Mungkin, frasa cemerlang ditakdirkan bukan untuk kalian berdua. Tetapi, kalian berdua telah melahirkan seorang insan cemerlang di peringkat UPSR 2010. Tiada apa yang berubah. Itu hanyalah satu permulaan kepada kecemerlangan yang berterusan..nizamhasan.
Gambar ihsan Sinar Harian Edisi Melaka/Negeri Sembilan.
UPSR 2010, daripada hampir lima puluh ribu calon UPSR yang mendapat 5A turut tersenarai puteri sulung mereka, Qhayratul Ain ( QA ). Namun, bukan kejayan QA yang ingin aku bincangkan di laman ini. Yang ingin aku bincangkan ialah, kisah kejayaan dan kecemerlangan yang tidak pernah bersama ayah dan ibu QA.
Aku mengenali pasangan ini bukan sehari dua. Aku mengenali mereka sejak mereka bujang, bertemu dan bercinta semasa aktif sebagai AJK Belia Rancangan, bertunang dan berkahwin. Lebih lima belas tahun aku mengenali mereka.
Selepas berkahwin, pasangan ini yang sebenarnya mempunyai pendidikan yang agak baik, memulakan usaha sebagai usahawan di rancangan. Pelbagai produk dan projek yang mereka lakukan. Malangnya, usaha mereka tidak pernah berjaya. Akhirnya, mereka meninggalkan rancangan dan berhijrah ke ibu negeri. Mereka berusaha lagi namun hasilnya, ianya ibarat kata bidalan, Sekadar Cukup Makan.
Aku tahu, bukan sedikit peluh, keringat malah airmata yang tumpah dan tercurah demi meneruskan kelangsungan hidup di bandar yang serba - serbi mencabar ini. Aku tahu mereka hampir mengalah dengan takdir yang mereka lalui. Kini, dengan berkat kesabaran dan usaha berterusan mereka, hidup mereka agak bersinar dan ceria.
CUIT SIKIT :
Kepada anda yang senasib dengan pasangan Samsul dan Ruziah itu, bersabarlah, teruskanlah usaha anda dan yang penting berdoa dan bertawakkallah. Semua orang memburu kecemerlangan. Semua orang ingin senang. Tetapi ingatlah, ada masanya, apa yang kita doa dan hajati, Tuhan tidak memberikan secara langsung kepada kita tetapi, ia akan diberikan kepada generasi kita, seperti yang sedang dilalui oleh Samsul dan Ruziah sekarang ini. Bersabarlah dan teruskanlan usaha anda.
Mungkin ayat - ayat ini boleh kita dijadikan panduan " saya diangkat menjadi Mufti ini, bukan kerana ilmu saya lebih tinggi, bukan juga kerana amalan saya lebih banyak berbanding orang lain. Saya diangkat menjadi Mufti kerana, ilmu dan amalan arwah moyang saya yang hebat dan terus menjadi amalan keluarga turun - temurun ".mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Kepada yang telah, sedang dan akan berputus asa dengan takdir anda.....RENUNGKANLAH.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan