Jumlah Paparan Halaman

31.10.12

CERITA PRO.....

Tuan Presiden PBNS sudah berbunyi. Meluahkan rasa tidak puas hati kerana ada pihak yang tidak menghormati kontrak yang masih berjalan.
 
JABAT TANGAN-Tanda setuju. Bila Dah Setuju, Hormatilah Persetujuan Itu
 
Baca seterusnya,
 
“SAYA berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat melihat perkara ini (isu kontrak) demi memastikan setiap peraturan dipatuhi dan dilaksanakan sebaik mungkin,” kata Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.
 
Beliau mengulas isu segelintir pemain tidak menghormati kontrak dengan pasukan lama apabila menandatangani kontrak baru menjelang Liga Malaysia (Liga M) 2013.
 
Tindakan itu mengundang rasa tidak senang beliau kerana menyifatkan ia sesuatu yang tidak beretika dan menggambarkan pemain tidak menghormati kontrak ditandatangani dan dipersetujui dengan pasukan lamanya.
 
Menurut Mohamad, pemain sepatutnya sedar mereka tidak boleh menandatangani kontrak baru dengan pasukan lain selagi kontrak lama masih berkuatkuasa.
 
 “Ini berlaku pada pemain Negeri Sembilan apabila menandatangani kontrak dengan pasukan baru sedangkan kontrak asal dengan PBNS masih sah sehingga hujung November depan. Persatuan bola sepak negeri-negeri sepatutnya arif perkara ini.
 
 “Sepatutnya, persatuan negeri yang berhajat mendapatkan pemain Negeri Sembilan menulis surat secara rasmi kepada PBNS bagi membolehkan perpindahan pemain dilakukan secara baik.
 
“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya, mereka (persatuan negeri) terus berbincang dengan pemain dan membenarkan mereka menandatangani kontrak baru,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Seremban, semalam.
 
Beliau mengulas tindakan pemain import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona, yang dilaporkan sudah menandatangani kontrak baru dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan.
 
Menurut Mohamad, dalam era bola sepak profesional, seharusnya pengurusan pemain juga dibuat secara profesional kerana ia penting untuk kemajuan bola sepak negara.
Katanya, pihaknya tidak bercadang memberikan cadangan kepada FAM mengenai peraturan berkaitan kerana badan induk bola sepak negara itu lebih arif mengenainya.
“Apa yang saya harapkan, FAM dapat menilai dan melihat secara keseluruhannya mengenai perkara ini supaya pemain tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan hingga menyusahkan pasukan atau menyebabkan hilangnya nilai kredibiliti kontrak,” katanya.

Sebagai Presiden PBNS, Tok Mat memang berhak untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya.  Sememangnya ada sedikit keraguan di hati aku apabila Farizal Marlias dikhabarkan telah menandatangan kontrak bersama Perak pada 7 Oktober 2012. Lima hari setelah NS tersingkir di Piala Malaysia, Jai Marlias telah membuka lambaran baru bersama Perak sedangkan ketika itu pastinya beliau masih ada kontrak bersama NS.
 
Sebenarnya ada klausa di kontrak yang membenarkan mana - mana pemain dan pengurusan untuk mengadakan perbincangan dengan mana - mana pasukan tiga bulan sebelum kontrak mereka berakhir.
 
Mengadakan perbincangan bukan bermakna bersetuju untuk mengikat kontrak. Tempoh tiga bulan itu lebih kepada tempoh bertenang untuk semua pihak. Samada pemain, pasukan lama mahu pun pasukan baru, perlu menggunakan tempoh berkenaan untuk mengadakan perbincangan lanjut berkaitan terma dan syarat yang telah dan bakal dimeterai bersama.
 
Masalahnya, sepanjang tempoh tiga bulan yang dibenarkan itu, siapakah pihak yang akan membincangkan soal perpindahan?
 
Aku fikir, pemain tidak mungkin mempunyai ruang dan peluang untuk berbincang kerana kekangan jadual latihan dan perlawanan yang ketat.
 
Adakah para SU Agung dan SU Eksekutif Persatuan akan membincangkan soal perpindahan pemain? Jawapannya, jauh panggang dari api. Sebab, itu bukan tugas mereka.
 
Di sini, jelaslah rundingan sulit telah berlaku diantara pemain dan pasukan baru. Mungkin lebih awal daripada tempoh tiga bulan itu. Prokah kita?
 
Lebih teruk apabila ada pihak yang mengaku telah mengadakan perbincangan dengan pemain secara individu, lima bulan sebelum ini.
 
Mengadakan perbincangan sulit lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan oleh kontrak mempamerkan sikap kita yang sangat pro.
 
CUIT SIKIT:
 
Aku teringat sembang santai aku dan bekas pemain negeri satu ketika dahulu berkaitan soal pro ini.
 
Jelas beliau, di Malaysia belum ada pemain dan pengurusan pasukan yang benar - benar pro dalam soal kontrak dan sikap.
 
Tambah beliau lagi, kebanyakan yang mengaku pro itu hanya merujuk kepada proBLEM dan proJEK sahaja.
 
Ketika Liga Malaysia bergerak secara teratur dan dikatakan pro mulai 2004, kita masih disogokkan dengan soal tidak menghormati kontrak pada tahun 2012. Sembilan tahun yang berlalu rupa - rupanya, pro yang diharapkan bukan proFESIONAL tetapi lebih menjurus kepada proBLEM.
 
Selagi tidak wujud ejen dikalangan pemain dan pasukan, selagi itulah soal langgar kontrak ini bakal berterusan.

Tambah proBLEM apabila ada persatuan tidak mematuhi kontrak yang mereka sendiri tawarkan apabila GAGAL MEMBAYAR GAJI dan lain - lain caruman kepada pemain dan pengurusan pasukan.

27.10.12

NS MERIAH.....

Jika tiada sebarang pindaan, Liga Malaysia 2013 bakal berlangsung awal Januari dengan pertemuan sumbangsih pada 5 Januari, Kelantan lawan ATM [kemungkinan].
 
Kelantan gah dengan 3 Juara. Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia telah selamat bermukim di Kota Bharu. Sekurang - kurangnya untuk tempoh setahun.
 
Musim 2012 menyaksikan hanya ada 3 pasukan yang merasa nikmat menjulang piala. Selain Kelantan, ATM menang Liga Premier dan Negeri Sembilan menang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Perlawanan Sumbangsih pembukaan Liga Malaysia 2012. Tiga lagi pasukan yang hampir - hampir menjulang piala adalah Lions XII [ Naib Juara Liga Super ], Pahang [ Naib Juara Liga Premier ] dan Sime Darby [ Naib Johan Piala FA ].
 
Jika hanya menang satu piala, di mana meriahnya NS? Memang tahun 2012, NS hanya menang satu piala. Tak meriah pun. Tetapi, musim 2013 bakal menyaksikan NS adalah satu - satunya negeri yang mempunyai wakil di semua liga.
 
Yayasan Negeri Sembilan [ YNS ] khabarnya bakal beraksi di Liga FAM. Bersaing dengan 3 negeri. Perlis, Pulau Pinang dan Melaka sepatutnya tidak bermain di sini. Tetapi, itulah hakikatnya. Jika tiada perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri, ketiga - tiganya dijangka bakal bermain lebih lama di Liga FAM.
 
Selain YNS, muka baru di Liga FAM adalah Perlis, Kedah United dan Cebagoo FC dari Sabah. Lain - lain pasukan adalah Melodi Jaya [ Johor ], SDM Kepala Batas [ Pulau Pinang ], Perbadanan Bekalan Air [ Pulau Pinang ], UiTM FC [ Selangor ], Tentera Darat [ ATM ] dan Shahzan Muda [ Pahang ].
Juara Liga FAM 2011, Betaria FC sudah turun ke Liga FAM 2013 tetapi terselamat apabila MP Muar menarik diri dan Betaria menang 'playoff' kedua ke atas UiTM FC.
 
Pencabar lain tentunya Kedah, Kuala Lumpur, Johor FA, Sabah, Sarawak, USM, Sime Darby, SPA, PDRM, POS dan Harimau Muda B. 
 
Semoga Betaria bakal muncul sebagai pencabar serius di Liga Premier. Bukan sebagai pasukan belasahan.
PBNS atau NS adalah pelengkap kepada meriahnya cabaran NS di Liga Malaysia 2013. Selain cabaran 7 pasukan negeri, Liga Super 2013 bakal dimeriahkan oleh 5 pasukan bukan negeri yang juga amat serius untuk menjuarai Liga Super.
 
Cuma, pastinya bakal timbul tandatanya bagaimana prestasi NS setelah ditinggalkan oleh Azraai Khor, Farizal Marlias, Shukor Adan dan S. Kunanlan. Itu 4 nama yang setakat ini telah mengesahkan bakal mencari cabaran baru bersama pasukan lain. Mungkin ada lagi perpindahan bakal berlaku terutamanya melibatkan pemain import.
 
Pada ketika ini,dikhabarkan NS bakal mendapat sentuhan Ketua Jurulatih Import dan juga pemain import baru.
 
Harapan semua:
 
Biarlah musim 2013 menjadi tanda aras transformasi bola sepak NS. Semoga musim 2013 menjadi titik tolak kebangkitan pasukan - pasukan dari NS untuk menjadi kuasa bola sepak Malaysia.
 
Kita ambil semula semua piala yang sedang bermastautin di Kota Bharu itu, kerana semua piala itu pernah bermukim di Seremban sebelum ini. Cukuplah kita bagi pinjam kepada Kelantan selama setahun.
 
 
CUIT SIKIT:
 
Kelantan memang hebat kerana menang tiga piala dan layak ke suku akhir Piala AFC.
 
Tetapi, Pulau Pinang lagi hebat. Sebabnya, ada 3 pasukan dari sana yang kesemuanya bermain di Liga FAM.
 
 
 
 
Sangat hebat kiranya YNS menjuarai Liga FAM. Betaria FC pula berkuasa di Liga Premier dan NS muncul semula sebagai Juara Liga Super seperti yang pernah dicapai pada 2006.
 
HOBEN JANG HOBEN!

23.10.12

SENTUHAN PORTUGAL UNTUK JANG.....

Dilaporkan hari ini di pelbagai wall bola, Divaldo Alves yang telah membawa Persebaya FC muncul sebagai Naib Juara liga Premier Indonesia 2012, bakal melatih Skuad NS 2013.
 
Jika benar, ianya mungkin sesuatu yang menarik untuk melihat sentuhan Portugal yang juga digelar "Brazil Eropah" itu. Mungkin juga yang muncul bukan sentuhan Portugal tetapi sentuhan Indonesia menerusi para pemain seperti Andik Virmansyah itu.
 
Jika benar berita ini, aku fikir PBNS amat serius untuk melihat kejayaan besar buat NS musim hadapan. Semoga pemburuan tempat ke Piala AFC 2014, turut menjadi agenda.
 
CUIT SIKIT:
 
NS bermain ala Portugal dengan pemain import dari Indonesia hanyalah bayangan. Realitinya, mentaliti profesional wajib hadir di Medan Rahang dan juga di padang.
 
Jika masih ada bunyi sumbang berlakunya 'campurtangan' daripada pihak berkuasa di Medan Rahang, apa pun tak boleh jawabnya.

22.10.12

TELUR REBUS PUNYA KISAH.....

BerhuluCamp di Jeram Kenangan, Kampung Serting Hulu, Jempol sekali lagi telah menemukan aku dengan sejumlah rakan baru.
Pada 12 hingga 14 Oktober lalu, aku berhadapan dengan 84 orang pelajar – pelajar semester pertama dari Politeknik Nilai. Program Kem Senyuman Alam memerlukan aku memikirkan idea baru secara spontan untuk menguji mereka.
Sabtu 13 Oktober, ada 9 biji telur rebus tidak diambil oleh pelajar Diploma Perbankan Islam itu. Memikirkan, betapa ruginya jika telur rebus ini tidak dimanfaatkan, aku bahagikan lapan biji telur berkenaan kepada seorang lelaki dan seorang perempuan untuk 4 kumpulan.
Aku hanya menyerahkan kepada 8 orang yang bertuah tanpa apa – apa komen dan arahan. Apa yang aku fikirkan, pakej yang diambil kali ini tidak menyediakan kudapan jam 10.30 pagi, sedangkan mereka bakal berhadapan dengan cabaran merentas halangan yang bukan mudah untuk diatasi. Pasti lapar. Tambahan pula cuaca amat sejuk kerana hujan pada malam sebelumnya.
Biar pun merentas halangan itu tidaklah melibatkan acara tali temali, tetapi, berhadapan laluan yang melibatkan tanah, air dan lumpur, pasti mencabar fizikal para peserta kursus berkenaan.
Justru, apa yang aku fikirkan ialah, sekurang – kurangnya ada dua biji telur rebus pada setiap kumpulan dan boleh membantu mereka apabila terasa lapar. Sebabnya, modul merentas halangan itu bakal berlangsung selama tiga jam tanpa henti. Setidak – tidaknya, ada dua orang bagi setiap kumpulan yang lebih bertenaga untuk membantu rakan – rakan lain sekiranya diperlukan.
Pagi Ahad di hari hari terakhir program, para peserta bakal dibawa ke Jeram Kenangan untuk program Kembara. Biar pun tidak melibatkan pencarian dan ckeck point, program itu memakan masa hampir tiga jam dengan laluan mendaki dan menurun bukit yang juga mencabar fizikal dan minda.
Usai sarapan pagi, aku dapati ada 28 biji telur rebus yang tidak diambil oleh peserta kursus. Dan, sekali lagi aku bekalkan mereka dengan telur rebus kerana sekali lagi, tiada kudapan jam 10.30 pagi disediakan.
Pagi Ahad yang meriah itu, berakhir dengan rumusan program yang bermula sekitar jam 11.30 pagi.
Perkara pertama yang aku tanya pastinya di mana telur rebus yang diberikan bermula pagi Sabtu itu. Hasilnya, satu biji, pecah berderai tetapi masih tersimpan di poket perserta. Tiga biji dimakan oleh seorang peserta lelaki dan dua peserta perempuan. Bakinya, masih elok tetapi tidak mencapai matlamat dan tujuan sebenar aku membekalkan mereka dengan telur rebus itu.
Ya! Hasrat aku, makanlah telur berkenaan di masa anda lapar kerana ia boleh memberikan tenaga segera. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Malangnya, hampir kesemua 36 orang yang bertuah dan bernasib baik mendapat telur rebus berkenaan, menganggap telur berkenaan adalah satu amanah yang perlu dijaga di sepanjang kursus. Bukannya sebagai bahan makanan ketika menjalani program yang mencabar fizikal.
Ketahuilah, di BerhuluCamp, kami tidak mengamalkan budaya mengusung telur ke hulu ke hilir kerana ‘perangkap’ kami bukan pada telur. ‘Perangkap’ kami, muncul pada slot DADU & RACUN.
Biasanya, jika gagal di slot DADU & RACUN, diakhir rumusan, ramailah peserta yang menitiskan ‘airmata tengahari’ tanpa disogok dengan ayat – ayat jiwang yang meruntun kalbu.
CUIT SIKIT:
Andainya mereka tahu bahawa, Sebutir telur memiliki 8 gram protein, nutrisi yang sangat penting untuk menjaga kulit dan membentuk otot yang kuat, pastinya 36 biji telur rebus itu tidak disia – siakan begitu sahaja.
Morale of The Story,
JANGAN PERSIAKAN SEBARANG PELUANG YANG TIBA kerana mungkin ianya hanya datang sekali di dalam kehidupan kita.
JANGAN SAMAKAN Program BerhuluCamp dengan program – program lain yang pernah anda lalui. Kami tidak menggunakan telur sebagai ujian kesetiaan. Sebaliknya, kami hanya menggunakan dadu.
DAN, Tempat Terbaik Untuk Menyimpan Telur Rebus Adalah Di Dalam Perut. Bukannya di dalam khemah atau pun di dalam poket.
Khasiat telur rebus seterusnya boleh dibaca di,

12.10.12

TK FELDA PALONG DUA.....

Farizal Harun [ Jai Harun ] anak Felda Palong Dua, Jempol, NS ini telah lama berada di arena bola sepak Malaysia. Sekian lama berada di skuad Liga Super NS tetapi lebih banyak di bangku simpanan.
 
Hijrahnya ke ATM telah memberikan nafas baru kepada kehebatannya di pintu gol dan beliau memilih masa yang amat tepat sebentar tadi.
 
Dengan persembahan goyah ketika di Singapura 5 Oktober lalu, Jai Harun muncul hero di Selayang apabila beberapa kali menyelamatkan pintu gol ATM di sepanjang 120 minit perlawanan.
 
Ditembusi satu gol pada separuh masa pertama, Jai Harun mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan dua sepakan penalti penentuan Lions XII. Dan, anak Felda ini telah memilih saat yang tepat untuk muncul wira bukan sahaja untuk ATM, malah untuk Malaysia.
 
ATM menang menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 setelah terikat agregat 2-2 dengan Lions XII, sekaligus mengelakkan Piala Malaysia melepasi Tambak Johor sekurang - kurangnya untuk musim ini.
CUIT SIKIT:
 
Kejayaan ATM ke Final Piala Malaysia 2012 memberikan makna;
 
Dua pertandingan merebut piala [ Piala FA & Piala Malaysia ] mempertemukan dua pasukan yang berbeza liga. Kali terakhir dua pasukan berbeza liga bertemu di final adalah pada 2005. Selangor, Juara Liga Premier menewaskan Perlis, Juara Liga Super 3-0.
 
Inilah kali kedua untuk era bola sepak profesional Malaysia, Final Piala Malaysia akan menemukan satu pasukan negeri dan satu pasukan kelab. Kali pertama pada 2003 apabila MPPJ FC menewaskan Sabah 3-0.
 
Lebih menarik, inilah final keempat berturut - turut untuk Hai-O "Budak Ajaib Piala Malaysia" dengan tiga pasukan yang berbeza.
 
Satu lagi tempat di final bakal ditentukan oleh Kelantan dan Selangor pada 12 Oktober.
 
Setakat ini, aku masih Hoben Jang Hoben.

10.10.12

PREVIU SEPARUH AKHIR PART 2.....

Khamis dan Jumaat ini, dua lagi pasukan bakal menoktahkan perjuangan mereka di Piala Malaysia 2012.
 
Ketika ini, 12 pasukan yang telah menamatkan saingan samada di peringkat kumpulan atau suku akhir sedang membuat kira - kira dan congakan untuk mengemaskini pasukan bagi musim 2013.
 
Malah dikhabarkan, Jai Marlias telah sign kontrak dengan pasukan barunya, Perak pada Ahad, 7 Oktober lalu. Lima hari setelah NS tumbang di suku akhir. Pantasnya Jai Marlias dan Perak buat kerejo ye.
 
Berbalik kepada separuh akhir kedua ini, ketika ini, di saat ini, ATM dan Kelantan bakal membuat perhitungan di final. ATM menjadi tuan rumah di separuh akhir kedua dengan bekal 1 gol di tempat lawan. Mereka masih boleh layak dengan keputusan seri 0-0. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Lebih manis sekiranya, ATM menang Khamis nanti.
 
Kelantan pula akan ke Shah Alam pada Jumaat berbekalkan satu gol dari Kota Bharu, Sabtu lalu. Seperti ATM, Kelantan juga boleh layak dengan keputusan seri 0-0. Lebih menarik, Kelantan masih boleh kalah dengan 1 gol asalkan mereka mendapat jaringan di tempat lawan. Misalnya, kalah dengan 1-2 atau 2-3.
Perlawanan Separuh Akhir ke2 pada Khamis dan Jumaat ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan Astro Arena.
 
TEKANAN UNTUK SIAPA?
 
V. Sundramoorthy selaku Ketua Jurulatih Lions XII secara jujur mengakui pasukan menghadapi laluan sukar di Selayang Khamis ini. Sekali gus kenyataan itu mengesahkan, tekanan adalah kepada Lions XII bukannya ATM.
 
Bermain dengan tekanan di peringkat separuh akhir bukanlah sesuatu yang diingini oleh semua pemain. Lebih banyak kesilapan bakal berlaku. Dan, mana - mana kesilapan kecil sekali pun, boleh dihukum lawan.
 
Dilaporkan oleh Nadi Arena baru - baru ini, Irfan Bakti tidak mengakui Selangor sedang tertekan untuk menterbalikkan keputusan di Kota Bharu itu. Beliau mengatakan Kelantan yang tertekan kerana secara matematiknya, Kelantan adalah pasukan yang lebih baik berbanding Selangor.
 
Benarkah kenyataan Irfan itu? Jawapannya, sebagai orang lama di bidang kejurulatihan dan telah biasa bersaing di peringkat separuh akhir dan akhir ini, aku fikir Irfan cuba bermain politik bola.
 
Itu adalah perang psiko awal oleh Irfan terhadap Kelantan yang bakal ditemui Slangor di Shah Alam, Jumaat ini. Mana mungkin pasukan yang sudah ada modal lebih tertekan daripada pasukan yang sedang mencari modal?
 
Dan, itulah bezanya kenyataan penuh pengalaman daripada Irfan Bakti berbanding kenyataan seorang Ketua Jurulatih muda seperti V.Sundramoorthy itu. Memang benar pengalaman akan membezakan seseorang.
 
CUIT SIKIT:
 
Pengalaman Ketua Jurulatih dan pemain akan membawa pasukan mereka ke final pada 20 Oktober nanti.
 
Dan, aku memilih ATM dan Kelantan untuk ke final kerana pengalaman Ketua Jurulatih dan pemainnya.
 
ATM ada enam pemain yang telah muncul lebih daripada sekali di separuh akhir Piala Malaysia ini. Mereka tahu bagaimana mahu mengekalkan kelebihan mereka setakat ini.
 
Kelantan pula, biarpun Bojan Hodak adalah muka baru sebagai Ketua Jurulatih, biarpun ini adalah pengalaman pertama beliau di separuh akhir ini, bukanlah sebuah pasukan yang muda. Para pemain Kelantan, sebahagian besarnya adalah anggota skuad Johan Piala Malaysia 2010 lalu.
 
ATM lawan Kelantan atau ATM lawan Selangor. Mungkin juga, Lions XII lawan Kelantan. Tidak mustahil juga, Lions XII lawan Selangor.
 
Ah! Tak kisahlah sapo nak lawan sapo. Taun dopan khabarnya NS akan berwajah baru. Azmeer Yusof yang dipinjam dari Pos FC untuk Pialo Malaysia dah sah tak balik ke KL.
 
Aku harap, wajah baru NS itu turut mengambikira sasaran yang besar. Contohnya, NS ke Piala AFC 2014. Baru ngam. Hoben Jang Hoben! 

6.10.12

REVIU SEPARUH AKHIR 1.....

Setelah Lions XII, Kelantan pula gagal di arena sendiri. Gagal yang aku maksudkan bukan kalah. Bukan kedua - duanya tidak baik. Tetapi keduanya - duanya gagal beraksi lebih baik berbanding lawan biar pun bermain selaku tuan rumah.
 
Ketika Lions XII lemas berhadapan barisan berpengalaman yang bermain secara relaks semalam, menyusul pula giliran Kelantan hilang idea berhadapan Gergasi Merah yang juga bermain secara relaks.
 
Kelantan biar pun menang 1-0, jelas kurang menyengat tanpa Piya yang ada masalah mata. Tanpa Piya, Pahlawan Merah jelas gagal beraksi sebagai pahlawan sejati.
 
Mendahului 1 gol dan berhadapan Selangor yang bermain sepuluh orang selama kira - kira 25 minit, Kelantan gagal meningkatkan momentum serangan. Lebih malang, tiada satu pun umpanan maut daripada midfield untuk disudahkan oleh Mat Yo atau Mat Dar.
 
Ketika menulis previu tempohari, aku jangkakan Kelantan bakal turun dengan aksi terbaik di Kota Bharu dan menang dengan 2-0. Namun, jangkaan aku meleset dan aksi Kelantan hanyalah lebih baik sedikit berbanding dengan persembahan ketika melayan Felda United 2 Oktober lalu. Baik sedikit tetapi belum mencapai tahap calon juara.
 
Dengan keputusan separuh akhir leg 1 seperti berikut,
aku fikir, 11 & 12 Oktober nanti bakal menyaksikan pertarungan sebenar calon juara Piala Malaysia 2012.
 
Tekanan perlawanan kedua nanti adalah kepada Lions XII dan Selangor. Jika ATM dan Kelantan mampu bertahan dengan keputusan di Leg 1, kedua - duanya akan ke final 20 Oktober nanti.
 
CUIT SIKIT:
 
Jelas untuk musim ini, Kelantan muncul sebagai pasukan paling lasak dan liat. Manakan tidak, bermain lebih 50 perlawanan dan tiada satu pasukan pun dari Asia yang mampu menewaskan mereka di Kota Bharu.
 
Arbil FC yang menang 4-1 di Separuh Akhir pertama Piala AFC ke atas Chonburi FC itu pun gagal menang di Kota Bharu.
 
Adakah pasukan lain di Malaysia yang boleh menuruti pencapaian Kelantan? Jawapannya, mungkin tidak.

LIONS BERTEMU JALAN MATI.....

Resah gelisah dan gundah gulana Abe Ya di Jalan Besar telah berakhir. Stadium Jalan Besar yang amat ditakuti oleh ramai pihak itu, tidak menjadi igauan buruk buat ATM. Sebaliknya, Stadium Jalan Besar itu, hampir menjadi jalan mati buat Lions XII.
 
Jika tidak kerana kelekaan 2 pemain kebangsaan, Amir Ridzwan Taj dan K. Reuben, ATM sudah pasti lebih lega apabila turun di Leg 2 pada 11 Oktober nanti. Ternyata, Amir Ridzwan dan K. Reuben hanya bertindak sebagai pegawai pengiring sahaja, apabila tidak mencabar lintangan bola tinggi berkenaan dan, memberikan gol penyamaan Lions XII. Sikap biasa pemain bola Malaysia, Ball Watching bukannya Ball Winners.
 
Jika kesilapan sebegitu dilakukan oleh pemain Liga Taman MPS atau Liga Tampin, aku boleh terima.Tetapi, kesilapan sebegitu tidak boleh diterima kerana kedua - dua pemain berkenaan datangnya daripada Liga IPT yang pernah diberikan tagline-Football With Brain.
 
Pun begitu, aku fikir Abe Ya telah melakukan kerja rumah yang cukup baik sebelum turun ke Jalan Besar kerana ternyata ATM begitu dominan di bahagian tengah. Hai-O, Bruno dan Rezal Zambery jelas menggunakan akal apabila bermain di padang sintetik berkenaan. Ketiga - tiganya bermain secara cerdik biar pun tidak pernah bermain di Liga Football With Brain itu.
 
Tindakan ATM bermain secara relaks dan lebih menumpukan kepada bahagian tengah dan pertahanan, membuntukan Lions XII yang biasanya akan bermain secara pantas menerusi hantaran jauh. Sekali lagi tahniah Abe Ya tetapi seperti tulisan sebelum ini, aku fikir keputusan untuk SF1 bakal ditentukan di Stadium MPS, Selayang 11 Oktober nanti.
 
CUIT SIKIT:
 
Beza antara ATM dan Lions XII hanyalah pengalaman. Dan kerana pengalaman jugalah, kita dapat saksikan tadi, Hai-O lebih banyak berada di midfield dan pertahanan, bukannya di samping Alex James di bahagian serangan.
 
Sebabnya, kerana berpengalaman, Hai-O boleh bermain di mana sahaja beliau diarahkan bermain. Dan, kerana pengalaman jugalah, gaji beliau mahal.
 
Hai-O, Shukor Adan dan mungkin juga Rezal Zambery masih boleh bermain untuk skuad kebangsaan. Tetapi, aku tahu, King Gobal pastinya tidak akan memanggil ketiga - tiganya untuk Piala AFF nanti. Amir Ridzwan Taj, K.Reuben dan Jayaselan juga yang bakal menjadi pilihan beliau.
 
Siapa boleh menegur beliau? Tiada siapa lagi setelah kita kehilangan Raja Bola. Dia sahajalah King Bola yang ada sekarang ini. Jangan marah heh!

4.10.12

PREVIU SEPARUH AKHIR PART 1.....

Setelah usai suku akhir kedua pada 2 Oktober, empat pasukan yang masih bernafas mempunyai tempoh yang amat singkat untuk memulihkan diri dan mengemaskini barisan.
 
Esok, Jumaat 5 Oktober akan bermula Separuh Akhir Era Piala Malaysia 2012. Setelah berjaya menawan Rusa, ATM bakal berhadapan dengan lawan yang lebih 'besar', Singa.
 
 
SEPARUH AKHIR 1 ; Lions XII lawan ATM:
 
Pertemuan menarik diantara Naib Juara Liga Super dan Juara Liga Premier ini dijangka ditentukan dengan marjin gol yang tipis. Di peringkat kumpulan, Lions XII hanya menjaringkan 4 gol daripada 6 perlawanan. Tetapi, mereka adalah pasukan yang paling kurang melepaskan gol kepada lawan. Mereka hanya dibolosi dua gol. Lions XII bermain secara tertutup berasaskan kerja sepasukan sepenuhnya. Satu pasukan yang amat taktikal.
 
ATM pula mempunyai jentera peledak yang berbisa seperti yang terpamer di suku akhir lalu. 12 gol berbanding 8 bolos daripada 6 perlawanan kumpulan, menjelaskan betapa ATM adalah pasukan yang bermain secara terbuka tetapi mempunyai keseimbaangan di keseluruhan pasukan.
 
Bertandang ke Stadium Jalan Besar yang amat sintetik itu, aku fikir, ATM bakal menghadapi kesukaran tetapi tidaklah sampai ke tahap 'outclass'. Jika Kelantan, Terengganu dan Johor FC boleh menang di sana, ATM juga mempunyai peluang untuk menang.
 
PELUANG? Keputusan sebenar untuk Separuh Akhir 1 ini bakal ditentukan di Selayang pada 11 Oktober nanti. Dan, aku memilih ATM untuk ke final.
 
SEPARUH AKHIR 2 ; KELANTAN lawan SELANGOR:
Kelantan dan Selangor mempunyai satu persamaan. Kedua - duanya adalah The REDS. Jika di EPL ada The Reds dan The Reds Devil, kita di Malaysia seharusnya berbangga kerana mempunyai PAHLAWAN MERAH dan GERGASI MERAH.
 
Menarik untuk kita nantikan keputusannya. Di antara PAHLAWAN MERAH dan GERGASI MERAH, siapakah yang bakal MERAH PADAM di separuh akhir.
Kelantan dan Selangor juga mempunyai pencapaian hampir serupa di peringkat kumpulan. Kelantan memungut 11 mata menerusi 6 perlawanan dengan 13 jaringan berbanding 8 bolos. Selangor pula memungut 13 mata, juga menerusi 6 perlawanan dengan 12 jaringan dan 6 bolos.
Memulakan Separuh Akhir di Kota Bharu, peluang Selangor ke final aku jangkakan bakal terjejas sekiranya mereka tewas dengan marjin dua gol. Pastinya, Kelantan akan berhabis - habisan di Kota Bharu Sabtu nanti kerana itulah perlawanan terakhir untuk musim 2012 di sana.
PELUANG? Keputusan sebenar untuk Separuh Akhir 2 ini bakal ditentukan di Kota Bharu pada 6 Oktober. Dan, aku memilih KELANTAN untuk ke final.
 
CUIT SIKIT:
 
Sesuatu yang anda perlu ketahui, sejak 2010, Final Piala Malaysia menemukan dua pasukan dari kumpulan yang sama.
 
FINAL 2010, menemukan NS dan Kelantan selaku Juara & Naib Juara Kumpulan A. Keputusannya, Kelantan menang 2-1. Rujuk di http://en.wikipedia.org/wiki/2010_Malaysia_Cup.
 
Di FINAL 2011, sekali lagi dua pasukan sekumpulan bertemu. NS dan Terengganu sama - sama mengungguli Kumpulan B membuat perhitungan terakhir di Shah Alam. Dan, pemenangnyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa, NS.
 
DAN, untuk musim 2010 dan 2011, belum ada satu pasukan pun dari Kumpulan C yang layak ke separuh akhir. Kebetulannya, ia berterusan di musim ini apabila NS dan Felda United terkandas di suku akhir.
 
Jika kebetulan itu berterusan, memang sahih ramalan aku bahawa ATM dan Kelantan akan berentap di Shah Alam, 20 Oktober nanti. Pemenangnya? ATM.
 
Sahabat TRW dan PSNS, jangan marah dengan posting ini kerana aku pamerkan realiti bukan omongan kosong. Aku bukan pencetus provokasi tidak bertempat. Sebaliknya, aku dah buat kajian sebelum aku menulis. Fakta tetap fakta.
 
Setakat ini, aku masih berkabung dengan kekalahan NS. Hobin Jang Hobin!
 
 
 


2.10.12

KEPUTUSAN PENUH SUKU AKHIR.....

2 Oktober 2012 menjadi titik noktah perjuangan 4 lagi pasukan di Era Piala Malaysia. Juara Bertahan NS, Naib Juara Liga Premier 2012 Pahang dan dua pasukan kelab, Felda United dan Johor FC akhirnya terpaksa menutup kedai perjuangan.
 
Ketika Johor FC dan Felda United berkunjung ke arena lawan dengan bekal negatif, Pahang pula hanya mempunyai bekalan tipis untuk dibawa ke Singapura. Dengan situasi begitu, tidak ramai yang mahu memberikan peluang kepada ketiga - tiga pasukan apabila mereka berhadapan Lions XX, Kelantan dan Selangor di arena lawan.
 
Namun, situasi sedikit berbeza buat NS yang cuma ketinggalan 1 gol di Selayang dan menjadi tuan rumah pula kepada ATM. Ribuan yang hadir di STAR, Paroi serta ratusan ribu lagi yang menonton di pelbagai tempat pastinya bersatu harapan dan impian. NS pasti bangkit di Paroi seperti yang dilakukan musim lalu.
Perhatikan bagaimana di suku akhir 2011, NS tewas di arena lawan dan bangkit hebat di arena sendiri selepas itu.
 
Keputusan penuh suku akhir 2012, adalah seperti berikut;
Malangnya, NS bukan sahaja gagal bangkit seperti suku akhir musim lalu, mereka jelas tidak sekelas dengan ATM.
 
Maaf. Aku tidak berniat untuk menambah garam di luka parah Sang Rusa. Dari aspek serangan, NS dan ATM berada di kelas yang sama. Tetapi berlainan kelas apabila aspek pertahanan diulas.
 
Apa yang kelas terpamer di Paroi tadi adalah perbezaan disiplin pertahanan NS dan ATM. Ketika Irwan Fadzli Idrus kekal di garis pertahanannya samada ketika ATM bertahan mahu pun menyerang, Shukor Adan dan Farbak pula sering hilang dari posisi sehingga membolehkan ATM mendapat dua gol mudah.
 
Semua kesilapan pertahanan itu disebabkan tiadanya seorang pemain pun yang boleh menjadi holding midfielder. Yang boleh memegang bola dan merencanakan rentak permainan. Justru, Shukor dan Farbak terpaksa berada lebih jauh daripada posisinya untuk membanteras serangan ATM. Hasilnya, dua serangan balas ATM menghasilkan dua gol yang terus meranapkan impian NS tahun ini.
 
Mungkin aku bukan orang terbaik untuk memberikan komen, tetapi aku fikir, itulah juga pendapatnya jika anda bertanya kepada pakar bola sepak.
 
CUIT SIKIT:
 
Segala - galanya telah selesai. Bola sepak hanyalah sukan. Biar pun pahit, terimalah apa jua keputusannya. Tahun hadapan kito bersorak laie.
 
Mengambil ikhtibar daripada perlawanan terakhir musim ini di STAR, Paroi, sukalah aku memohon jasa baik pihak MPS khusunya supaya mengambil inisiatif mendapatkan kawasan letak kereta yang lebih banyak supaya tidaklah kawasan kejiranan seperti Paroi Jaya dan Pinggiran Golf itu menjadi medan letak kereta.
 
Apa yang aku lihat, habis segala pintu pagar kediaman penduduk Paroi Jaya terutamanya dijadikan tempat meletak kenderaan. Bukan selapis malah ada yang membuat parking sehingga dua lapis di lorong yang sempit. Jika berlaku kecemasan di kawasan berkenaan bagaimana ye?
 
Kepada MPS, sekiranya susah untuk mendapat tapak parking, runtuhkan sahaja bangunan yang kononnya disediakan sebagai arena bowling SUKMA 2004 yang tidak pernah digunakan itu. Lebih elok kawasan berkenaan dijadikan tempat letak kenderaan daripada tertongok bangunan usang dan menyakitkan mata.
 
Apa - apa pun, aku tetap bangga dengan NS. Hobin Jang Hobin!

MENANTI AMUKAN PAROI.....

2 Oktober 2012 bakal menjadi noktah buat empat pasukan yang sedang memburu Piala Malaysia 2012.
 
Sepanjang minggu lalu, kesemua empat perlawanan suku akhir pusingan pertama berakhir dengan keputusan menang - kalah. Dua tuan rumah menang tipis, satu pelawat menang tipis dan satu pelawat menang selesa.
 

Setelah Terengganu selaku Naib Johan 2011 tersingkir lebih awal, pastinya ramai pihak sedang memerhatikan untung nasib NS selaku Juara Bertahan itu.
 
Rekod tanpa kalah di Piala Malaysia 2012 berakhir dengan kekalahan 2-3 kepada ATM di Selayang, Jumaat lalu. Pasti ramai yang tersentak dan tersedu dengan kekalahan itu.
 
Namun, bagi aku, episod kekalahan di pusingan pertama suku akhir ini bukanlah petanda keruntuhan Sang Rusa. Tahun 2011 juga menghasilkan keputusan serupa.
 
NS tewas kepada Felda United dengan 0-1 dan bangkit mempamerkan aksi juara di pusingan kedua dengan kemenangan 3-0 di Paroi.
 
Musim ini nampaknya tiada apa yang berubah kecuali barisan pemain. Bermain di arena lawan di pusingan pertama dan kalah. Bangkit di pusingan kedua adalah perkara perlu buat NS musim ini.
 
Justru, tidak hairan sekiranya Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi bakal diisi oleh 50 ribu penonton seperti musim lalu, malam nanti. Jang dan Milah pastinya akan memberikan sokongan padu dan jitu kepada Sang Rusa.
 
Kini, segala - galanya terletak di bahu kesebelasan utama yang bakal turun nanti. Azraai Khor pastinya sudah menemui ramuan mustajab untuk menterbalikkan keputusan di Selayang itu agar pusingan kedua ini berpihak kepada NS pula.
 
Formulanya mudah. Dapatkan satu gol dan secara agregat, keputusannya 3-3. NS akan ke separuh akhir berdasarkan kelebihan jaringan gol di tempat lawan. Namun, NS tidak boleh menang dengan 3-2 atau  4-3.
 
Menang 3-2 akan membawa ke masa tambahan dan mungkin juga melarat ke tendangan penalti. Sesuatu yang meletihkan dan perlu dihindari kerana pusingan pertama separuh akhir akan berlangusng pada 5 Oktober. Jika NS menang dengan 4-3, ATM akan ke separuh akhir berdasarakan kelebihan jaringan gol di tempat lawan.
 
CUIT SIKIT:
 
Sekiranya NS mampu bangkit dengan bergaya malam nanti, aku fikir, NS akan ke final lagi musim ini.
 
Lain - lain pasukan di separuh akhir, dijangka Lions XII, Kelantan dan Selangor. Sekiranya pasukan Pahang, ATM, Felda United dan Johor FC yang layak ke separuh akhir, ini benar - benar upset dan bakal menyebabkan ramai Ketua Jurulatih bakal hilang kerja selepas ini.
 
Pedulikan siapa yang membarisi ATM, NS pasti mengamuk di Paroi.
 
HOBIN JANG HOBIN!
 


MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH