Jumlah Paparan Halaman

21.2.11

ENAKNYA TEH TARIK LABU BATU 10 DAN PENDANG.....


Aku mendapat pengalaman baru sewaktu memenuhi jemputan FELDA Wilayah Alor Setar untuk memberikan motivasi jatidiri kepada seramai 130 orang pelajar harapan FELDA berkenaan menghadapi UPSR 2011.

Bertolak ke Alor Setar dengan bas ekspres tepat jam 11.00 malam 18 Februari dari Terminal 2, Seremban. Perjalanan malam. Tiada apa yang lebih menarik selain tidur sepuasnya, maklum sahaja, keesokan harinya, selama 7 jam, aku akan mengendalikan program berkenaan.  
Pagi 19 Feb:

Aku selamat sampai di Terminal Shahab Perdana, Alor Setar tepat jam 5.30 pagi. Terima kasih kepada kedua – dua pemandu bas berkenaan yang memandu secara berhemah walaupun bas yang aku naiki itu, tidaklah sama seperti yang dijanjikan di laman web syarikat pengendali.

Janji ‘single seat’, bas yang sampai semuanya ‘double seat’. ‘Single seat’ tu ada. Bukan tak ada. Tapi, untuk pemandulah. Nak komplen? Tak payah..sabo aje la hati.
6.40 pagi- aku menaiki bas tempatan dari Alor Setar ke Pendang. Melalui jalan kampong, keselesaan hidup warga negeri, jelas dapat aku lihat menerusi tingkap bas berhawa dingin itu. Makmurnya negeri. Jam 7.30 pagi, aku selamat tiba di perhentian bas Pendang.
Pekena teh tarik RM 0.80 dan nasi lemak bungkus daun pisang yang sedap RM 0.50, di pekan PENDANG, KEDAH..RM 1.30.. depa kata seringgit tiga kupang je. Terkejut besar aku. Sebab, harga segelas teh tarik di bawah paras RM 1.00 sudah tidak aku temui di Seremban ini. Maklum sahajalah, sekarang ni kan semuanya naik. Tapi, dia kata, takpa aih..masih untung lagi walau pun jual teh tarik dengan harga lapan kupang tu. Jangan marah na….
Bagaimana pun, terima kasih kepada Pak Mat, tuan punya gerai yang di sewa daripada Majlis Daerah Pendang itu, kerana sudi melayani aku dan kami berbual – bual pelbagai topik termasuklah kes liwat terhangat dan terkini di pasaran politik negara. Satu jam yang cukup singkat bagi aku kerana tuan gerai berkenaan seolah – olah melayani aku sebagai tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Terima kasih Pak Mat.
8.30 pagi- Abang Husin menghantar aku ke Pendang Lake Resort dengan motorsikal barunya tanpa mahu menerima apa – apa imbuhan dengan alasan, aku yang pertama kali sampai ke Pendang, wajar diberikan layanan sebagai tetamu. Terima kasih Abang Husin yang aku temui di warung Pak Mat.
Sempat juga Abang Husin membawa aku meronda sepintas lalu Pekan Sehari [Pasar Tani] di perkarangan Stadium Mini Pendang yang berada di pertengahan perjalanan dari Gerai Pak Mat ke Pendang Lake Resort. Akhirnya, walaupun jaraknya cuma 2km, aku dan Abang Husin, sampai ke resort berkenaan jam 9.00 pagi. Masih sempat, kerana program berkenaan hanya akan bermula jam 9.30 pagi.
9.30 pagi- memasuki dewan resort berkenaan dan sebaik sahaja terpandang wajah – wajah ini,
semua penat dan rasa mengantuk aku, bukan sahaja hilang malah terbang sebaik sahaja pintu dewan ditutup.
Pagi 20 Feb:
Setelah sampai di Hentian Sementara Bukit Jalil, aku meneruskan perjalanan ke Seremban dengan LRT dan Komuter sehingga ke stesen KTM Labu. Aku pekena teh tarik depan bangunan Pertubuhan Peladang Labu Batu 10, NS..RM 1.10 segelas..roti canai juga sedap tu RM 0.90..jadi RM 2 la pulak.
CUIT SIKIT:
Kadang kala, kita mungkin berfikir, hanya tempat kita sahaja yang maju dan makmur kerana kita pandai mentadbir dan menguruskannya.
Ada waktunya, kita pasrah dengan kenaikan harga barangan pengguna yang kelihatan langsung tidak terkawal kecuali barang terkawal.
Tetapi, mungkin kita tidak pernah mengkaji, sebenarnya sikap peniaga makanan yang gemar mengambil kesempatan menaikkan harga sajian mereka hanya kerana berlaku sedikit kenaikan harga barang mentah, itulah yang sedikit sebanyak mendorong majoriti rakyat Malaysia menyalahkan kerajaan.
Dan, baru – baru ini, YB Menteri Hal Ehwal Pengguna mencabar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat supaya menurunkan harga barangan pengguna di negeri masing- masing.
Pro dan Kontra.
Penguatkuasa Hal Ehwal Pengguna, Unit Kawalan Timbang dan Sukat dan segala macam agensi dan Lembaga yang berkaitan pengguna dan harga barang adalah di bawah kawalselia Kerajaan Persekutuan. Kerajaan – kerajaan Negeri hanya berkuasa kepada Agama Islam dan Adat Resam Melayu serta Tanah di negeri masing –masing sahaja. Kuasa Kerajaan Negeri ke atas air pun sudah mulai diambilalih oleh Kerajaan Pusat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara [SPAN].
Dengan kuasa kawalan dan penguatkuasaan berada di tangan Kerajaan Pusat, mana mungkin Kerajaan – Kerajaan Negeri termasuklah Kerajaan Negeri BN boleh dan berkuasa menurunkan harga barang. Namun, Persatuan – Persatuan Pengguna Negeri boleh dan mampu untuk membantu dengan cara menjalankan kajian dan mendedahkan dapatan kajian kepada seluruh warga.
Apa yang aku alami sendiri pada dua pagi yang berbeza di dua negeri yang berbeza pemerintahnya [satu Pakatan Rakyat, satu lagi Barisan Nasional] mungkin boleh memberikan satu gambaran baru buat mereka yang memperjuangkan nasib pengguna untuk memulakan kajian akademik dan cerdik berkaitan kos sarapan pagi dan sikap peniaga di dua contoh yang aku lampirkan di atas.

Persekitaran Pekan Pendang dan Labu Batu 10 itu, hampir sama , jika Pendang di kelilingi bendang, Labu Batu 10 pula di kelilingi ladang [estet], tetapi terdapat perbezaan ketara dan melampau harga sarapan pagi terutamanya teh tarik lemak berkrim kegemaran rakyat Malaysia itu.
Beza harga RM 0.30 [hampir 50% beza harga di Pendang dan Labu Batu 10] pada segelas teh tarik itu sebenarnya memberikan impak ekonomi yang besar kepada golongan pertengahan.

Dengan mempunyai RM 1.50 (harga akhbar harian), anda boleh mendapat sebungkus nasi lemak dan segelas teh tarik jika di Pendang. Sebaliknya, jika anda bersarapan di Labu Batu 10, dengan nilai yang sama, anda cuma mendapat segelas teh tarik dan mungkin sekeping kueh bersaiz kecil.

Untuk bersarapan pagi selama sebulan di Pendang, anda cuma memerlukan RM 45.00 sedangkan di Labu Batu 10, anda perlu mempunyai RM 60.00. Perbezaan RM 15.00 itu, membolehkan anda membeli 5 kilogram beras jika anda berada di Seremban. 

TIMBANG – TIMBANGKAN : LAKSANAKANLAH KAJIAN SEGERA…..bukan mencari salah, tetapi sebenarya ada pihak yang perlu mengubah sikap demi menjayakan slogan RAKYAT DIDAHULUKAN.

1 ulasan:

  1. he3 gitu la harga makan kt kedah,dari tahun 90 an sampai la ni mmg harga naik pon sikit sgt...teringat makteh cek habaq baru2 nih ... kalu harga gula nek sekupang sekilo..xkn ayaq teh pon nk bantai nek segelas sekupang?...kita wat teh segelas buh gula sampai sekilo ka????...

    BalasPadam

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH