Jika tiada sebarang pindaan, Liga Malaysia 2013 bakal berlangsung awal Januari dengan pertemuan sumbangsih pada 5 Januari, Kelantan lawan ATM [kemungkinan].
Kelantan gah dengan 3 Juara. Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia telah selamat bermukim di Kota Bharu. Sekurang - kurangnya untuk tempoh setahun.
Musim 2012 menyaksikan hanya ada 3 pasukan yang merasa nikmat menjulang piala. Selain Kelantan, ATM menang Liga Premier dan Negeri Sembilan menang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Perlawanan Sumbangsih pembukaan Liga Malaysia 2012. Tiga lagi pasukan yang hampir - hampir menjulang piala adalah Lions XII [ Naib Juara Liga Super ], Pahang [ Naib Juara Liga Premier ] dan Sime Darby [ Naib Johan Piala FA ].
Jika hanya menang satu piala, di mana meriahnya NS? Memang tahun 2012, NS hanya menang satu piala. Tak meriah pun. Tetapi, musim 2013 bakal menyaksikan NS adalah satu - satunya negeri yang mempunyai wakil di semua liga.
Yayasan Negeri Sembilan [ YNS ] khabarnya bakal beraksi di Liga FAM. Bersaing dengan 3 negeri. Perlis, Pulau Pinang dan Melaka sepatutnya tidak bermain di sini. Tetapi, itulah hakikatnya. Jika tiada perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri, ketiga - tiganya dijangka bakal bermain lebih lama di Liga FAM.
Selain YNS, muka baru di Liga FAM adalah Perlis, Kedah United dan Cebagoo FC dari Sabah. Lain - lain pasukan adalah Melodi Jaya [ Johor ], SDM Kepala Batas [ Pulau Pinang ], Perbadanan Bekalan Air [ Pulau Pinang ], UiTM FC [ Selangor ], Tentera Darat [ ATM ] dan Shahzan Muda [ Pahang ].
Juara Liga FAM 2011, Betaria FC sudah turun ke Liga FAM 2013 tetapi terselamat apabila MP Muar menarik diri dan Betaria menang 'playoff' kedua ke atas UiTM FC.
Pencabar lain tentunya Kedah, Kuala Lumpur, Johor FA, Sabah, Sarawak, USM, Sime Darby, SPA, PDRM, POS dan Harimau Muda B.
Semoga Betaria bakal muncul sebagai pencabar serius di Liga Premier. Bukan sebagai pasukan belasahan.
PBNS atau NS adalah pelengkap kepada meriahnya cabaran NS di Liga Malaysia 2013. Selain cabaran 7 pasukan negeri, Liga Super 2013 bakal dimeriahkan oleh 5 pasukan bukan negeri yang juga amat serius untuk menjuarai Liga Super.
Cuma, pastinya bakal timbul tandatanya bagaimana prestasi NS setelah ditinggalkan oleh Azraai Khor, Farizal Marlias, Shukor Adan dan S. Kunanlan. Itu 4 nama yang setakat ini telah mengesahkan bakal mencari cabaran baru bersama pasukan lain. Mungkin ada lagi perpindahan bakal berlaku terutamanya melibatkan pemain import.
Pada ketika ini,dikhabarkan NS bakal mendapat sentuhan Ketua Jurulatih Import dan juga pemain import baru.
Harapan semua:
Biarlah musim 2013 menjadi tanda aras transformasi bola sepak NS. Semoga musim 2013 menjadi titik tolak kebangkitan pasukan - pasukan dari NS untuk menjadi kuasa bola sepak Malaysia.
Kita ambil semula semua piala yang sedang bermastautin di Kota Bharu itu, kerana semua piala itu pernah bermukim di Seremban sebelum ini. Cukuplah kita bagi pinjam kepada Kelantan selama setahun.
CUIT SIKIT:
Kelantan memang hebat kerana menang tiga piala dan layak ke suku akhir Piala AFC.
Tetapi, Pulau Pinang lagi hebat. Sebabnya, ada 3 pasukan dari sana yang kesemuanya bermain di Liga FAM.
Sangat hebat kiranya YNS menjuarai Liga FAM. Betaria FC pula berkuasa di Liga Premier dan NS muncul semula sebagai Juara Liga Super seperti yang pernah dicapai pada 2006.
HOBEN JANG HOBEN!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan