Jumlah Paparan Halaman

22.10.12

TELUR REBUS PUNYA KISAH.....

BerhuluCamp di Jeram Kenangan, Kampung Serting Hulu, Jempol sekali lagi telah menemukan aku dengan sejumlah rakan baru.
Pada 12 hingga 14 Oktober lalu, aku berhadapan dengan 84 orang pelajar – pelajar semester pertama dari Politeknik Nilai. Program Kem Senyuman Alam memerlukan aku memikirkan idea baru secara spontan untuk menguji mereka.
Sabtu 13 Oktober, ada 9 biji telur rebus tidak diambil oleh pelajar Diploma Perbankan Islam itu. Memikirkan, betapa ruginya jika telur rebus ini tidak dimanfaatkan, aku bahagikan lapan biji telur berkenaan kepada seorang lelaki dan seorang perempuan untuk 4 kumpulan.
Aku hanya menyerahkan kepada 8 orang yang bertuah tanpa apa – apa komen dan arahan. Apa yang aku fikirkan, pakej yang diambil kali ini tidak menyediakan kudapan jam 10.30 pagi, sedangkan mereka bakal berhadapan dengan cabaran merentas halangan yang bukan mudah untuk diatasi. Pasti lapar. Tambahan pula cuaca amat sejuk kerana hujan pada malam sebelumnya.
Biar pun merentas halangan itu tidaklah melibatkan acara tali temali, tetapi, berhadapan laluan yang melibatkan tanah, air dan lumpur, pasti mencabar fizikal para peserta kursus berkenaan.
Justru, apa yang aku fikirkan ialah, sekurang – kurangnya ada dua biji telur rebus pada setiap kumpulan dan boleh membantu mereka apabila terasa lapar. Sebabnya, modul merentas halangan itu bakal berlangsung selama tiga jam tanpa henti. Setidak – tidaknya, ada dua orang bagi setiap kumpulan yang lebih bertenaga untuk membantu rakan – rakan lain sekiranya diperlukan.
Pagi Ahad di hari hari terakhir program, para peserta bakal dibawa ke Jeram Kenangan untuk program Kembara. Biar pun tidak melibatkan pencarian dan ckeck point, program itu memakan masa hampir tiga jam dengan laluan mendaki dan menurun bukit yang juga mencabar fizikal dan minda.
Usai sarapan pagi, aku dapati ada 28 biji telur rebus yang tidak diambil oleh peserta kursus. Dan, sekali lagi aku bekalkan mereka dengan telur rebus kerana sekali lagi, tiada kudapan jam 10.30 pagi disediakan.
Pagi Ahad yang meriah itu, berakhir dengan rumusan program yang bermula sekitar jam 11.30 pagi.
Perkara pertama yang aku tanya pastinya di mana telur rebus yang diberikan bermula pagi Sabtu itu. Hasilnya, satu biji, pecah berderai tetapi masih tersimpan di poket perserta. Tiga biji dimakan oleh seorang peserta lelaki dan dua peserta perempuan. Bakinya, masih elok tetapi tidak mencapai matlamat dan tujuan sebenar aku membekalkan mereka dengan telur rebus itu.
Ya! Hasrat aku, makanlah telur berkenaan di masa anda lapar kerana ia boleh memberikan tenaga segera. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Malangnya, hampir kesemua 36 orang yang bertuah dan bernasib baik mendapat telur rebus berkenaan, menganggap telur berkenaan adalah satu amanah yang perlu dijaga di sepanjang kursus. Bukannya sebagai bahan makanan ketika menjalani program yang mencabar fizikal.
Ketahuilah, di BerhuluCamp, kami tidak mengamalkan budaya mengusung telur ke hulu ke hilir kerana ‘perangkap’ kami bukan pada telur. ‘Perangkap’ kami, muncul pada slot DADU & RACUN.
Biasanya, jika gagal di slot DADU & RACUN, diakhir rumusan, ramailah peserta yang menitiskan ‘airmata tengahari’ tanpa disogok dengan ayat – ayat jiwang yang meruntun kalbu.
CUIT SIKIT:
Andainya mereka tahu bahawa, Sebutir telur memiliki 8 gram protein, nutrisi yang sangat penting untuk menjaga kulit dan membentuk otot yang kuat, pastinya 36 biji telur rebus itu tidak disia – siakan begitu sahaja.
Morale of The Story,
JANGAN PERSIAKAN SEBARANG PELUANG YANG TIBA kerana mungkin ianya hanya datang sekali di dalam kehidupan kita.
JANGAN SAMAKAN Program BerhuluCamp dengan program – program lain yang pernah anda lalui. Kami tidak menggunakan telur sebagai ujian kesetiaan. Sebaliknya, kami hanya menggunakan dadu.
DAN, Tempat Terbaik Untuk Menyimpan Telur Rebus Adalah Di Dalam Perut. Bukannya di dalam khemah atau pun di dalam poket.
Khasiat telur rebus seterusnya boleh dibaca di,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH