Jumlah Paparan Halaman

27.7.13

KUMPULAN MAUT PIALA MALAYSIA 2013.....

Menyambung catatan sebelum berbuka puasa tadi, aku paparkan betapa perit dan pedihnya setiap pasukan yang bakal berentap mulai 20 Ogos nanti.
Ramalan aku:
KUMPULAN A bakal dikuasai Selangor dan ATM. Bagi aku, Sime Darby FC dan Johor tidak cukup karektor untuk melangkah lebih jauh.

Di Kumpulan B, wajiblah pasukan jutawan Darul Takzim FC dan PKNS FC menguasainya. Jika ada kejutan, T - Team FC boleh melakukannya. Dan, andainya Shafiq Rahim dan Safee Sali tidak menyerlah di Piala Malaysia, malanglah King Gobal dan pasukan Harimau Malaya.

Kumpulan D bakal dikuasai sepenuhnya oleh Lions XII dengan tiga kemenangan di Jalan Besar hampir pasti. Jika bukan Perak sebagai pencabar utamanya, Sarawak mungkin boleh membuat kejutan. 

Suka atau tidak, Kumpulan C perlu diakui sebagai KUMPULAN MAUT. Rekod empat musim terakhir Piala Malaysia itu menyaksikan Kelantan dan Negeri Sembilan mempunyai persamaan dari aspek pencapaian. Dua Johan, Satu Naib Johan dan satu Suku Akhir.

Dua bekas juara, Pahang dan Terengganu juga tidak boleh diabaikan. Secara kasar, selain status Naib Johan 2011, Terengganu dan Pahang mempunyai persamaan prestasi dalam tempoh empat tahun itu.

Dari kumpulan C, aku memilih Kelantan dan Terengganu akan ke Suku Akhir. NS dan Pahang? Aku letakkan kedua - duanya sebagai pasukan pengacau sahaja.

Pahang tidak konsisten permaiannya. Benteng mereka ada masalah komunikasi sebenarnya. Terlalu bergantung kepada Alex untuk mencatur permainan.

Di pihak NS, aku tidak melihat mereka boleh melangkah jauh kerana kekurangan pemain berkarektor sebagai Jeneral Padang seperti di era Shukor Adan dan Otai - Otai musim 2011 itu. Selain Nazrin Nawi, siapa pemain NS yang telah beraksi bagus musim ini? Adakah Halim Zainal? He he he.

Agak menarik kerana kesemua pasukan musim ini turut bertanding musim lalu. Dalam makna yang lain, tiada lagi alasan faktor pengalaman bakal membezakan mereka. Setiap pasukan setidak - tidaknya mempunyai satu pengalaman manis dan pahit musim lalu.

Seperkara lagi, Piala Malaysia adalah perlawanan berbeza. Tiada langsung kaitan dengan prestasi di Liga atau Piala FA. Hanya ada sebelas perlawanan untuk menentukan juara.

Malangnya, Sang Juara tidak akan ke mana - mana. Tiada sebarang tiket untuk mereka bermain di peringkat Asia. Sesuatu yang amat malang buat juara piala bersejarah dan berprestij ini.

CUIT SIKIT:

Di saat Sathia mengatakan Kumpulan A adalah kumpulan terbuka, aku fikir ramai juga Pengurus Pasukan dan Ketua Jurulatih masih tergaru - garu kepala. Memikir dan mencongak strategi ampuh buat menghadapi lawan.

Empat perlawanan dalam tempoh 12 hari di bulan Ogos pastinya memerlukan pemain yang betul - betul fit. Mementingkan strategi yang betul. Mewajibkan mereka menurunkan barisan yang jitu dan sefahaman.

Dengan jadual padat itu, tiada lagi congak ujian dan keserasian pemain seperti amalan King Gobal.

Dan, ramalan awal finalis Piala Malaysia 2013 adalah,
Aku fikir, jika Selangor bertemu Lions XII di Final 3 November nanti, seluruh negara akan menjadi penyokong Gergasi Merah.

Jangan marah Jang dan Milah. Itu hanya ramalan.

SAH! MAUT MENUNGGU.....

Undian Piala Malaysia 2013 telah selesai sebentar tadi.

Ketika 12 pasukan sedang mencongak ruang dan peluang untuk mencuri dua tempat teratas setiap kumpulan, empat pasukan lagi pasti sedang mengenang nasib. Mengapa undian tidak menyebelahi mereka?

Biarpun bibir menguntum senyum, di hati pasti terukir rasa sebal dan sesal buat empat pasukan di Kumpulan C itu.

Manakan tidak, EMPAT BEKAS JUARA berada dalam satu kumpulan. TIGA daripadanya adalah finalis dalam empat edisi terakhir Piala Malaysia.
Apo doa nak baco ni? Di saat Kumpulan B dianggotai oleh semua pasukan kelab, Kumpulan C pula mengumpulkan semua pasukan negeri.

Lapan ke Suku Akhir bakal diputuskan oleh Juara dan Naib Juara setiap kumpulan.
CUIT SIKIT:

Di saat undian ini berakhir, secara teorinya Selangor dan Kelantan bakal berhadapan di Separuh Akhir I. Manakala di Separuh Akhir II, dua pasukan kelab yang dipisakan Selat Johor bakal berentap.

FINAL bakal mempertemukan satu pasukan negeri dan satu pasukan kelab. Ulangan kepada Final Piala FA tempohari.

Buat NS, bermainlah secara juara supaya boleh membuat kejutan. Aku masih mengharapkan NS dan Kedah akan bertemu di Bukit Jalil, 3 November nanti.

26.7.13

KALENDAR BOLA.....

Kalendar Bola Sepak Malaysia bakal berterusan di Hari Ketiga Aidilfitri.
Bertemu FC Barca sebagai pemanas badan buat para pemain negara yang bakal meneruskan perjuangan di Piala Malaysia.

Bertemu China pastinya bakal memberikan peluang untuk King Gobal menurunkan barisan utama sebelum perlawanan sebenar menentang Bahrain.

CUIT SIKIT:

Suka atau tidak, susunan jadual Piala Malaysia 2013 kelihatan agak tersangkut - sangkut.

Semuanya kerana memberikan ruang dan laluan persiapan pasukan Harimau Malaya demi menghadapi pasukan Bahrain di Kelayakan Piala Asia 2015.

Setakat ini, Bahrain mendahului Kumpulan D dengan ENAM mata. Manakala Malaysia dan Qatar masing - masing mengumpul TIGA mata.

Dengan kemenangan ke atas Bahrain menjadi sasaran King Gobal, JKPT FAM nampaknya terpaksa mengorbankan kehangatan Piala Malaysia menerusi penyusunan jadual yang tersangkut - sangkut itu.

Sejauh mana hasilnya, sama - sama kita nantikan.

25.7.13

BERMULA ERA BARU.....

Sabtu ini bakal berlangsung Undian Piala Malaysia 2013,
Jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh FAM menyaksikan betapa tidak lancarnya kejohanan ini.
Betapa ada jarak yang ketara diantara perlawanan ke satu perlawanan lain, khususnya di peringkat kalah mati kerana memberi laluan untuk King Gobal bersiap untuk Kelayakan Piala ASIA 2015 dan juga Pesta Bola Merdeka 2013.

Begitulah bola cara Malaysia. Bermain tiga atau empat perlawanan dalam tempoh yang singkat, akan ada pula rehat panjang [ seminggu dua ]. Rosak segala tempo dan peak pasukan dan pemain.

CUIT SIKIT:

Tuk Midin dan mula bersuara pasal King Gobal, Eksperimen dan Ranking. Baguslah. Setidak - tidaknya, King Gobal tahu perjalanan beliau selaku Ketua Jurulatih Kebangsaan sudah hampir ke garisan penamat.

Dan, aku harap bakal bermula era baru semasa Piala Malaysia nanti khususnya buat pasukan - pasukan corot dan dari Liga Premier itu.

Sekatlah Lions XII, Selangor, Darul Takzim FC dan Kelantan daripada terus menguasai kancah bola sepak tempatan.

Aku amat suka sekiranya Final Piala Malaysia 2013 menyaksikan Negeri Sembilan lawan Kedah.

Anda bagaimana?

19.7.13

REKOD NS DI PIALA MALAYSIA SIRI 2.....

Mampukah NS bangkit di Piala Malaysia musim ini?

Soalan yang hampir pasti tiada jawapan tepat. Sebabnya amat mudah. Sepanjang Liga Super berlangsung, NS nyata tiada nafsu untuk menang. Biarpun bermain dengan agak cemerlang, di hujung perlawanan, keputusannya langsung tidak menyebelahi NS.
Namun, Piala Malaysia adalah satu pertarungan berbeza. Tiada sebarang jaminan, si gagah perkasa di Liga Super akan terus berkuasa di Piala Malaysia.

Dan, tiada pihak yang boleh menjamin dan mendabik dada, merekalah yang terkuat dan bakal memenangi pertandingan bersejarah itu.

Musim 2009 hingga 2011 adalah musim paling cemerlang buat NS di Piala Malaysia. Betapa hebatnya Skuad Jang ini boleh dilihat  di bawah;
Tiga final berturut - turut dengan 2 JOHAN dan 1 NAIB JOHAN menceritakan segala - galanya tentang kehebatan NS di Piala Malaysia.
TOK MAT & PIALA MALAYSIA 2011.
KEJUARAAN KEDUA PIALA MALAYSIA BUAT NS DI BAWAH PIMPINAN BELIAU.
Cuma, musim 2012, NS sangkut di Suku Akhir. Namun, di peringkat kumpulan, NS mencatat sejarah tersendiri. Empat musim berturut - turut berada di tangga nombor satu carta kumpulan Piala Malaysia.

Mungkinkah musim 2013 NS mampu mengekalkan rekod itu? Semua akan terjawab bermula 20 Ogos nanti, setelah proses undian ini;
Jika musim - musim sebelum ini NS berada di Pot 2 atau 3, musim ini NS berada di Pot;
CUIT SIKIT:

MEMANG, POT hanyalah untuk memudahkan proses undian. Bukan penentu kedudukan dan pencapaian sebenar setiap pasukan.

Di mata aku, musim NS amat sukar untuk mengulangi sejarah hebat empat musim itu. Amat pahit untuk meluahkannya kerana aku percaya ramai PSNS akan marah.

Tetapi, sebagai rekod juga, pencapaian hebat itu ditunjangi oleh kecemerlangan Trio Otai yang dikepalai oleh Shukor Adan di pertahanan. Gerak serangan dijana dengan berkesan oleh Rezal Zambery Yahya. Dan, penyudah tepat menerusi Hai - O.

Tanpa Rezal dan Hai - O, Shukor Adan hanya mampu membawa NS ke Suku Akhir 2012.

Kini, tanpa ketiga - tiganya, NS aku lihat tidak mempunyai seorang pun pemain yang boleh menjadi penggerak kepada kecemerlangan. Tiada sebarang karektor Otai yang mampu menggerakkan pasukan, kecuali Angah yang masih mencari rentak dan prestasi lama yang sudah hilang itu.

DAN, hanya kejaiban sahaja akan mengekalkan NS selaku pasukan teratas di peringkat kumpulan nanti. Semoga Angah mampu melakukannya.

REKOD NS DI PIALA MALAYSIA SIRI 1.....

MUSIM 2009 - 2012 merupakan kemuncak kehebatan bola sepak NS. Biar pun tidak menang Liga Super, NS sangat konsisten di Piala Malaysia sepanjang musim berkenaan.

Buktinya,
Ketahuilah, di sepanjang tempoh berkenaan, NS hanya berada di POT 2 atau POT 3 sewaktu undian.

Dan, POT hanyalah untuk memudahkan proses undian. Bukan penentu kedudukan dan pencapaian sebenar setiap pasukan.

Empat musim berturut - turut, NS muncul selaku Juara Kumpulan. Itu faktanya.

CUIT SIKIT:

Mampukah NS bangkit di Piala Malaysia musim ini? Apo kato ko?

catatan seterusnya bakal menyusul.....

15.7.13

SIAPA NAZRIN?.....

