TERIMA KASIH MEEN atau nama penuhnya Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang memakai jersi nombor 18 itu.
441 minit atau 26, 460 saat atau 7 jam 21 minit. Itulah masa yang diambil oleh sebuah pasukan Liga Super Malaysia 2012 bernama KEDAH untuk mencari gol pertama liga.
Tanpa gol, Anda masih boleh mendapat satu mata menerusi keputusan seri kosong sama. Tetapi Anda tidak boleh mendapat tiga mata penuh tanpa menjaringkan gol. Itu sahaja bezanya diantara pasukan yang mampu menjaringkan gol dengan pasukan yang tidak mampu menjaringkan gol.
Namun, gol jaringan Meen itu masih belum mampu membawa kemenangan pertama kepada Kedah. Gol itu terhasil hanya setelah Kedah ketinggalan 3 gol kepada Johor FC. Di akhir perlawanan, Kedah tewas di halaman sendiri, 3-1. Kekalahan kedua berturut - turut di Alor Setar dengan lawan dapat menjaringkan 3 gol.
Menerusi kaca tv, aku perhatikan seawal minit ke 70 lagi, para penyokong yang tidak ramai itu telah mula keluar Stadium Darul Aman. Ini berlaku sebaik sahaja Khairunnisam Shahabudin menjaringkan gol ketiga Johor FC menerusi serangan balas setelah tendangan sudut Kedah sebelum itu berjaya disekat oleh siBOTAK itu.
Carta Terkini Liga Super sebelum berehat seminggu |
CUIT SIKIT:
8 Februari nanti bakal muncul PERLAWANAN NOSTALGIA TAHUN 70'AN dan 80'AN, diantara SELANGOR dan SINGAPURA LionsXII.
Aku kata nostalgia kerana aku membesar dan melalui zaman remaja di kala SELANGOR dan SINGAPURA begitu dominan di kancah bola sepak Malaysia. Pasukan lain seperti Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Pahang, hanyalah sebagai pelengkap saingan yang sengit ketika itu.
Lain - lain pasukan seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Johor malah Sabah dan Sarawak ketika itu, bolehlah disifatkan sebagai pasukan belasahan sahaja.
Kini, walau pun Selangor dan Singapura ini bukanlah lawan terbaik buat Kelantan yang sedang berkuasa di carta liga, perlawanan diantara kedua - dua pasukan ini, aku fikir masih lagi menggamit kehadiran ramai penonton.
Satu lagi perlawanan nostlagia tahun 1987 hingga 1989 ialah perlawanan Kuala Lumpur menentang Kedah. Tiga tahun berturut - turut, Kuala Lumpur dan Kedah berentap di pentas final PIALA MALAYSIA. Tiga tahun berturut - turut jugalah, Kedah tewas di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
8 Februari nanti, nostalgia Radhi Mohd. Din, Penolong Jurulatih Kedah sekarang ini selaku Ketua Pasukan Kedah ketika itu akan kembali semula. Lawan yang bakal ditentang nanti adalah pasukan yang dilatih oleh Razip Ismail, Ketua Pasukan Kuala Lumpur di tahun - tahun gemilang tersebut.
Cuma, nostalgia itu tidak lengkap kerana pertemuan Kuala Lumpur dan Kedah nanti akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka bukan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan