ISU TANAM SEMULA KENANGAN TERINDAH SEPANJANG BERTUGAS: Di FELDA Palong Satu, khususnya di tahun 1999 hingga 2000, isu tanam semula merupakan cabaran terhebat sepanjang karier aku bersama FELDA. Sebabnya, untuk menarik persetujuan kesemua 441 orang peneroka rancangan berkenaan supaya bersma FELDA, adalah sesuatu yang sangat sukar. Sebabnya..3 permintaan peneroka tidak mampu dipenuhi oleh FELDA semasa itu.
Kerana 3 permintaan itu jugalah, seorang Pengurus Besar Wilayah yang sangat “cool”, akhirnya menghentak meja mesyuarat di pejabat FELDA Palong 1. Merah padam mukanya kerana aku maklumkan 3 perkara itu, tidak disukai oleh peneroka.
KEMELUT BERMULA:
3 permintaan yang mungkin menjadi bahan gelak dewasa ini, adalah isu penting ketika itu. Isunya jika menyertai program tanam semula bersama FELDA, adakah peneroka; A] Menerima Bantuan / Pinjaman Sara Hidup?
Jawapan FELDA: TIDAK.
Sebab: Tiada peruntukan untuk Sara Hidup.
Jawapan aku; Polisi FELDA waktu itu tak mahu lagi mengikat peneroka dengan hutang yang tidak perlu, tetapi peneroka mesti ikut FELDA.
B] Dibenarkan menanam getah?
Jawapan FELDA: TIDAK.
Mesti tanam sawit sebab hasilnya cepat berbanding getah.
Jawapan aku; Polisi FELDA untuk menswastakan pengurusan tanam semula kepada FELDA TECHNOPLANTS SDN. BHD [FTP] adalah punca mengapa FELDA mati – mati enggan menanam getah biarpun menukar tanaman getah ke sawit, bermakna peneroka akan kehilangan bantuan tanam semula RISDA yang telah lebih 20 tahun mereka sumbangkan. Nilai bantuan tanam semula itu lebih RM 20,000.00.
Melihat pengeluaran hasil sawit yang lebih cepat adalah agenda FELDA ketika itu. Cepat berhasil, maknanya cepat jugalah FTP mengutip yuran pengurusan bulanan dan membuat untung.
C] Bolehkah duit jualan kayu getah dibayar kesemuanya atau separuh?
Jawapan FELDA: TIDAK.
Oleh kerana bantuan tanam semula RISDA tidak dibayar kerana pertukaran tanaman getah ke sawit, kesemua duit jualan kayu itu akan dijadikan modal tanam semula. Jika tidak mencukupi, FELDA akan berikan pinjaman.
Oleh sebab semua pertanyaan dijawab TIDAK, hanya 165 orang sanggup mengikut program tanam semula bersama FELDA. Kerana tidak percayakan kepada usaha untuk menanam semula sendiri, mereka ini berkata” biarlah tidak mendapat apa – apa duit sekali pun, asalkan FELDA yang buat”. Mereka buntu sebenarnya. Sudah santak ke dinding.
Maknanya, mereka ini sanggup tidak mendapat apa – apa sara hidup sepanjang tempoh belum berhasil itu. Maknanya, mereka juga sanggup menukar tanaman asal [getah] yang telah mereka gelumangi selama 30 tahun kepada sawit. Kerana terpaksa, sawit pun sawitlah..janji rock!
Maknanya, mereka menyerahkan kebun mereka seluas 12 ekar tu bulat – bulat kepada FELDA untuk ditanam semula. Maknanya, lapar pun laparlah, asalkan tanam semula itu FELDA yang kendalikan. Tempoh tiga tahun tanpa apa – apa sumber kewangan, boleh menimbulkan pelbagai masalah sebenarnya.
KESAN KEMELUT:
Oleh kerana terlalu banyak jawapan TIDAK oleh FELDA, pihak pengurusan rancangan dan peneroka sudah hilang keharmonian. Tambah – tambah lagi, sikap Ketua Peneroka waktu itu dengan sokongan membabi buta konco – konco dan tonto – tontonya menjadi lebih FELDA daripada FELDA, menjadikan suasana bertambah parah ketika itu.
Ketua Peneroka tidak berminat untuk menjadikan 3 perkara itu sebagai tajuk rundingan. Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan untuk menyokong apa sahaja polisi FELDA walau pun tidak menguntungkan peneroka. Akhirnya, ramai yang tidak mahu bersama FELDA kerana marahkan Ketua Peneroka dan Kumpulannya.
Pintu rundingan bukan sahaja tertutup malah tiada langsung. Ketua Peneroka dan “side kick”nya menggelar kumpulan yang tidak menyertai tanam semula bersama FELDA ini sebagai TIDAK MENGENANG JASA dan LUPA DARATAN. Dalamasa yang sama Ketua Peneroka berkenaan terlupa bahawa dia adalah peneroka juga. Dia lupa undi untuk Ketua Cawangan datangnya dari golongan yang dicop itulah. Bukannya datang daripada Pengurusan FELDA. Akhirnya, dua – dua gagal. Pengurusan FELDA gagal menarik penyertaan lebih 60% tanam semula, Ketua Peneroka kalah perebutan jawatan Ketua Cawangan, sekali gus menyebabkan kehilangan jawatan Naib Ketua Bahagian. Wal hasil balik asal..Itu pasal tak hasil.
Tindakan yang dibuat oleh pengurusan tertinggi FELDA ialah, menukarkan Pengurus dan kesemua petugasnya ke rancangan lain kecuali aku. Konon kata mereka di Seremban, hanya aku yang boleh berdamping dengan kesemua peneroka lantaran sikap aku yang tidak menyebelahi mana – mana kumpulan.
Memang pun, ke mana pun kiblat tanam semula peneroka FELDA Palong Satu ketika itu, semuanya kawan aku. Kami boleh minum bersama dan berbincang masalah bersama. Sesuatu yang tidak lagi boleh dinikmati oleh petugas lain.
Aku secara peribadi mengambil sikap rasional dengan semua peneroka kerana memahami 3 kehendak mereka itu tidak diangkat ke pihak tertinggi FELDA oleh Ketua Peneroka dan juga Pengurusan tertinggi rancangan. Apalah dayaku kerana aku hanyalah seorang Penyelia.
|
Gambar Hiasan buat pembuka selera untuk terus membaca |
BERAKHIRNYA KEMELUT:
Akhirnya, sekitar 2003 dan 2004, baki 276 peneroka itu menyertai FELDA menerusi program yang aku wujudkan bersama beberapa orang peneroka. Program itu aku namakan “TANAM SEMULA-KEMBALI KEPADA FELDA”. Sebenarnya, bukan kerana aku mereka kembali kepada FELDA. Tetapi kerana semua permintaan dan persoalan peneroka sudah dijawab YA oleh FELDA. Terima kasih kepada Bang Khalid Samad dan rakan – rakan beliau. Pastinya, terima kasih juga buat Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Pengerusi FELDA ketika itu, kerana memberikan peluang kedua kepada para peneroka yang menanam semula sendiri.
Aku tinggalkan FELDA Palong Satu pada 1 Jun 2004, dengan lapang dada. Kemelut tanam semula telah berakhir. Paling penting, aku mendaftar diri di FELDA Palong Satu sebagai Penyelia dan meninggalkannya sebagai Penolong Pengurus. Sikit atas!
Sekitar Ogos dan September 2010: Sebelum aku menamatkan perkhidmatan [bersara awal] pada 1 Oktober, sudah mula kedengaran desas desus, sok sek sok sek, khabar angin, tidak semua 339 orang peneroka FELDA Palong 12 & 13 akan menyertai program tanam semula bersama FELDA.
Tiada lagi arahan tukar tanaman kerana getah sebagai tanaman asal dikekalkan sebagai tanaman untuk tanam semula. Sara hidup [pinjaman] akan dibayar. Duit jualan kayu getah, 100 % diserahkan kepada peneroka.
Di saat semua jawapannya YA, mengapa masih ada 14 orang peneroka di FELDA Palong 12 & 13 tidak mahu mengikut FELDA? Aku hairan, di saat semuanya YA, masih ada yang tidak mahu mengikut. Pasal apo begar bonar ni? Ekau dah dihasut pembangkang ko?
Sebagai orang awam, aku meminta pertolongan En F, Penyelia Rancangan untuk menemui Bang Kasim. Anak kelahiran Beranang ini, adalah antara orang penting untuk program tanam semula sendiri di FELDA Palong 12 & 13 ini.
Sila tatap dan baca apa dapatan aku ketika kunjungan ke FELDA Palong 12 & 13 pada 14 April lalu.
Teruskan penjelajahan anda.....
Singgah di Man Middle sudah menjadi satu kemestian bagi Warga Palong dan warga sekitar yang sama waktu dengannya.....
Terserempak Ujang dan rakannya di Man Middle. Ujang baru selesai melawat projek membina longkang di Kampung Geddes, Jempol yang dikendalikan oleh syarikat pembinaan miliknya. Peneroka FELDA berwawasan dan bukan sekadar tahu bercakap. Walk the Talk. Ada kemungkinan, sampai waktu FELDA Serting Hilir 2 menanam semula, Ujang akan menanam semula sendiri. Siapa tahu?
Ini Bang Kasim...
Ikuti apa kata Bang Kasim...
|
Sorry, perbezaan harga kayu getah tu tak boleh aku catatkan. SENSITIF SANGAT. JAUH SANGAT BEB! |
CUIT SIKIT:-
Itulah beza diantara mereka yang merancang kehidupan dan tidak merancang kehidupan. Bang Kasim mengakui kumpulan mereka menulis surat kepada YAB PM [juga Menteri FELDA] memohon pelepasan untuk melaksanakan tanam semula sendiri. Permohonan mereka diperkenankan oleh YAB PM.
Saat ini, mereka juga telah hampir memuktamadkan perjanjian dengan Lembaga Getah Malaysia [LGM] untuk menjadikan kebun mereka sebagai plot kajian dan percontohan klon baru getah di Negara ini. Segala – galanya akan dibiayai oleh LGM. Duit jualan kayu getah dan bantuan tanam semula RISDA tidak akan diganggu oleh LGM. Terpulanglah pada peneroka nak buat apa dengan duit itu.
Kalau begitu, banyak untungnya Bang Kasim dan kumpulannya. PESAN AKU: Duit dah banyak, jangan sampai terniat hendak membuka cawangan baru pulak..Ai PERANG BESAR U SEE...
Kali pertama mungkin perlukan tongkat. Apa – apa pun, aku doakan selamatlah BANG KASIM, SeLaMat. Walau pun bertatih dan bertongkat, melangkahlah dengan yakin dan tegap. Yakinlah, hanya mereka yang tabah dan gigih, yang mampu membina mercu dirinya yang cemerlang.....
Dah cemerlang, berjalanlah sendiri.....barulah namanya PENEROKA FELDA MERDEKA.. SELAMATlah KASIM, selamat.....maju jaya.