Salah satu punca kemerosotan NS musim ini adalah kerana kegagalan menjaringkan gol.

Daripada 22 perlawanan Liga Super, NS hanya mampu menjaringkan gol di sembilan perlawanan. Dan, daripada sembilan perlawanan itu, NS cuma mampu MENANG SEKALI. Bakinya TIGA SERI dan LIMA KALAH.

Lebih malang, pemain barisan hadapan cuma mampu menjaringkan LAPAN GOL. Shahurain dan Nazrin berkongsi sebagai penjaring terbanyak dengan dua gol.

Selain itu, di pertandingan Piala FA, NS berjaya menjaringkan lima gol. Dua menerusi De Porras, manakala Fauzi Nan, Rashid Mahmud dan Nazrin Nawi masing - masing menyumbang satu gol. NS tersingkir di Suku Akhir setelah tewas dengan agregat 1 - 6 kepada Terengganu.

Siapa Nazrin Nawi?
Catatan yang aku jumpai tidak memberikan banyak fakta berkenaan pemain kelahiran Tumpat, Kelantan ini.

Aku fikir dia adalah produk hasil projek My-Team II yang pernah menggegar arena bola sepak negara suatu waktu dahulu. Pencetusnya? Tidak lain dan tidak bukan, YB KJ.

Catatan aku tidak menunjukkan sebarang jaringan dilakukan oleh Nazrin pada musim 2012. Beliau lebih banyak berada di bangku simpanan kerana S. Kunanlan lebih dominan di sayap kiri musim lalu.
Beliau mempamerkan belang sebenar setelah penghijrahan Kuna ke Selangor. Hasilnya, musim ini setelah berakhir Liga Super, Piala FA dan Play-Off Piala Malaysia, Nazrin telah mengumpul ENAM GOL. Setakat ini, beliau adalah PENJARING TERBANYAK buat NS.

Dan, itulah faktor mengapa beliau tiba - tiba sahaja berada dalam radar King Gobal. Amat jarang pemain sayap mampu muncul sebagai penjaring terbanyak.

CUIT SIKIT:

Dengan rekod menyertai satu - satu pasukan tidak lebih DUA MUSIM, aku fikir Nazrin bakal menyertai pasukan ke limanya pada musim 2014.

Fakta ini ditambah pula dengan NS bakal bermain di Liga Premier musim 2014. Sebagai pemain negara, pastinya beliau mahu bermain di Liga Super yang lebih mencabar.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri yang terlalu setia bersama Kedah di Liga Premier, akhirnya tidak lagi dipanggil ke Skuad Nasional oleh King Gobal.

Buat Nazrin, saham anda sudah tinggi sekarang ini. TEPUK DADA : TENGOKLAH DI MANA RUMPUT YANG LEBIH HIJAU.

11.7.13

TERIMA KASIH NAZRIN.....

Akhirnya lengkap senarai 16 pasukan yang layak bertanding di Piala Malaysia 2013. FELDA UNITED dan NEGERI SEMBILAN dua pasukan dari Liga Super mengenepikan lawan masing - masing dari Liga Premier.
Begitu pun, keempat - empat pasukan bakal bertemu lagi di Liga Premier 2014.

16 pasukan ini bakal dipecahkan kepada empat pot berbeza dengan setiap pasukan dari setiap pot bakal mengisi empat kumpulan.

Setiap kumpulan akan mempunyai empat pasukan. Dan, setiap pasukan sekurang - kurangnya akan mempunyai enam perlawanan untuk diharungi mulai 17 Ogos nanti.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke peringkat suku akhir.

Tiada banyak pilihan buat NS sebenarnya. Bangkit beraksi sebagai juara. Jika tidak, aku pasti NS bakal memulakan musim 2014 dengan segala yang baharu. Pastinya ramai pemain musim ini akan cabut ke pasukan lain terutamanya yang beraksi di Liga Super 2014.

CUIT SIKIT:

Mengakhiri musim dengan catatan longlai, NS cuma berjaya menyerlahkan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi. Begitu pun, budak no 23 ini bukanlah produk asli NS.

Di sebalik kemunculan hebat Nazrin, langsung tiada anak nogori yang menyerlah musim ini. Selepas era kembar Abdul Razak, aku lihat tiada lagi anak nogori yang menyerlah di Liga Malaysia.

Ini bermakna, NS ada masalah besar di peringkat pembangunan. Ada kemungkinan kita terpaksa menunggu empat atau lima tahun lagi untuk melihat kemunculan bintang anak nogori sebonar.

Musim ini juga mempamerkan kemerosotan prestasi buat Shahurain Abu Samah. Kocik sudah kehilangan sengat di sayap kanan. Ayuh Kocik! Bangkitlah di Piala Malaysia ini.

Selain Kocik, budak nombor 10 tu juga langsung tidak meningkat. Permainannya sudah statik sejak tiga musim lalu. Di usia muda, amat malang sekiranya budak ni sudah tidak mampu untuk terus meningkat. Sedangkan pada tahun 2010 ketika persiapan negara ke Piala AFF, budak ni turut dipanggil oleh King Gobal untuk menjalani latihan. Kini, namanya langsung tidak muncul di Wisma FAM.

Terima kasih Nazrin. Nilai anda pastinya sudah berbeza sebaik sahaja anda meledak hattrick di Shah Alam.

9.7.13

SEMOGA BUKAN LIVE TERAKHIR.....

10 Julai 2013 adalah hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa. Ianya juga adalah hari yang bakal menentukan hidup mati empat pasukan yang masih diberikan 'nyawa kedua' untuk menyertai kancah Piala Malaysia 2013.
Dua pemenang bakal melengkapkan carta di bawah,
CUIT SIKIT:

Stesen penaja telah mengesahkan akan menyiarkan secara langsung perlawanan dua pasukan yang bakal berhadapan di Liga Premier 2014 nanti, Negeri Sembilan dan Sabah.

Aku fikir ini sedikit sebanyak akan melegakan para PSNS yang tidak dapat hadir ke Shah Alam untuk memberikan sokongan. Setidak - tidaknya dapat juga bersorak di hadapan tv atau big screen usai menunaikan ibadah tarawih.

DAN, aku harap ini bukanlah live terakhir buat NS bagi musim 2013 yang langsung tidak cemerlang ini.

HOBEN JANG HOBEN!

8.7.13

EPISOD MENYUSAHKAN PENYOKONG.....

Musim liga bola Malaysia sudah berakhir pada 5 & 6 Julai lalu.

Sebaik usai menyambut aidilfitri, Pertandingan Piala Malaysia 2013 bakal bermula. Pertandingan yang tidak membawa juaranya ke mana - mana pentas pertandingan antarabangsa. Samada di peringkat AFF mahu pun di AFC.

Namun, sebagai pertandingan tertua di Malaysia, Piala Malaysia ini lebih bersifat nostalgia dan kenegerian. Lebih berbentuk mempertahankan maruah dan lambang kejaguhan negeri di arena bola sepak negara.

Musim 2013 menyaksikan NS sebagai Juara Piala Malaysia 2011 muncul satu - satunya bekas juara yang terpaksa menempuhi play - off [ pusingan kelayakan ] untuk bermain di Piala Malaysia.

FAM telah memutuskan sepuluh pasukan terbaik Liga Super dan empat pasukan terbaik Liga Premier sebagai 14 pasukan layak automatis ke Piala Malaysia 2013.

NS selaku Juara Piala Malaysia 1948, 2009 dan 2011 akan bertemu Sabah [ Naib Juara 1996, 2002 & 2003 ]. Satu lagi perlawanan mempertemukan dua pasukan kelab, FELDA UNITED dan POS MALAYSIA.
CUIT SIKIT:

Angkara terlalu sibuk dengan politik. Angkara terlalu percayakan tuah dan nasib baik. Angkara terlalu lambat melakukan pelan pemulihan pasukan. Angkara JEMBALANG dan segala macam JIN di Medan Rahang.

Katakan apa sahaja alasannya. Nyatakan apa jua sebabnya. Hakikatnya, di saat semua penyokong pasukan lain sudah boleh menumpukan diri kepada ibadah puasa dan ibadah - ibadah lain di bulan Ramadhan, para penyokong NS masih perlu memberikan fokus untuk menyokong pasukan di hari pertama Puasa 2013.
Biar pun sepak mula perlawanan boleh dilewatkan ke jam 9.45 malam, perjalanan para penyokong tetap perlu bermula awal. Itu pun jika anda masih berminat untuk menonton bola sepak tempatan di bulan Ramadhan.

Akhirnya, terpulang kepada anda samada ingin hadir menyokong atau membiarkan sahaja pasukan NS menentang Sabah di Shah Alam tanpa sokongan.

Sesungguhnya, biarlah musim ini menjadi pengajaran paling berguna buat Tok Mat dan PBNS. Berubahlah dengan segera agar NS tidak lagi menjadi bahan ejekan dan sindiran pihak lawan.

3.7.13

PBNS PERLUKAN TRANSFORMASI DRASTIK.....

LIGA SUPER MILIK LIONS XII.
SABTU ini, pertempuran lebih besar pasti berlaku di Larkin. SEBABnya, satu tempat ke Piala AFC 1014 pasti menjadi milik pemenangnya. Seandainya SERI, Selangor akan bersama Kelantan mewakili Malaysia sekali lagi ke Piala AFC.
Menarik juga di Kota Bharu. Juara Liga Super 2012 menjadi tuan rumah kepada Juara Liga Super 2013.

Paling menarik tentunya GRAND FINAL di Stadium Nasional Bukit Jalil tu. FELDA UNITED menentang NEGERI SEMBILAN. Boleh jadi sesak sekali lagi Stadium Nasional seperti Sabtu lalu.

Sekali lagi ULAT TIKET pastinya mengambil kesempatan untuk mencari duit raya.  Sekali lagi pastinya pengusaha bas akan mengaut keuntungan. Tentunya ramai penyokong NS dan Felda akan datang dari Palong, Pasoh, Gugusan Serting Hilir. Jangan terkejut sekiranya ramai juga penyokong datang dari Gugusan Keratong di Pahang.

SEMUA dengan satu tujuan. Untuk menyokong buat kali terakhir kedua - dua pasukan yang bakal beraksi di Liga Premier musim hadapan.
FELDA UNITED yang diilhamkan oleh Datuk Najib itu sudah hilang arah tujuan. Sekiranya menang Sabtu ini, FELDA UNITED mungkin boleh berada di Liga Super 2014  sekiranya T-Team tewas kepada Trengganu.

Namun, mahukah siAbang mengalahkan siADIK? Kerana dengan kekalahan. T - Team bakal tersingkir ke Liga Premier 2014. Sekiranya T - Team mencapai keputusan SERI dan Felda United MENANG, perbezaan jaringan bakal menjadi penentu.

Biarpun sudah tersingkir, aku tidak fikir NS sanggup kalah sehingga 12 gol kepada FELDA UNITED. Dan, akhirnya samada Felda United yang menang, atau pun NS yang menang, kedua - duanya akan kembali ke Liga Premier 2014.

Inilah yang dikatakan MENANG JADI ARANG ; KALAH JADI ABU.

CUIT SIKIT:
Cuma ada dua kejohanan lagi yang belum ada pemenang. Yang pasti, pengganti NS di Liga Super adalah Sarawak. Sime Darby turut ke Liga Super selaku Naib Johan Liga Premier menggantikan Felda United [ hampir pasti ] atau T - Team [ mungkin ].

Maknanya, Satu Pasukan Negeri dan Satu Pasukan Kelab akan menggantikan satu sama lain di Liga Premier dan Liga Super.

Pulau Pinang pula telah mengesahkan tempatnya di Liga Premier musim hadapan. Satu lagi tempat hampir pasti diisi oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang [ PBAPP FC] yang selesa di tangga kedua Liga FAM setakat ini.

Ketika satu pasukan negeri dan satu pasukan kelab bakal naik pangkat dari Liga FAM ke Liga Premier, pengganti mereka yang turun dari Liga Premier juga sama. Kuala Lumpur dan NS Betaria FC adalah dua pasukan yang sah bakal bermain di Liga FAM 2014.

KUALA LUMPUR bakal menemani MELAKA sebagai pasukan negeri bersaing dengan pasukan kelab di Liga FAM. Seingat aku, Melaka bermain di Liga FAM sejak 2010 lagi.

Kenapa aku catatkan begini? Supaya pihak PBNS melakukan perubahan drastik terhadap Pengurusan dan Kejurulatihan mereka untuk menghadapi musim hadapan. Perubahan atau transformasi drastik WAJIB dilakukan oleh PBNS agar cerita campur tangan Hantu dan Jembalang dalam pasukan tidak wujud lagi selepas ini.

Wajib berubah supaya tiada lagi kedengaran berita penubuhan pasukan dan pencarian pemain dilakukan oleh tangan ghaib sedangkan Ketua Jurulatih langsung tidak mengetahui.

WAJIB BERUBAH supaya;
NS kembali semula ke Liga Super 2015 sebagai Pasukan yang dihormati dan digeruni lawan.

HOBEN JANG HOBEN!

1.7.13

MUSNAH DALAM 10 TAHUN.....

Esok, 2 Julai 2013 adalah hari terakhir di laman sendiri, NS turun selaku pasukan Liga Super. Dan, lawannya bukanlah sebarang pasukan. DARUL TAKZIM FC yang bakal bertandang adalah pasukan terhebat di dunia sekarang ini.
Manakan tidak, tiada satu pun pasukan di dunia yang menawarkan SUV berharga setengah juta ringgit buat pemain terbaiknya. Bukan satu tapi dua. Brazil yang memenangi Piala Konfeserasi 2013 pun tidak mampu berbuat demikian. Apa lagi Tahiti. Memang hebat kelab tu.

Begitu pun, pencapaian kelab tersebut tidaklah sehebat mana. Hebat lagi PBNS berdasarkan catatan ini; 
Sebelum merdeka lagi NS sudah bergelar JOHAN atau JUARA atau PEMENANG. Biarpun terpaksa menanti selama 43 tahun untuk mencapai semula status JOHAN itu, NS sentiasa berusaha ke arah itu.

Catatan manis bermula 2003 membuktikan betapa SEMANGAT 1948 itu tidak pernah pudar di hati setiap penggiat bola sepak NS.
CUIT SIKIT:

Kejayaan yang dimulakan sejak 2003 itu hanya bertahan selama 10 tahun. Bermula 2003 selaku Johan Piala FA, NS mengakhiri kegemilangan 10 TAHUN itu dengan memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2012.

2014 adalah tahun yang menyaksikan NS kembali semula ke tempat asalnya di Liga Premier. Sejak era semi - pro 1989 hinggalah ke era pro sebenar yang bermula sepenuhnya 2004, menerusi pertandingan Liga Super dan Liga Premier, NS lebih banyak berada di Divisyen 2 atau Liga Premier.

Lima JOHAN dan Empat NAIB JOHAN dalam empat pertandingan menyatakan betapa gahnya NS di era kepimpinan Tok Mat selaku Presiden PBNS bermula April 2004 itu.

Sepuluh tahun yang gemilang itu berakhir apabila Tok Mat seperti kehilangan sengat dan minat untuk terus menerajui era gemilang PBNS itu, gara - gara tekanan PRU13.

Namun begitu, banyak juga luahan hati PSNS yang mengatakan keruntuhan ini berpunca dari JEMBALANG di Medan Rahang yang berleluasa menggunakan kuasa sendiri sehingga menimbulkan huru - hara di dalam pasukan.

Aku tidak mahu mengulas kes Jembalang itu kerana setakat ini, aku tiada bukti sahih berkaitannya. Namun, aku fikir sedikit sebanyak memang ada tangan ghaib milik jembalang yang telah memusnahkan era gemilang 10 tahun PBNS itu.

Selamat kembali ke Liga Super 2015 buat PBNS. Itu pun jika ada niat untuk berubah. Jika tak mahu berubah, POKOK DEK KAULAH!.
Jika ko pikir ko buleh masuk syurga dengan caro menyusahkan orang lain, teruskanlah caro ko tu. ADO AKU KESAH?

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH