Temerloh atau pernah tersohor dengan nama Semantan sudah lama meriah. Bermula sejak era membebaskan negara daripada cengkaman penjajah sehinggalah sekarang, Temerloh tidak pernah lekang daripada mencatat sejarahnya tersendiri.
Datuk Bahaman dan Pak Sako adalah nama paling tersohor dan amat sinonim dengan Semantan atau Temerloh ini. Tidak juga boleh dilupakan kepada Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah. Mantan Ahli Parlimen Raub [ 1967 - 1978 ] dan Temerloh [ 1978 - 1982 ] itu diangkat sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC [ 9 Dis 1978 - 1 Ogos 1994 ].
Tidak juga wajar dilupakan apabila Temerloh pernah meriah di bidang kehakiman apabila Mahkamah Tinggi Temerloh menjadi medan perbicaraan kes berprofil tinggi yang membabitkan wanita berhati kering, Mona Fandy awal 1990'an lalu.
2013, Temerloh terus mencipta kemeriahan apabila dipilih sebagai arena tuan rumah Felda United FC di pertandingan Piala Malaysia.
Juga bakal meneruskan sejarah gah arena sukan Temerloh ialah satu daripada enam perlawanan Pestabola Merdeka 2013 bakal berlangung di sana.
Seingat aku, ini kali pertama Piala Malaysia dipertandingkan di Temerloh. Al-maklum Pahang menjadikan Kuantan sebagai arena tuan rumahnya setiap kali bermain di Piala Malaysia.
Musim lalu Stadium Majlis Perbandaran Temerloh ini hanya menjadi arena tuan rumah Pahang di pertandingan Liga Premier. Pasukan Shahzan Muda FC turut menjadikan Temerloh sebagai arena mereka. Namun, ianya juga di pertandingan Liga Premier.
Musim ini, hanya Shahzan Muda FC terus bermain di Temerloh. Malangnya, ianya hanyalah perlawanan Liga FAM.
Biarpun tiga Presiden FAM datangnya dari Pahang, inilah kali pertama Pestabola Merdeka dimainkan di negeri itu. Dan, limpahannya turut sampai ke Temerloh.
CUIT SIKIT:
Buat para penguasa bola sepak di Temerloh, aku mencadangkan agar mengambil peluang daripada kemeriahan bola itu dengan mengusahakan program klinik bola bersama Felda United FC.
Ianya bersifat sambil menyelam, minum air. Biarlah anak - anak di peringkat umur 7 hingga 12 tahun mendapat manfaatnya. Sementelahan pula, khabarnya padang di Kampung Tengah [ jalan menghala ke Triang ] itu dijadikan sebagai padang latihan pasukan pelawat. Apa di tunggu lagi. Seharusnya SK Kampung Tengah boleh mengambil kesempatan ini.
Bukan mudah untuk Nunes, Nazmi Faiz dan Coach Azlan Johar boleh sampai ke Temerloh. Ambillah manfaat daripada kehadiran meereka itu.
Buat penguasa Stadium MP Temerloh pula, sukalah aku ingatkan supaya menjaga kualiti padang. Jangan sampai ada pasukan tidak mahu bermain di sana kerana kualiti rumputnya.
Buat semua ghodong dan kenalan di Temerloh dan kawasan sekitarnya, inilah masanya untuk membuktikan betapa TEMERLOH dan BOLA berpisah tiada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan