Jumlah Paparan Halaman

13.12.10

MERIAHNYA PELUANG MENUNTUT ILMU DI FELDA….dan Jangan Ulangi Kesilapan Lalu

Buat Semua Calon SPM 2010 dan mereka yang prihatin:

Blogger menulis :
Ketika FELDA diasak oleh ANAK, Pakatan Rakyat, Mazlan Aliman dan Anwar Ibrahim, sekali lagi kerajaan mencurahkan bantuan yang besar untuk warga rancangan tanah persekutuan itu. Sejumlah RM210 diperuntukkan bagi anak-anak peneroka yang keciciran untuk melanjutkan pelajaran dan memperolehi kemahiran tinggi seperti membaiki kapal terbang dan sebagainya.
author: CUCU TOK WAN theflyingkick.blogspot.com/

Gambar Hiasan
 Tulisan sebuah akhbar arus perdana:
2010/12/12:RM50j kos biaya pengajian anak peneroka FELDA
PUTRAJAYA: FELDA memperuntukkan RM50 juta setahun membiayai kos pengajian 5,000 anak penerokanya yang menyambung pengajian di pelbagai institusi kemahiran di negara ini.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Konvensyen Belia FELDA sempena Karnival Iktiraf peringkat Kebangsaan 2010, di sini semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata peruntukan sejak 2005 itu bertujuan memastikan anak peneroka yang gagal mencapai keputusan cemerlang dalam akademik berpeluang meneruskan pelajaran dalam bidang kemahiran dan teknikal. "Dalam tempoh dari 2005 hingga tahun ini saja, kita sudah membelanjakan RM210 juta bagi membiayai lebih 33,000 anak peneroka di institut kemahiran. Peruntukan ini dalam bentuk geran dan diharap mampu menangani masalah keciciran anak peneroka," katanya. http://www.bharian.com.my/
 
Gambar Hiasan

CUIT SIKIT:
Aku ingin menambah kenyatan di atas.

Sumber Felda menyatakan....Kewangan dari sumber sendiri (FELDA), itu belanje 5 th. Sikit aje .......setahun lebihkurang 42 juta dan peneroka ade lebih kurang 112,000 lebih kurang 375 ringgit perpeneroka (inilah fakta sebenar yang anda wajib ketahui).
Yang Aku tahu:

RM 210 juta itu bukan daripada Kerajaan tetapi daripada sumber Felda sendiri. Akaun kewangan Kerajaan dan Felda adalah berbeza. Felda memperolehi pendapatannya menerusi:
  1. Keuntungan Ladang Felda yang diurus secara komersil oleh Felda Plantations Sdn. Bhd.
  2. Pelaburan.
  3. Sumber Dalaman-sewaan aset dan sebagainya.
Daripada sumber itulah pula, Felda membayar cukai pendapatan, membayar zakat, melaksanakan tangungjawab sosialnya (CSR), menubuhkan pelbagai tabung pembiayaan samada sebagai pinjaman ataupun bantuan untuk warganya.

Juga, amat penting untuk anda ketahui, pembiayaan pengajian kemahiran tinggi itu, bukan bantuan, tetapi adalah dalam bentuk pinjaman. Dinamakan sebagai Skim Pinjaman Pelajaran Tinggi FELDA (SPPTF) sama seperti Pinjaman Pelajaran Tinggi Nasional (PPTN). Dan ianya telah bermula sejak tahun 2005 lagi. Setiap Pinjaman Wajib dibayar. Melaporkan pinjaman sebagai bantuan adalah satu kesilapan yang nyata dan tidaklah diketahui apa motifnya. 
Gambar Hiasan
 Komitmen Felda di sektor pengajian tinggi untuk warga Felda:

Bantuan Pelajaran Tinggi: Skim Bantuan Pelajaran Tinggi diberikan kepada anak-anak peneroka yang layak dan berjaya melanjutkan pengajian mereka ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma serta mengikuti pengajian sepenuh masa. Bantuan ini diberi (sekali sahaja mengikut yang mana terdahulu) untuk meringankan beban kewangan serta menggalakkan mereka meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kadar bantuan: Diploma RM 500.00, Ijazah RM 1000.00, Ijazah Luaar Negara RM 1500.00.
Skim Pinjaman Pelajaran Tinggi FELDA (SPPTF): SPPTF ini diberikan bagi membantu anak peneroka mendapat sumber pembiayaan bagi meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi. Pinjaman ini layak kepada semua anak peneroka yang bersama FELDA yang menuntut di IPTA/IPTS seluruh negara dan juga ditawarkan kepada mereka yang tidak menerima bantuan kewangan dari mana-mana pihak. Kadar pinjaman: Diploma RM 4,500.00 setahun dan Ijazah RM 6,000.00 setahun.
Biasiswa Kumpulan FELDA: Pada tahun 2008, FELDA telah menawarkan sebanyak 20 tempat untuk Anugerah Dana Khas Pelajar Cemerlang 2008 pelajar lepasan SPM 2007 yang terdiri daripada anak peneroka dan anak kakitangan FELDA. Daripada jumlah tersebut, hanya seramai 14 pelajar yang didapati layak dan dihantar mengikuti program persediaan di beberapa institusi di seluruh Negara. Pada tahun 2009, FELDA telah mula menghantar pelajar ke luar negara. Seramai 36 pelajar telah dihantar ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan Ireland bermula Ogos sehingga Oktober.
WARGA FELDA: KETAHUI FAKTA SEBENAR…
Yang terpilih untuk mengikuti kursus di bidang penerbangan itu (memerlukan kelulusan SPM yang baik khusunya subjek matematik dan sains), pastinya akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Tetapi jumlahnya tidaklah seramai mana. Yang ramai adalah di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Kampus Cyberjaya.  Ada LIMA BELAS jenis kursus kemahiran bertaraf diploma yang disediakan di situ.

YB Datuk Ahmad Maslan
“dengan peruntukan sebanyak RM50 juta setiap tahun, kita ingin menyeru agar anak-anak peneroka menggunakan program kemahiran ini dengan baik,"
"Jika dulu kita bagi ikan, maka ikan itu akan habis dimakan, tetapi kita ajar mengail ikan Insya-Allah mereka boleh makan ikan seumur hidup," Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Khabarnya, daripada jumlah lima puluh juta itu, Felda memperuntukkan sebanyak RM23 juta setahun sebagai pembiayaan (kail dan pancing) anak - anak Felda di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing, Kampus Cyberjaya. Malangnya, kebanyakan anak – anak Felda yang berpeluang belajar di situ,  tidak menggunakan sebaik mungkin pancing dan kail yang diberikan itu. Majoriti mereka memilih bidang penyiaran radio dan televisyen yang tidak menjanjikan apa - apa peluang terbaik, berbanding bidang - bidang lain yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Mereka  tidak memilih kursus yang boleh menjamin pekerjaan yang baik dan berpendapatan tinggi, sedangkan matlamat Felda berkolobrasi dengan universiti berkenaan adalah untuk mempastikan anak – anak Felda yang kurang berjaya di peringkat SPM ini, akhirnya akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakan – rakan mereka yang cemerlang di peringkat SPM dan berpeluang melanjutkan pelajaran di IPT di dalam dan di luar Negara.

Menerusi catatan di bawah, anda carilah sendiri apakah bidang yang mampu membantu anda untuk mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik dan ketahui pula bidang yang paling disukai anak Felda sebelum ini.
KURSUS PERINGKAT DIPLOMA KEMAHIRAN
Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing
UNTUK GENERASI BARU FELDA
Bil.  Bidang Kursus
1.  Diploma In Creative Multimedia
2.  Diploma In Animation
3.  Diploma In Digital And Interactive Art
4.  Diploma In Digital Video
5.  Diploma In Broadcasting
6.  Diploma In Packaging Technology
7.  Diploma In Textile Design
8.  Diploma In fashion & Apparel Design
9.  Diploma In Hair Design
10.  Diploma In Interior Design
11.  Diploma In Photography
12.  Diploma In Merchandising Design
13.  Diploma In  Merchandising & Retailing
14.  Diploma In Retail Management
15.  Diploma In  Accessories Design
Gambar Hiasan: Peluang pengajian di UTKLKW terhad untuk anak peneroka, anak kakitangan Felda,cucu peneroka dan permohonan perlu dibuat menerusi di pejabat rancangan Felda sahaja.
Gambar Hiasan: Pelajar Felda Cemerlang Di Bidang Sukan, Cemerlang Juga Di Bidang Akademik
KESILAPAN LALU SEBAGAI PEDOMAN:

Kajian aku, bermula tahu 2005, selama 3 tahun berturut – turut di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing, dengan purata kemasukan seramai 350 orang setahun, lebih 30 peratus anak – anak Felda memilih bidang penyiaran radio dan televisyen sebagai bidang pengajiannya.
Dalam ertikata yang lain, disepanjang tempoh kajian itu, lebih 300 orang pemegang diploma penyiaran radio dan televisyen yang dibiayai oleh Felda, telah berada di pasaran pekerjaan sekarang ini. Stesen penyiaran manakah yang mahukan begitu ramai penyiar? Di manakah mereka sekarang ini?. Adakah mereka telah mendapat glamour yang mereka cari itu? Setahu aku, hanya seorang daripada mereka yang telah berjaya di bidang penyiaran, menerusi Radio KlasikNasional. Siapa gerangannya, anda carilah sendiri. Yang lain? 
MENGAPA DIPLOMA PENYIARAN MENJADI PILIHAN?:
Khabarnya, anak – anak Felda memilih bidang penyiaran, kerana itulah satu – satunya kursus yang senang dan mudah untuk dipelajari dan tidak perlu melukis, sedangkan, bidang itu juga, tidak menjanjikan apa – apa kemahiran tinggi yang boleh menjamin masa hadapan berbanding kursus – kursus lain yang turut ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Singkatnya pemikiran anak - anak Felda ini. Lantaran mencari yang mudah dipermulaan, akhirnya mereka yang kerugian.
Dalamasa yang sama ketahuilah, setiap pelajar akan dibiayai oleh Felda sebanyak RM 26,000.00 (baca sebagai pinjaman dan wajib dibayar semula), untuk yuran pengajian, yuran penginapan, yuran makan dan minum tiga kali sehari  dan juga yuran pengangkutan di sepanjang tempoh pengajian mereka.

Jangan kata aku sembang kosong. Semasa bertugas sebagai penyiar Suara Felda di RTM Negeri Sembilan dahulu, aku pernah berkerja bersama seorang graduan penyiaran radio dan televisyen dan pernah juga aku menerima pelatih latihan industri penyiaran radio dan televisyen dari Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing.  Penilaian aku, bidang penyiaran radio dan televisyen tidak mampu memberikan apa – apa impak kepada diri mereka sendiri dan tidak mampu menjamin kerjaya dan pendapatan yang baik buat mereka.
Ramai graduan penyiaran radio dan televisyen itu, samada masih mengganggur atau pun bekerja bukan di bidang yang mereka pelajari termasuklah bekerja sebagai Penyelia Ladang dan Pembantu Pembangunan Masyarakat Felda (SDA Wanita). Setelah menghabiskan masa selama 3 tahun membuat diploma dengan puluhan ribu ringgit sebagai pinjaman, adakah itu kesudahan yang Felda dan kita mahukan?
Akhirnya, pelaburan Felda itu (walaupun pinjaman) akan berkesudahan dengan kerugian dan kegagalan kepada individu berkenaan. Yang terbeban dengan hutang bersama Felda adalah BAPA anda sendiri, kerana beliaulah penjamin pinjaman berkenaan. Salah siapa?.

Moyang aku pesan; Wahai cicitku, jika kamu pergi memancing, usahakan supaya mendapat ikan  jelawat (berharga tinggi). Jangan pulang sekiranya hanya mendapat seekor seluang.

Jadi, daripada anda memilih kursus yang tidak menjanjikan apa - apa,  lebih baik anda memilih untuk belajar menggunting rambut kerana di rancangan Felda, tukang gunting untuk wanita khususnya, amat jarang kita temui.
FIKIRKANLAH DAN JANGAN ULANGI KESILAPAN YANG TELAH DIBUAT OLEH  ABANG - ABANG DAN KAKAK - KAKAK ANDA SEBELUM INI, kerana kita tidak mahu program diploma kemahiran tinggi Felda itu, hanya gah kerana angka juta tetapi kosong dari aspek kualiti.
Dan siapa pula yang perlu memperbetulkan kesilapan itu. ANAK? BAPAK? GWGF? MBFM? FELDA? DIRI SENDIRI?. Sendiri soal, sendirilah yang menjawab…atau tinggalkan ulasan anda di nizamhasan@hotmail.com
Nota kaki:
Tulisan berkaitan Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing ini, bukanlah sebagai promosi kepada universiti  berkenaan tetapi adalah fakta sebenar yang aku ketahui.
Untuk memohon jawatan Penyelia ladang dan Pembantu Pembangunan Masyarakat Felda ini, hanya memerlukan sijil SPM, bukannya Diploma Penyiaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH