Jumlah Paparan Halaman

28.8.13

DRAMA PIALA MALAYSIA.....

Tamat pusingan pertama, Piala Malaysia 2013 mula menampakkan wajah sebenarnya. Memang ianya pertandingan yang penuh kejutan. Memang ianya diserikan oleh pelbagai keputusan di luar jangkaan.

Dan, musim ini tidak terkecuali. Tok Mat telah bersuara secara rasmi. Khabarnya ada pemain NS terbabit dengan gejala rasuah.

Lebih hangat dramanya berlangsung di sebelah barat NS. Khabarnya Coach Irfan Bakti telah bersara.

Jiran di sebelah timur NS, ada pula cakap - cakap mengatakan Ultras Pahang bakal diharamkan memasuki stadium.

Bagi aku, semuanya adalah rencah - rencah yang pastinya menghangatkan saingan. Tambahan pula, usai pusingan pertama, beginilah pencapaian kesemua 16 pasukan yang bertanding.

Memang drama apabila ada pasukan kalah di arena sendiri tetapi boleh menang di arena lawan.

Lebih dramatik apabila Sang Gergasi dan Sang Singa terperosok di dasar kumpulan masing - masing.

Memang handal skripnya drama ini. Memang hebat gaya pengarahannya. Dan, memang berkesan lakonannya.

Sebelum sepak mula 20 Ogos lalu, setiap peminat bola sepak dalam negeri pastinya tidak terfikir betapa keempat - empat pasukan yang bertulisan kuning itu bakal berada di kedudukan mereka sekarang.

Memang drama apabila Sime Darby FC yang mengetuai Kumpulan A. Lebih dramatik, Sang Gergasi yang penuh dengan sejarah silam, masih belum menang biarpun pertandingan perngkat kumpulan telah 50% dilalui.

Dengan baki tiga perlawanan, mata maksima Sang Gergasi hanyalah 10 sahaja. Seandainya tewas lagi satu perlawanan, maka Misi 33 itu bakal terus menjadi mimpi ngeri buat FA Selangor.

Lebih hebat lakonannya ialah Sang Singa. Gah meratah lawan di arena sendiri dan di arena lawan sepanjang Liga Super, Sang Singa hilang taring di Piala Malaysia.

Seperti Gergasi, Singa juga boleh mengucapkan selamat tinggal buat Piala Malaysia seandainya gagal menang Sabtu ini.

Mahu tidak mahu, Sabtu ini merupakan cut-off kepada semua drama yang tercetus sepanjang pusingan pertama lalu.
Sebagai makluman, kesemua perlawan Sabtu ini adalah timbal balas kepada perlawanan - perlawanan Selasa lalu. Kecuali arena yang berbeza, mood dan prestasi pasukan tetap sama. Mungkin ada sedikit perubahan semangat terutamanya bagi pasukan - pasukan yang tewas seperti Selangor, Lions XII FC dan Felda United FC.

Selasa lalu ketiga - tiganya tewas di arena lawan. Dan, Sabtu ini, mereka pasti mahu membalas dendam dengan pasukan yang sama di arena sendiri pula.

Bagi pasukan yang disifatkan lebih baik tetapi hanya mampu seri di arena lawan, perlawanan Sabtu ini pasti digunakan untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Percaya atau tidak, dua finalis musim lalu, Kelantan dan ATM hanya seri di arena lawan Selasa lalu. Kehadiran Johor dan Negeri Sembilan di Selayang dan Kota Bharu tentunya penuh ranjau berduri.

CUIT SIKIT:

Usai pusingan pertama, semacam ada peluang cukup besar buat Sime Darby FC dan PKNS FC untuk mencipta sejarah tersendiri di pentas Piala Malaysia.

Kedua - dua pasukan sebelum ini tidak pernah mencecahkan kaki ke pentas suku akhir. Namun, setakat ini, berdasarkan kedudukan dan prestasi semasa, aku fikir kedua - duanya boleh berada di pentas final 3 November nanti.
Jangan terkejut jika situasi ini berterusan. Al-maklum, Piala Malaysia memang penuh drama dan kejutan.

Akhirul-kalam, buat PBNS tahniah kerana khabarnya telah melaporkan kepada SPRM berkaitan gejala rasuah di Skuad Jang. Cuma, bagi aku, ianya patut dilakukan sejak 1 April lalu.

Mengapa 1 April? Kerana 30 Mac adalah tarikh berlangsungnya perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super. Ketika itu, NS menamatkan sebelas perlawanan tanpa menang dan berada di posisi corot Liga Super.

Bukankah lebih baik, jika benar ada penyelewengan, kita sekat awal - awal, bukannnya perlu ditunggu sehingga Ogos.

Bagaimanapun, baiklah lewat seandai ada usaha untuk berubah, daripada langsung tidak berbuat apa - apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH