Akhirnya, FAM tidak mampu lagi untuk bersabar. King Gobal yang cuba menjadi saintis bola telah ditunjukkan jalan keluar dari Kelana Jaya.
Eksperimen demi eksperimen. Kegagalan demi kegagalan. Aksi goyah setiap perlawanan. Dan, paling penting, tidak pedulikan ranking FIFA dan AFC.
Itulah King Gobal.
Aku fikir King Gobal ini bukanlah terlalu gagal selaku Ketua Jurulatih Malaysia. Dua juara { Sukan SEA dan Piala AFF } membuktikan kewibawaannya.
Cuma, di mata aku, King Gobal tidak lagi bersifat dan bersikap AKU YANG DULU setelah dikurniakan gelaran Datuk kerana kejayaan pada tahun 2010 dan 2012 itu.
Kesilapan besar King Gobal adalah terlalu percaya kepada sejarah lampau. Beliau mahukan sejarah akan berulang dan sentiasa menyebelahi beliau.
Malangnya, beliau juga buta sejarah. Mana pernah sejarah boleh berulang. Sejarah adalah rekod lampau. Jika pencapaian itu berulang, ianya bukan sejarah lampau yang kembali ke pangkuan. Ianya adalah rekod baru yang harus dipertahankan.
King Gobal yang kununnya kenal pemain akhirnya dikenakan TKO oleh FAM. Sebabnya mudah. Beliau amat bermurah hati dengan pemain yang beliau kenal itu. Biarlah pemain itu cuma sebagai pemain simpanan di pasukan negeri, sekiranya beliau kenal, beliau akan panggil dan turunkan sebagai kesebelasan utama negara.
Inilah situasi yang dinikmati oleh Amar Rohidan sekitar 2011 dan 2012 lalu. Amar hanyalah pemain simpanan di Kedah ketika itu. Tetapi, beliau tetap menurunkan Amar selaku pemain utama negara. Kelibat Shakir Shaari yang lebih baik daripada Amar, langsung tidak dipedulikan.
Musim ini, dua S tetap menjadi pujaan King Gobal biarpun 2S itu hanyalah pemanas kerusi Recaro di Stadium Larkin.
Itu beberapa contoh kepada ayat SAYA KENAL PEMAIN SAYA. Banyak lagi sebenarnya contoh kegagalan King Gobal mengenali pemain saya itu.
CUIT SIKIT:
Mungkin anda tertanya - tanya apa maksud TKO itu. Aku gunakan istilah tewas di perlawanan tinju sebenarnya.
Tewas di arena tinju menerusi tiga cara. Pertama, menerusi kiraan mata. Kedua menerusi Technical Knock-Out [ TKO ]. Dan, ketiga adalah menerusi Knock-Out [ KO ].
Tewas secara KO adalah kerana anda tumbang akibat penumbuk lawan dan gagal bangun dalam kiraan lapan oleh pengadil. Manakala tewas TKO adalah anda tumbang dan boleh bangun semula tetapi mamai di sudut gelanggang.
Jika pengadil berpendapat anda tidak layak meneruskan pertarungan, anda akan dikira tewas secara TKO.
Dalam kes King Gobal, beliau tewas dan ditewaskan oleh Jawatankuasa Teknikal FAM secara TKO. Bijaknya Jawatankuasa Teknikal ini membuat keputusan.
Jika King Gobal ditewaskan secara KO, FAM perlu membayar pampasan kepada King Gobal yang ditamatkan kontrak itu. Menerusi tindakan TKO hingga Disember 2013, FAM cuma perlu membayar gaji bulanan sahaja. Bonus kemenangan tidak perlu dibayar sebab skuad King Gobal tidak menang pun.
Andai aku berada ditempat King Gobal, esok juga aku hantar surat perletakkan jawatan. Sebabnya? Apa guna terus bertarung sedangkan anda telah diisytiharkan tewas.
Nyatalah komen pedas Tan Sri Annuar Musa suatu ketika dahulu amat benar dan tepat sekali.
Akhirulkalam, tanpa SiANU yang telah keluar akhir Jun lalu dari FAM, King Gobal akhirnya ditunjukkan jalan keluar oleh SiPOLAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan