SABTU 5 Januari 2013 adalah hari yang dinantikan oleh kaki bola seluruh negara.
Hari di mana puluhan ribu Kelantanese bakal memenuhi Stadium Shah Alam. Hari di mana ribuan askar dan tentera bakal memeriahkan Stadium Shah Alam.
Kelantan dan ATM bakal memulakan musim 2013 dengan berebut PIALA SULTAN HAJI AHMAD SHAH. Piala bakal menjadi milik pemenang Perlawanan Sumbangsih 2013.
Tiada apa - apa keraian bakal tercetus selepas menang. Ianya hanyalah satu pertempuran permulaan. Bukan penamat peperangan. Ibarat menu pembuka selera, Piala SHAS ini hanyalah seumpama sup bawang.
Tidak tinggi nilainya tetapi amat berguna buat pemangkin selera. Begitu juga piala ini. Belum pernah berlaku ada Kerajaan Negeri mengisytiharkan cuti umum hanya kerana pasukan bolanya menang Piala SHAS.
Piala ini lebih menjurus kepada formaliti memulakan musim baru supaya lebih segar dan lebih meriah.
Kelantan pastinya mahu menang piala ini buat pelengkap kepada 3 JOHAN di musim 2012. ATM juga mahu menang sebagai tanda mereka hadir ke Liga Super sebagai pejuang, bukan sebagai budak belasahan.
Lebih daripada itu, ATM pasti mahu membalas dendam kalah 2-3 di pertempuran terakhir musim lalu.
ISNIN 7 Januari 2013, sekitar jam 4.15 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, akan bermulalah dengan rasminya Liga Malaysia 2013.
Enam perlawanan pertama yang secara kebetulannya dimainkan di sebelah petang bakal menjadi petunjuk kepada wajah sebenar setiap pasukan selepas ini.
Muka baharu di Liga Premier, UiTM FC dan SPA Putrajaya pastinya mahu muncul pemenang. Bukan tempat lawan berlatih menyumbat gol. Perlis pula sepatutnya menggunakan nyawa kedua ini sebagai medan untuk kembali ke Liga Super 2014.
Perlis sepatutnya bermain di Liga FAM, telah diberikan peluang kekal di Liga Premier kerana USM FC menarik diri dan juga Harimau Muda B bakal bermain di Liga Singapura. Jika tidak, alamatnya pasukan Shahidan Kassim ini akan sebaris dengan Pulau Pinang dan Melaka di Liga FAM.
Kedah, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak juga adalah bekas nama - nama besar di persada bola Malaysia yang berada di Liga Premier 2013. Jika tiada perubahan, ada kemungkinan musim 2014 nanti, dua daripada mereka akan bermain di Liga FAM.
SELASA 8 Januari 2013, akan bermula perhitungan sebenar buat pasukan besar yang bermain di Liga Super. Juara Liga Super 2014 bakal mendapat tempat di Piala AFC 2014. Empat perlawanan pada hari berkenaan pasti menjadi tumpuan. Yang paling hangat pastinya DARUL TAKZIM FC.
Pasukan yang sejak Februari 2012 telah melakukan perubahan di pucuk pimpinan ini, ternyata bernafsu besar. Dua pemain importnya datang dari La Liga Sepanyol dan Seria A Itali. Enam bintang tempatan datangnya dari Harimau Malaya yang tidak mengaum di Piala AFF 2012.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan adalah pasukan paling bertuah. Bukan kerana dilatih oleh Divaldo Alves [ Portugal ] yang pandai berbahasa Melayu loghat Indonesia. Tetapi bertuah kerana NS adalah satu - satunya pasukan yang bermain di perlawanan persahabatan 2012 dan disiarkan secara langsung di kaca tv. Bukan sekali. Tetapi dua kali. Terima kasih TV1.
Dua lagi perlawanan Hari Pertama Liga Super 2013 bakal menyaksikan tiga pasukan terbaik Liga Malaysia 2012 bertemu lawan masing - masing. Dua daripadanya bertemu sesama sendiri.
MENARIK. ATM selaku Juara Liga Premier 2012 bakal menjadi tuan rumah di Seremban menanti kunjungan Lions XII selaku Naib Johan Liga Super 2012. Lebih daripada itu, Lions XII adalah Juara Piala AFF Suzuki 2012. Manakan tidak, lapan daripada pemain Singapura adalah pemain Lions XII. Bolehlah dikatakan, JUARA LIGA PREMIER 2012 lawan JUARA PIALA AFF 2012.
Dengan hanya ada 12 pasukan di setiap liga, sebarang langkah sumbang di hari pertama 2013 nanti, pastinya menyukarkan langkah seterusnya. Barang diingat, dua pasukan tercorot di Liga Super dan Liga Premier, bakal turun pangkat automatik ke liga yang lebih rendah di musim 2014.
CUIT SIKIT:
Stesen penaja telah menetapkan jadual siaran langsung HARI PERTAMA seperti di atas.
Mungkinkah TV1 akan menyiarkan perlawanan Selangor dan NS? Sama - sama kita tunggu.
Bagi Jang dan Milah, inilah barisan kemungkinan yang bakal memikul tugas buat NS di HARI PERTAMA.
Semoga mereka menang di Shah Alam nanti.
HOBIN JANG HOBIN!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan