.

Kedua - dua pasukan datang dari kumpulan B peringkat kumpulan. Situasi yang sama musim lalu di mana dua finalis, Kelantan dan Negeri Sembilan bermain di kumpulan A.

Rekod peringkat kumpulan menunjukkan Negeri Sembilan menang satu gol kosong di Seremban dan seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu. Namun, rekod hanyalah sebagai rujukan dan tidak akan memberikan apa - apa kelebihan apabila mereka bertemu lagi di final nanti.

CUIT SIKIT:

Misi 33 Selangor sudah boleh dianggap tamat di Shah Alam sebentar tadi. Masalah sebenar Selangor bukanlah kerana kekurangan dorongan dan habuan. Masalah Selangor hanyalah kerana mereka bermain dengan menggunakan satu penjaga gol, empat pertahanan dan enam pemain tengah. Tiada penyerang tulen.

Satu atau dua pemain tengah itu akan menjadi penyerang sambilan [part time]. Biasalah, sebagai part timer, kekadang berjaya, kekadang tidak. Selalunya yang dilakukan secara part time ini tidak menjadi.

Tanpa penyerang tulen, Selangor cuba bermain ala hoki. Permainan hoki amat mudah. Jika anda gagal mencari gol padang, carilah gol menerusi pukulan sudut penalti.

Hal yang sama cuba dilakukan oleh Selangor.  Mencari peluang jaringan gol menerusi situasi bola mati menerusi Shafiq Rahim. Apabila tiada situasi bola mati, maka mati jugalah peluang untuk mendapatkan gol. Matinya peluang mendapatkan gol, mati jugalah misi 33.

Menerusi siaran TV, Yunus Alif selaku Ketua Jurulatih T- Team pula nyata menyalahkan penjaga golnya, sebagai punca kekalahan 2-4 pasukannya di tangan Negeri Sembilan.

"Penjaga gol saya terlalu takut dengan Hai-O yang berkepala botak tu", ulas beliau usai perlawanan.

Kepada JANG NS dan AWANG GANU, tempahan baas rombongan ke Shah Alam, dibuka sekarang.

Keputusan Separuh Akhir 1 adalah seperti di bawah....



17.10.11

SEPARUH AKHIR.....

CUIT SIKIT:

Jika tidak ke stadium pilihan anda, tontonlah menerusi tv di rumah, di kedai mamak, di bistro, di warung tomyam atau di mana - mana sahaja. Asalkan.....

Asalkan TIDAK MERBAHAYA kepadaa NUSA dan BANGSA.

Jika tak tahu juga nak lepak kat mana, datang je kat gerai aku di D11, Night Town Nilai, sabtu ini.

Kita tengok skrin kecik NS vs T-Team.

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH