Jumlah Paparan Halaman

31.8.13

MEMERDEKAKAN PASUKAN 2.....

Tuah Merdeka buat pasukan yang berjaya memerdekakan keputusan masing - masing. 


KUMPULAN A;

Selangor gagal mencapai keputusan MENANG. Sekali gus, ada harapan akan terus tertinggal di saingan.

KUMPULAN B;

Dua pasukan teratas kalah kepada lawan - lawan masing - masing. Kemerdekaan terbesar hari ini buat T - Team FC yang menang di Johor Bahru.

KUMPULAN C;

Keputusan dan Kemerdekaan terbaik buat Jang apabila menang di Kota Bharu. Terengganu juga merdeka apabila menang di laman sendiri.

KUMPULAN D;

Sarawak meraikan kemerdekaan dengan menang besar di Kuching. Impak kemenangan, meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan.

KEDUDUKAN TERKINI;
Ketika 15 pasukan sudah mencipta kemenangan, Selangor masih mengekalkan sikap mendahulukan pihak lawan. Patutlah Irfan Bakti cabut.
Menurut Wan Fakhrul Wan Bakar [ Berita Harian ], beginilah suasana "HANGAT" perlawanan Selangor dan Sime Darby FC sebentar tadi. Merah padam di seluruh stadium.

CUIT SIKIT:

NS meneruskan fenomena menang di arena lawan. TAHNIAH Duan Kobau dan Team.

Namun, yang lebih merdeka adalah Lions XII FC yang menang kerana gol Perak tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol.
Gol Perak yang tidak disahkan.
Lions XII FC MERDEKA kerana si baju hitam.
TQ Penyumbang gambar.
Itulah bola sepak.

Biarpun pahit lidah dan pedih ulu hati, terima sahaja apa jua keputusan PENGADIL kerana telah dipersetujui, KEPUTUSAN PENGADIL ADALAH MUKTAMAD.

Tapi, beragaklah jangan sampai ada pihak yang terkorban di hari merdeka.

30.8.13

MEMERDEKAKAN PASUKAN.....

Esok bakal bermula pusingan kedua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2013. Lapan perlawanan bakal berlangsung di lapan arena berbeza dengan tiga waktu sepak mula berlainan.

Secara kebetulan, empat pendahlu kumpulan bakal beraksi di arena lawan. Seumpama sengaja, malam esok pendahulu kumpulan bakal bertemu pasukan corot kumpulan masing - masing.

KUMPULAN A;
Tanpa Irfan Bakti, Selangor bakal turun dengan motivasi yang berbeza. Boleh jadi ianya lebih bersemangat, boleh jadi juga bertambah merudum. Mungkinkah Merah Kuning bertambah cemerlang atau meneruskan situasi MERAH PADAM? Seronok untuk kita ikuti.

Satu lagi keputusan BUKAN MENANG buat Selangor bermakna Misi 33 bakal menjadi kenangan semata - mata.

ATM selaku Naib Johan 2012, pastinya masih terkejut dengan keputusan dramatik di Pasir Gudang Selasa lalu. Johor menjadi pasukan liat di kumpulan ini. Rekod Johor di Selayang juga amat baik. Mereka muncul pasukan tunggal menewaskan pendahulu kumpulan. Ianya berlaku di Selayang pada 24 Ogos lalu. Bukan lawan mudah buat ATM biarpun bermain di Selayang.

KUMPULAN B;

Kehangatan kumpulan ini pastinya hanya berkisar kepada PKNS FC dan Darul Takzim FC. Usai pusingan pertama, amat jelas betapa T-Team FC dan Felda United FC gagal berdiri sama tinggi dengan dua pasukan di atas mereka.

Bagaimanapun, sedikit kelekaan bakal mengundang padah buat pendahulu. Jika ada keputusan pelik berlaku selepas ini, bolehlah dijemput SPRM untuk sama - sama bermain di Piala Malaysia.

KUMPULAN C;
Kelantan dan Pahang masih belum tewas. Tetapi belum juga selamat. Negeri Sembilan biarpun tewas sekali, masih mempunyai harapan. Bukan setakat harapan tipis seperti Selangor. Ianya memang harapan besar dan nyata.

Rekod Liga Super di Kota Bharu musim ini keputusannya seri 0-0. Maknanya, NS boleh memungut sekurang - kurangnya satu mata di Kota Bharu malam esok. Dalam ertikata lainnya, boleh juga menang sekiranya nasib baik bersama NS. Tuah Merdeka siapa tahu.

Nyawa perjuangan Terengganu bakal berakhir malam esok jika gagal mencapai KEMENANGAN. Pilihan yang amat terhad buat mereka. Di kem Pahang, pemilihan Razman Roslan ke Skuad Harimau Malaya pastinya menjadi tonik tambahan untuk sekurang - kurangnya memungut satu mata di Kuala Terengganu.

KUMPULAN D;
Kejayaan Kedah meraih satu mata di Jalan Besar 20 Ogos lalu, pastinya menjadi suntikan semangat buat Perak malam esok. Sementelahan pula, Perak masih segar dengan kemenangan 1-0 di Ipoh, Selasa lalu.

Buat Lions XII, mereka juga sama dengan Terengganu dan Selangor. Malam esok, tiada keputusan lain selain menang yang boleh dicatatkan.

CUIT SIKIT:

Aku fikir, ramai para peminat dan pengikut Piala Malaysia 2013 gembira dengan situasi sekarang. Gembira kerana tiada lagi pasukan yang sama menjadi kuasa bola tempatan. Tiada lagi ungkapan, bila ada pertandingan, kita dah tahu Johannya. Pertandingan ini hanya untuk mencari Naib Johan sahaja.

Ianya juga memberikan pengajaran betapa wang dan kuasa, tidak mampu untuk meraih kejayaan. Iany juga memberi ikhtibar betapa nama dan sejarah silam yang gah itu, hanyalah sejarah. Bukan kepastian untuk terus kekal zaman - berzaman.

Semuanya hanya satu. Prestasi dan konsistensi semasa. Nama gah dan kejayaan di AFF 2010 tidak boleh lagi dijadikan ukuran di 2013. Hanya yang konsisten seperti Aidil sahaja yang dikekalkan.

Sime Darby, PKNS, Pahang dan Perak menjadi pendahulu kumpulan. Ianya bukanlah impian ramai pihak sebelum ini. Namun, itulah hakikatnya. Siapa sahaja yang menang secara konsisten bakal berada di atas

Sejarah yang pernah tercipta mungkin boleh berulang. Tetapi, wang dan kuasa pasti tidak mampu untuk membeli sejarah dan mengulanginya kembali.

Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke 56 ini, aku harap biarlah pasukan - pasukan teratas itu, termasuk NS, terus memerdekakan diri dengan mencapai kemenangan biaarpun beraksi di arena lawan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

28.8.13

DRAMA PIALA MALAYSIA.....

Tamat pusingan pertama, Piala Malaysia 2013 mula menampakkan wajah sebenarnya. Memang ianya pertandingan yang penuh kejutan. Memang ianya diserikan oleh pelbagai keputusan di luar jangkaan.

Dan, musim ini tidak terkecuali. Tok Mat telah bersuara secara rasmi. Khabarnya ada pemain NS terbabit dengan gejala rasuah.

Lebih hangat dramanya berlangsung di sebelah barat NS. Khabarnya Coach Irfan Bakti telah bersara.

Jiran di sebelah timur NS, ada pula cakap - cakap mengatakan Ultras Pahang bakal diharamkan memasuki stadium.

Bagi aku, semuanya adalah rencah - rencah yang pastinya menghangatkan saingan. Tambahan pula, usai pusingan pertama, beginilah pencapaian kesemua 16 pasukan yang bertanding.

Memang drama apabila ada pasukan kalah di arena sendiri tetapi boleh menang di arena lawan.

Lebih dramatik apabila Sang Gergasi dan Sang Singa terperosok di dasar kumpulan masing - masing.

Memang handal skripnya drama ini. Memang hebat gaya pengarahannya. Dan, memang berkesan lakonannya.

Sebelum sepak mula 20 Ogos lalu, setiap peminat bola sepak dalam negeri pastinya tidak terfikir betapa keempat - empat pasukan yang bertulisan kuning itu bakal berada di kedudukan mereka sekarang.

Memang drama apabila Sime Darby FC yang mengetuai Kumpulan A. Lebih dramatik, Sang Gergasi yang penuh dengan sejarah silam, masih belum menang biarpun pertandingan perngkat kumpulan telah 50% dilalui.

Dengan baki tiga perlawanan, mata maksima Sang Gergasi hanyalah 10 sahaja. Seandainya tewas lagi satu perlawanan, maka Misi 33 itu bakal terus menjadi mimpi ngeri buat FA Selangor.

Lebih hebat lakonannya ialah Sang Singa. Gah meratah lawan di arena sendiri dan di arena lawan sepanjang Liga Super, Sang Singa hilang taring di Piala Malaysia.

Seperti Gergasi, Singa juga boleh mengucapkan selamat tinggal buat Piala Malaysia seandainya gagal menang Sabtu ini.

Mahu tidak mahu, Sabtu ini merupakan cut-off kepada semua drama yang tercetus sepanjang pusingan pertama lalu.
Sebagai makluman, kesemua perlawan Sabtu ini adalah timbal balas kepada perlawanan - perlawanan Selasa lalu. Kecuali arena yang berbeza, mood dan prestasi pasukan tetap sama. Mungkin ada sedikit perubahan semangat terutamanya bagi pasukan - pasukan yang tewas seperti Selangor, Lions XII FC dan Felda United FC.

Selasa lalu ketiga - tiganya tewas di arena lawan. Dan, Sabtu ini, mereka pasti mahu membalas dendam dengan pasukan yang sama di arena sendiri pula.

Bagi pasukan yang disifatkan lebih baik tetapi hanya mampu seri di arena lawan, perlawanan Sabtu ini pasti digunakan untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Percaya atau tidak, dua finalis musim lalu, Kelantan dan ATM hanya seri di arena lawan Selasa lalu. Kehadiran Johor dan Negeri Sembilan di Selayang dan Kota Bharu tentunya penuh ranjau berduri.

CUIT SIKIT:

Usai pusingan pertama, semacam ada peluang cukup besar buat Sime Darby FC dan PKNS FC untuk mencipta sejarah tersendiri di pentas Piala Malaysia.

Kedua - dua pasukan sebelum ini tidak pernah mencecahkan kaki ke pentas suku akhir. Namun, setakat ini, berdasarkan kedudukan dan prestasi semasa, aku fikir kedua - duanya boleh berada di pentas final 3 November nanti.
Jangan terkejut jika situasi ini berterusan. Al-maklum, Piala Malaysia memang penuh drama dan kejutan.

Akhirul-kalam, buat PBNS tahniah kerana khabarnya telah melaporkan kepada SPRM berkaitan gejala rasuah di Skuad Jang. Cuma, bagi aku, ianya patut dilakukan sejak 1 April lalu.

Mengapa 1 April? Kerana 30 Mac adalah tarikh berlangsungnya perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super. Ketika itu, NS menamatkan sebelas perlawanan tanpa menang dan berada di posisi corot Liga Super.

Bukankah lebih baik, jika benar ada penyelewengan, kita sekat awal - awal, bukannnya perlu ditunggu sehingga Ogos.

Bagaimanapun, baiklah lewat seandai ada usaha untuk berubah, daripada langsung tidak berbuat apa - apa.

27.8.13

FENOMENA 3P.....


Empat hari menjelang sambutan kemerdekaan ke 56, pusingan pertama Piala Malaysia 2013 berakhir dengan kejutan.

Samada ianya kejutan besar atau kejutan kecil, terpulang kepada perspektif anda.

Bagi aku, apabila Selangor dan Lions XII FC gagal mencapai kemenangan dalam tiga perlawanan, maknanya itu adalah kejutan besar. Kejutan besar dalam konteks kedua - duanya adalah Juara dan Naib Juara Liga Super 2013.

Kejutan lebih besar dilakukan oleh PKNS FC. Pasukan dari balang tiga ini, berada di tangga teratas Kumpulan B. Lebih manis, PKNS FC, turut mencatat rekod menang 100% dan masih tanpa bolos.

Kejutan paling besar pastinya dilakukan oleh SIME DARBY FC. Pasukan yang juga berada di balang tiga ini, sedang mengungguli Kumpulan A.

Dua lagi kumpulan, C dan D diungguli oleh dua P. Pahang dan Perak juga dari balang dua, melengkapkan penguasaan pasukan bukan pilihan utama menguasai setiap kumpulan.
3P. PKNS FC, PAHANG dan PERAK membentuk fenomena baru di Piala Malaysia yang penuh dengan kejutan. SIME DARBY FC melengkapkannya. Maknanya, dua pasukan negeri dan dua pasukan kelab sedang gah di carta kumpulan.

Pasukan kelas dua di hujung negeri juga mencatatkan keputusan yang baik. Malah lebih baik daripada pasukan kelas satu dari kawasan yang sama. Belum kalah selepas tiga perlawanan, menyaksikan pasukan itu merupakan satu - satunya penghuni tempat kedua kumpulan yang datang dari balang empat.

Biarpun masih jauh perjalanannya, setakat ini, beginilah carta kalah mati.
CUIT SIKIT:

Bagaikan diatur - atur, tiga mata membezakan diantara pasukan teratas dan kedua di Kumpulan B dan D. Pasukan teratas dan kedua di Kumpulan A pula hanya dipisahkan dengan satu mata. Manakala di Kumpulan C [ Kumpulan Maut ], hanya perbezaan jaringan memisahkan pasukan teratas dan kedua.

Kecuali Kumpulan B, pasukan di tangga ketiga setiap kumpulan juga hanya dibezakan dengan satu mata berbanding pasukan di tangga kedua. Malah, NS di tangga ketiga Kumpulan C hanya dibezakan dengan satu mata berbanding pendahulu kumpulan, Pahang.

Dan, sebagai makluman, setakat tiga perlawanan ini, belum ada satu pasukan pun yang telah disahkan tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2013.

Kesemua 16 pasukan termasuk Felda United FC yang masih belum mendapat mata itu, masih memiliki peluang untuk ke peringkat kalah mati. Peluang menjulang piala pada 3 November nanti masih ada. Tetapi dengan syarat. Kesemua pasukan harus mengekalkan kemenangan yang dicapai. Di samping wajib pula menterbalikkan keputusan yang tidak memihak di pusingan pertama itu.

Maksudnya, jika NS menang di Kuala Terengganu tempohari, wajiblah ia menang di Paroi nanti. Jika kalah di Paroi, wajib jugalah ia menang di Kuantan nanti. Dan, seandainya keputusan seri di Paroi itu satu nikmat, wajarlah ianya dikekalkan pencapaian itu di Kota Bharu nanti, Menang pasti lebih baik.

Aku kira usai perlawanan keempat nanti, akan lebih jelaslah pasukan - pasukan yang bakal meneruskan saingan di peringkat kalah mati. Jika tidak berubah, aku fikir, MISI 33 itu bakal menjadi satu Mitos semata - mata.
Di saat negara menyambut ulangtahun ke 56 Kemerdekaan, kesemua 16 pasukan yang bertanding, pastinya turut mahu memerdekakan diri daripada tersingkir awal di Piala Malaysia 2013.

26.8.13

ESOK LAWAN LAGI.....

Selasa 27 Ogos adalah hari penamat pusingan pertama perlawanan peringkat kumpulan.
 Usai pertemuan esok, hanya tinggal tiga perlawanan buat menentukan hujung jatuh cabaran setiap pasukan.

Setakat dua perlawanan, hanya tiga pasukan yang mempamerkan prestasi konsisten. PKNS FC, Felda United FC mempamerkan prestasi yang amat konsisten.

Ironinya, ketika PKNS FC konsisten mencatat dua kemenangan, Felda United FC pula melakukan sebaliknya. Dua kekalahan tipis dicatat oleh mereka.

Di Kumpulan C, Terengganu mengekalkan konsistensi tanpa menang setakat ini. Tiga lagi pasukan dari kumpulan sama, hanya dipisahkan dengan satu mata.

Paling menarik tentunya pencapaian "cemerlang " Selangor dan Darul Takzim FC. Dua pasukan terbaik Liga Super 2013 itu bagaikan lemas dibadai gelombang Piala Malaysia 2013.

Lions XII FC pula meneruskan tradisi mereka. Gagal menang di arena lawan. Malah, di perlawanan pertama, mereka juga gagal menang di Singapura.

Di bawah adalah carta MD1 dan MD2 yang digandingkan sebagai rujukan betapa masalah konsistensi, menajdi masalah utama buat semua pasukan.
CUIT SIKIT:

Buat NS yang tidak bernasib baik di Paroi, Sabtu lalu, perlawanan ini pasti mahu dijadikan pengubat luka.
Memetik satu komen di wall PSNS, MENANG ADALAH BONUS ; KALAH SUDAH PASTI, aku fikir Duan Abu Shah dan barisannya hanya perlu mempamerkan aksi bertenaga dan menghiburkan.

Setakat hari ini, aku kira para PSNS boleh menerima kekalahan. Namun, biarlah kekalahan itu hadir setelah NS berjuang berhabis - habisan dengan aksi bertenaga dan persembahan yang menghiburkan.

Empat gol pemain midfield NS, S.Sivanesan meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini.

Buat NS, Kalah Itu Pasti. Namun, pastikan kekalahan itu adalah kalah bermaruah. Dan, monang adolah lobih baik.
Rekod Liga Super musim ini menyaksikan jika kena rentak dan tarinya, NS boleh mengalahkan Kelantan malam esok.

HOBEN JANG HOBEN!

22.8.13

FENOMENA RIDZUAN ABU SHAH.....

Kurang 30 jam daripada catatan ini, biar sekecoh mana pun setiap pasukan, terutamanya yang kalah, bakal turun lagi ke padang pertarungan.

SELANGOR dengan Misi 33 yang tidak pernah terpadam dan tidak juga tercapai itu, pastinya mahu menjadika perlawanan bertemu ATM untuk mencari mata penuh.

Kegagalan mencapai kemenangan di Pasir Gudang Selasa lalu, pastinya mahu dilupakan oleh mereka.

Bagi ATM, satu lagi kekalahan, laluan mereka yang bergelar NAIB JOHAN PM2012 itu pasti semakin berliku.
Pengakuan silap TMJ dan tanggapan ada pemain tidak jujur di dalam pasukan oleh Ketua Jurulatih menjadi rencah pahit buat DTFC. Sabtu ini, DTFC bakal melayan Felda United FC di Johor Bahru. 
Pertemuan dua pasukan yang menang di Kuala Terengganu dan dua pasukan yang kalah di Johor Bahru bakal merubah carta kumpulan.

KUMPULAN C yang dilabel Kumpulan Maut sudah menampakkan kejutan di hari pertama.
Turut terkejut  pastinya Lions XII FC yang gagal menewaskan Kedah di Singapura. Lebih terkejut pastinya apabila ada sambutan aidilfitri di Stadium Perak dengan dentuman mercun.
Pastinya, kantung FAM akan masyukkkkkkkkkkkkk selepas kes ini dibicarakan.


CUIT SIKIT:

Ridzuan Abu Shah telah mencetus satu fenomena di NS. Setiap perlawanan pertama di tangan beliau, NS menang.

Sebagai rekod, 18 Mei lalu, NS mencipta kemenangan tunggal di Liga Super setelah menewaskan ATM di Paroi. Ianya muncul menerusi kendalian pertama Duan setelah Divaldo Alves direhatkan.

Dan, hampir tiga bulan selepas itu [ 20 Ogos ], sekali lagi fenomena menang perlawanan pertama berlaku. Kali ini di Kuala Terengganu. Duan mengemudi NS untuk menang perlawanan pertama Piala Malaysia 2013.

Semacam diatur - atur, selepas menang perlawanan pertama, perlawanan seterusnya adalah bertemu PAHANG.

Rekod Liga Super mempamerkan betapa Pahang pada 22 Mei 2013 menjadi pasukan pertama menewaskan NS setelah NS menang kali pertam di Liga Super.

Dan, pada 24 Ogos ini, lawan NS di Paroi adalah PAHANG. Mungkinkah pencapaian Pahang itu bakal berterusan? Sama - sama kita nantikan keputusannya sekitar jam 10.30 malam, Sabtu nanti.
Buat Ridzuan Abu Shah, tahniah kerana mengekalkan pencapaian menang perlawanan pertama itu.

Namun, janganlah diulangi fenomena perlawanan kedua itu. Jika rekod tanpa menang ke atas Trengganu boleh dipadamkan di Kuala Trengganu, inilah masanya untuk memadamkan pula rekod tanpa menang ke atas Pahang.

Lebih manis jika ianya berlaku di Paroi.

HOBEN JANG HOBEN! KAYUH DUAN KAYUH!

20.8.13

TAHNIAH DUAN!.....

Akhirnya! Rekod tanpa menang NS berhadapan Terengganu musim ini lebur. Lebih manis, ianya berlaku di Kuala Terengganu.

Keputusan penuh hari pertama Piala Malaysia 2013;

JOHOR 0 : SELANGOR 0
ATM 3 : SIME DARBY FC 4
PKNS FC 2 : DARUL TAKZIM FC 0
FELDA UNITED FC 0 : T - TEAM FC 1
PAHANG 1 : KELANTAN 1
TERENGGANU 0 : NEGERI SEMBILAN 2
LIONS XII FC 2 : KEDAH 2
PERAK 2 : SARAWAK 1

Kedudukan kumpulan;
Satu permulaan yang bagus buat Duan dan NS.

CUIT SIKIT:

Ujian sebenar buat NS khususnya, adalah pada Sabtu ini.
Kecuali Lions XII, tiga pasukan dari balang satu semasa undian, akan bermain di arena sendiri Sabtu ini.

Buat PSNS, ayuh kita doakan agar Duan dan NS akan terus memadamkan rekod ini;
Setakat ini, belum ada pengesahan live oleh TV1. No LIVE ; No PROBLEM. Yang problem sekiranya NS gagal meneruskan kecemerlangan.

HOBEN JANG HOBEN! KAYUH DUAN KAYUH!

18.8.13

UCAP SELAMAT BUAT RIDZUAN ABU SHAH.....

SELASA 20 Ogos bakal tiba kurang 30 jam lagi.

Kaki bola dan PSNS tentunya tidak sabar untuk sepak mula Piala Malasyia 2013. 
Banyak pasukan telah berubah terutamanya Darul Takzim FC dan Johor. Manakan tidak, Johor hanyalah pasukan satelit kepada Darul Takzim. Pemain dan Ketua Jurulatih salin bertukar diantara mereka.

FELDA United FC pula baru menyedari betapa mereka lebih dekat dengan Warga Felda sekiranya bermain di Temerloh. Selama ini mereka bermimpi betapa kuatnya sokongan orang Felda jika bermain di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelana Jaya.

T - Team buat kesekian kalinya menukar Ketua Jurulatih. Bermula Orang Inggeris, Anak Tempatan, Orang Portugis dan akhirnya memilih seorang bekas pemain yang lebih dikenali sebagai pengulas, bukan sebagai Jurulatih, sebagai Ketua Jurulatih mereka.

Di kem Negeri Sembilan, saban hari kedengaran ucapan yakin boleh menang daripada pemain. Satu persediaan psikologi yang bagus. Kerana berada di Kumpulan Maut, suara si kerdil perlu tampil garang. Biar lawan takut. Biar lawan gerun dan kecut.

Jadual pusingan pertama sememangnya memihak NS. Satu away dan Dua home memberikan NS peluang untuk meraih mata. Enam mata di home dan satu mata di away pasti meletakkan mereka di dua tempat teratas kumpulan.
Namun, bolehkah mereka keluar daripada tahap persembahan di Liga Super itu? Di Liga Super permaianan NS bagus. Malangnya, gagal menjaringkan gol. Jika mendapat gol pun, di saat terakhir, kubu sendiri bocor.

Jika Ridzuan Abu Shah hanya mendapat kuasa ketika liga berbaki enam perlawanan, kini pentas Piala Malaysia juga menghidangkan enam perlawanan buat beliau. Semoga dalam tempoh persediaan Piala Malaysia, beliau mendapat idea baru buat NS.

CUIT SIKIT:

Biarpun PBNS telah mengumumkan bakal mencari Pengurus dan  Ketua Jurulatih baru musim depan, aku harap Duan boleh membuahkan sekurang - kurangnya satu mata di Kuala Trengganu Selasa nanti.
Padamkan rekod empat perlawanan tanpa menang bertemu Terengganu musim ini.

HOBEN DUAN HOBEN!

16.8.13

MERIAHNYA BOLA DI TEMERLOH.....

Temerloh atau pernah tersohor dengan nama Semantan sudah lama meriah. Bermula sejak era membebaskan negara daripada cengkaman penjajah sehinggalah sekarang, Temerloh tidak pernah lekang daripada mencatat sejarahnya tersendiri.

Datuk Bahaman dan Pak Sako adalah nama paling tersohor dan amat sinonim dengan Semantan atau Temerloh ini. Tidak juga boleh dilupakan kepada Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah. Mantan Ahli Parlimen Raub [ 1967 - 1978 ] dan Temerloh [ 1978 - 1982 ] itu diangkat sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC [ 9 Dis 1978 - 1 Ogos 1994 ].

Tidak juga wajar dilupakan apabila Temerloh pernah meriah di bidang kehakiman apabila Mahkamah Tinggi Temerloh menjadi medan perbicaraan kes berprofil tinggi yang membabitkan wanita berhati kering, Mona Fandy awal 1990'an lalu.

2013, Temerloh terus mencipta kemeriahan apabila dipilih sebagai arena tuan rumah Felda United FC di pertandingan Piala Malaysia.

Juga bakal meneruskan sejarah gah arena sukan Temerloh ialah satu daripada enam perlawanan Pestabola Merdeka 2013 bakal berlangung di sana.

Seingat aku, ini kali pertama Piala Malaysia dipertandingkan di Temerloh. Al-maklum Pahang menjadikan Kuantan sebagai arena tuan rumahnya setiap kali bermain di Piala Malaysia.

Musim lalu Stadium Majlis Perbandaran Temerloh ini hanya menjadi arena tuan rumah Pahang di pertandingan Liga Premier. Pasukan Shahzan Muda FC turut menjadikan Temerloh sebagai arena mereka. Namun, ianya juga di pertandingan Liga Premier. 

Musim ini, hanya Shahzan Muda FC terus bermain di Temerloh. Malangnya, ianya hanyalah perlawanan Liga FAM.

Biarpun tiga Presiden FAM datangnya dari Pahang, inilah kali pertama Pestabola Merdeka dimainkan di negeri itu. Dan, limpahannya turut sampai ke Temerloh.

CUIT SIKIT:

Buat para penguasa bola sepak di Temerloh, aku mencadangkan agar mengambil peluang daripada kemeriahan bola itu dengan mengusahakan program klinik bola bersama Felda United FC.

Ianya bersifat sambil menyelam, minum air. Biarlah anak - anak di peringkat umur 7 hingga 12 tahun mendapat manfaatnya. Sementelahan pula, khabarnya padang di Kampung Tengah [ jalan menghala ke Triang ] itu dijadikan sebagai padang latihan pasukan pelawat. Apa di tunggu lagi. Seharusnya SK Kampung Tengah boleh mengambil kesempatan ini.

Bukan mudah untuk Nunes, Nazmi Faiz dan Coach Azlan Johar boleh sampai ke Temerloh. Ambillah manfaat daripada kehadiran meereka itu.

Buat penguasa Stadium MP Temerloh pula, sukalah aku ingatkan supaya menjaga kualiti padang. Jangan sampai ada pasukan tidak mahu bermain di sana kerana kualiti rumputnya.

Buat semua ghodong dan kenalan di Temerloh dan kawasan sekitarnya, inilah masanya untuk membuktikan betapa TEMERLOH dan BOLA berpisah tiada.

13.8.13

TERIMA KASIH FC BARCA.....

Kira - kira seminggu lagi, sepak mula Piala Malaysia 2013 bakal berlangung.

Di bawah adalah jadual setiap hari pertandingan;

MD1

MD2

MD3

MD4

MD5

MD6
Lapan pasukan terbaik sebagai Johan dan Naib Johan Kumpulan bakal meneruskan cabaran di Peringkat Kalah Mati;
JADUAL KALAH MATI
Berdasarkan jadual, Pemenang Suku Akhir 3 [ WQF3] dan Pemenang Suku Akhir 4 [WQF4], bakal berentap di FINAL. Maknanya, satu daripada empat pasukan di Kumpulan C dan D adalah calon pilihan untuk ke pentas akhir. Dalam bahasa yang hampir tepat, Kelantan dan Lions XII bakal mengisi slot 03/11 itu.

Ini hanyalah ramalan awal. Kejutan demi kejutan pastinya bakal berlaku di sepanjang pertandingan nanti. Sama - sama kita nantikan.

CUIT SIKIT:

Aku berharap pasukan - pasukan di Malaysia dapat belajar sesuatu yang baru daripada FC Barca tempohari.

Bukan daripada aspek teknikal dan taktikal. Tetapi daripada aspek menggunakan kuasa tawar menawar untuk membolehkan mereka bermain di padang yang terbaik hasil penjagaan yang berkala dan berkualiti.

Saban tahun, kita hanya disogokkan dengan momokan FAM, Final mesti dimainkan di Lembah Kelang. Saban tahun kita dihidangkan aksi final di padang kokak. Setiap musim final kita sering mendengar  jawapan JKPT FAM "biarpun padang itu bukan terbaik, ianya bukanlah terlalu teruk" setiap kali diasak wartawan kerana kualiti padang.

Jika kedua - dua finalis menggunakan kuasa mereka, aku fikir pihak JKPT FAM bakal mengubah segala - gala tahyul ciptaan mereka sendiri tentang pentas final di padang teruk itu.

Terima kasih FC Barca kerana membuka mata ramai pihak betapa perlunya ada padang berkelas dunia di stadium bertaraf antarabangsa.

Satu isu yang sudah lama ditimbulkan oleh para penonton tetapi tidak pernah dipedulikan oleh FAM dan KBS serta Pihak Berkuasa Stadium di seluruh negara.

6.8.13

BOLA RAYA.....

Akhirnya saat dan ketika yang dinanti - nantikan bakal tiba Sabtu ini.
Riuh geger Mantan SU Agung FAM yang kononnya menolak perlawanan itu hanyalah seumpama ribut di dalam cawan.

Malaysia terus mencipta sejarah. Bermain bola di hari ketiga Aidilfitri belum pernah dibuat orang.

Namun, itu cerita dahulu. Cerita 2013, bola di hari raya dan raya bersama bola boleh digandingkan kalau kena dengan skripnya.

FC Barca akhirnya mencipta sejarah sebagai pasukan bola asing pertama menyambut Aidifitri di Malaysia.

Sekitar 12 hari selepas 1 Syawal, Piala Malaysia 2013 bakal berlangsung.
Dan ianya bakal berlangung hampir tiga bulan dengan banyak penangguhan. Yang menariknya, Liga Super dan Liga Premier seringkali tertangguh kerana pasukan kebangsaan.

Piala Malaysia pun begitu juga. Penangguhan yang terpaksa kerana komitmen pasukan kebangsaan di peringkat Asia.
CUIT SIKIT:

Jangan terkejut sekiranya tahun hadapan akan berlangsung pula perlawanan bola di Aidilfitri Ke 2.

Apabila kepentingan fulus mengatasi segala - galanya, kita akan terus disogokkan dengan pelbagai perkara yang tidak pernah dibuat orang sebelum ini.

Akhirulkalam, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATHIN buat para pembaca blog ini.

4.8.13

JADUAL LENGKAP PM2013.....

Dipaparkan Jadual Lengkap Piala Malaysia 2013 buat semua pembaca blog ini.

Agihan Kumpulan:
Jadual Perlawanan Kumpulan:
Jadual Perlawanan Kumpulan C:
Jadual Perlawanan Kalah Mati:
CUIT SIKIT:

Berdasarkan kedudukan ketika undian tempohari, Selangor, ATM, Darul Takzim FC, PKNS FC, Kelantan, Pahang, Lions XII FC dan Perak adalah pasukan yang diramalkan akan ke peringkat kalah mati.

Namun, Piala Malaysia yang tidak pernah sunyi daripada elemen kejutan, aku tidak fikir kesemua lapan pasukan di atas akan ke suku akhir. Kejutan pastinya berlaku menerusi kebangkitan lapan pagi pasukan yang bertanding itu.

Pastinya ramai yang tertumpu ke Kumpulan C. Di sana sarat dengan bekas juara. Di sana ada dua pasukan paling berjaya dalam empat edisi terakhir Piala Malaysia.

Dan, di Kumpulan C juga ada NEGERI SEMBILAN yang amat sinonim dengan kejutan di Piala Malaysia.

HOBEN JANG HOBEN!

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH