Ridzuan Abu Shah bukanlah nama besar di arena bola sepak Malaysia. Anak Melaka yang berkelana ke seluruh negara untuk mencari makan sebagai pemain bola sepak profesional.
Di penghujung kariernya, Ridzuan beraksi sebagai Kapten Felda United ketika pasukan impian Tuk Najib itu beraksi di Liga FAM, sekitar 2007. Beliau meneruskan karier bolanya sebagai Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Felda United sekitar 2008 - 2009.
Kemunculan beliau sebagai Penolong Jurulatih kepada Divaldo Alves di NS musim 2013 ini tidak pernah diambil perhatian. Malah, ramai PSNS yang tidak mengenali beliau.
Namun, nama itu tiba - tiba meletup pada 17 Mei 2013. Semuanya kerana kemenangan 2 - 1 ke atas ATM pada 16 Mei. Ramai yang terkesima dengan kejutan itu. Dan, bermula dengan kekalahan kepada Selangor di Shah Alam pada 8 Januari, NS mengambil masa yang amat panjang untuk mencari KEMENANGAN PERTAMA pada 16 Mei itu.
Malangnya, Ridzuan Abu Shah dan skuadnya, hanya mengambil masa yang singkat untuk kalah semula.
22 Mei 2013, Negeri Sembilan 0 : Pahang 2. Keputusan yang pastinya menghancurkan hati ribuan penyokong yang hadir ke stadium. Keputusan yang pastinya tidak akan menyebabkan Ridzuan Abu Shah menjadi fenomena di NS.
Dan, kepada siapa mahu dicari jawapan mengapa NS berprestasi begini musim ini?
CUIT SIKIT:
Seimbas pandang, NS bukanlah pasukan yang terlalu teruk. Bukan juga pasukan terlampau amatur. Jauh sekali sebagai budak belasahan.
Masalahnya, pintu gol lawan seperti terlalu jauh buat mereka. Sebelas daripada lapan belas perlawanan menyaksikan NS gagal menjaringkan gol. Dan, jika mereka mampu menjaringkan gol pun, pihak lawan akan menjaringkan gol lebih daripada mereka. Cam ni mano buleh monang.
Berbaki empat perlawanan, aku fikir tiga daripadanya hampir mustahil untuk memberikan mata buat NS. Hasilnya, tempat kosong di Liga Premier yang bakal ditinggalkan oleh NS Betaria, bakal diisi pula oleh NS.
Jika itu benar, NGORI DEN! Anda bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan