CATATAN KHAS SEMPENA KONVENSYEN BELIA FELDA MALAYSIA 2010……
Perkasa belia Felda 30/11/2010
PUTRAJAYA: Usaha memperkasa dan memperhebatkan kepemimpinan belia Felda untuk memastikan golongan itu dapat menyumbang ke arah pembangunan masyarakat akan dibentangkan pada Konvensyen Belia Felda Malaysia 2010 pada 11 Disember ini.
Konvensyen yang diadakan sempena Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) itu akan menghimpun 750 peserta terdiri daripada warga belia dari seluruh tanah rancangan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.
Pengarah Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasid, berkata perkara yang akan bincangkan pada konvensyen itu akan dijadikan satu resolusi dikenali Resolusi Putrajaya yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada kemuncak karnival berkenaan.
“Antara perkara yang akan dibentangkan termasuk mewujudkan satu struktur kepemimpinan belia Felda yang lebih tersusun dan jelas berasaskan kehendak akar umbi, termasuk melantik ketua blok dari kalangan belia untuk menggalakkan pembabitan golongan itu dalam program, sekali gus melahirkan pemimpin berkaliber.
“Perkara kedua yang akan dibincangkan adalah menentukan pendekatan terbaik untuk memastikan belia Felda terbabit dalam bidang keusahawanan dan koperasi manakala perkara ketiga adalah menyediakan peluang kedua kepada belia Felda yang tercicir dalam bidang pendidikan,” katanya pada sidang media mengenai Karnival Iktikaf di sini, semalam….baca seterusnya di www.felda.net.my
CUIT SIKIT:
Mendasari maksud dan tujuan Konvensyen Belia Felda Malaysia 2010, tidak lain dan tidak bukan, untuk memeriahkan kembali, suasana suram Belia Felda sekarang ini. Dalam ertikata lain, konvensyen berkenaan akan menjadi medan dan platform Belia Felda kembali PERKASA dan memiliki dayajuang yang tinggi untuk menjadi benteng mempertahankan Felda.
Bagi aku, melantik ketua blok dari kalangan belia untuk menggalakkan pembabitan golongan itu dalam program, sekali gus melahirkan pemimpin berkaliber, adalah langkah terbijak yang pernah difikirkan sejak sekian lama Felda diwujudkan. Aku angkat ibu tangan untuk idea itu. Aku berharap, pengurusan Felda akan segera melaksanakan gagasan ini, sekiranya diluluskan menerusi konvensyen berkenaan.
Tetapi, perlantikan itu seharusnya untuk mengetuai belia di dalam blok berkenaan sahaja, sama seperti peranan Ketua Blok Wanita. Jangan pula Ketua Blok Belia mengambilalih peranan Ketua Blok sebenar. Marah BAPA kita nanti. Tidak pasal – pasal nanti Belia Felda setaraf dan sekufu dengan Si Tanggang, akibat digelar ANAK Derhaka. Tidak mengapa kalau disumpah menjadi supercar, semakin megahlah kita. Andai disumpah menjadi batu, alamat tenggelamlah kita.
Menjadi tanda tanya, Ketua Blok Belia, akan dibawa ke arah mana? Hanya setakat peringkat blok, atau akan diadakan pula Jawatankuasa Belia Rancangan (JKBR), Wilayah dan Pusat?.
Perlu diingat, semua Ketua Blok Lelaki di rancangan yang dilantik di peringkat blok, akan membentuk Jawatankuasa keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR), manakala semua Ketua Blok Wanita yang juga dilantik di peringkat blok, akan membentuk Gerakan Persatuan Wanita Rancangan (GPW).
Timbalan Pengerusi JKKR (Ketua Peneroka) dan Pengerusi GPW (Ketua Penerokawati) rancangan akan membentuk pula Gabungan JKKR dan GPW peringkat wilayah masing – masing. Semua Timbalan Pengerusi Gabungan JKKR dan Pengerusi GPW Wilayah, akan membentuk pula Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP). Menerusi JKPP itulah, akan dilantik seorang KETUA PENEROKA FELDA MALAYSIA.
Menyusuri susur galur itu, seharusnya, perlantikan Ketua Blok Belia ini akan membentuk pula Majlis Belia Felda Rancangan, Wilayah dan Pusat. YA atau TIDAK?
Sekiranya TIDAK, di mana akhirnya Ketua Blok Belia ini? Sedangkan mereka adalah pemimpin masa depan masyarakat rancangan. Akhirnya berlaku satu lagi pembaziran potensi modal insan.
Sekiranya YA, maka wajib dilantik Ketua Blok Belia ini, di kalangan belia yang bermastautin di rancangan kerana mereka lebih hampir dengan belia dan pemimpin lain di peringkat blok. Bukannya melantik mereka yang bermastautin di luar rancangan dan penuh dengan aktiviti peribadi, untuk mengetuai belia di rancangan dan akhirnya tidak dapat memberikan apa - apa komitmen untuk memajukan Belia Felda di rancangan.
Justeru, perlembagaan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), perlu dipinda, supaya semua Ketua Blok Belia, bergabung membentuk MBFM Rancangan dan mereka akan memilih Pengerusi MBFM Rancangan tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam hal ini, kepimpinan MBFM sekarang perlu bersikap bijak dan rasional untuk memberikan laluan kepada Ketua Blok Belia ini menjadi teraju kepimpinan MBFM Rancangan.
Selama ini, perlembagaan MBFM menetapkan, semua ahli layak menjadi pemimpin sekiranya mendapat pencalonan dan sokongan majoriti ahli menerusi Mesyuarat Agung Tahunan dan tidak berlaku pemilihan pemimpin di peringkat blok. Cerita sebenar bagaimana pemimpin dan kepimpinan Belia Felda dipilih, tidak perlu aku catatkan di sini.
Sekiranya tidak diselaraskan peranan Ketua Blok Belia sebagai kepimpinan MBFM Rancangan, dikhuartiri akan timbul pula isu SATU KAPAL, DUA NAKHODA. Pasti, ketika itu, timbul pula isu ANAK Soleh dan ANAK Derhaka di rancangan – rancangan Felda. JANGAN gara - gara berebut untuk memimpin Belia Felda, tertubuh pula ANAKNDA dan AYAHNDA. Akhirnya, Belia Felda juga yang menjadi PERKAKAS? Siapa yang rugi, siapa pula yang untung?
Dan, tatkala Ketua Blok Lelaki dan Wanita mendapat sedikit imbuhan bulanan, adakah Ketua Blok Belia turut mendapat imbuhan berkenaan? Biar pun imbuhan itu sedikit, terima sahajalah . JADILAH..... ASAL JANGAN TAK MERASA...tak gitu?
SELAMAT BERKONVENSYEN;
SEGERA LAKSANAKAN RESOLUSI KONVENSYEN.
Nota Kaki: Menjadi sistem yang diamalkan Felda, pentadbiran sosial di rancangan, ditadbir secara BLOK. Setiap BLOK biasanya mengandungi 20 keluarga peneroka. Ketua Blok Lelaki akan membentuk JKKR manakala Ketua Blok Wanita akan membentuk GPW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan