Jumlah Paparan Halaman

22.8.11

MENCARI LAILATULQADAR.....

Tahun 1980;
Al-kisah di sebuah kampung bernama Temau, terdapatlah seorang pemuda yang bernama Abu. Nak katakan warak, tidaklah sangat. Tetapi, kerana duduk di kampung dan tidak dicemari sebarang gejala sosial, maka Abu ini bolehlah dikatakan calon menantu idaman sekampung.

Resmi anak muda, Abu telah jatuh hati dengan seorang anak dara kampung berkenaan. Katalah Miss X namanya. Boleh tahanlah paras rupa dan tingkah lakunya. Disukai kawan dan dicemburi lawan. Begitulah situasinya.

Semasa ramadhan. Abu dan Miss X berkenaan tidak pernah lekang daripada berulang ke masjid. Untuk bertarawikh, katanya. Semasa itu, kampung berkenaan masih belum diterangi lampu jalan walau pun bekalan elektrik telah sampai ke kampung berkenaan. Untuk ke masjid, terpaksalah berjalan kaki menggunakan lampu suluh [orang Negeri Sembilan kata lampu celait].

Akhirnya, pada 10 malam terakhir ramadhan tahun berkenaan, Abu memaklumkan kepada keluarganya dia tidak akan pulang ke rumah. Semuanya kerana niatnya ingin mencari Lailatulqadar. Amat sukalah hati kedua orangtuanya mendengar cita - cita Abu tu. Ialah, yang tua pun belum tentu gigih mencari lailatulqadar, inikan pula yang muda. Maka dihebohkan kepada semua orang kampung akan niat suci Abu berkenaan. Mencurah - curahlah ucapan tahniah dan syabas diterima oleh Abu dan kedua orangtuanya, sementelahan pula lokasi beramal Abu bukan di masjid, tetapi di sebuah surau lama di hujung kampung berkenaan.

Menjelang sahur terakhir tahun berkenaan, heboh dan riuhgegerlah di halaman rumah orangtua Abu. Tanpa siapa menduga dan percaya, Abu telah ditangkap basah pada dinihari itu. Pasangannya tidak lain dan tidak bukan, adalah anak dara kampung pujaannya, Miss X, yang nama sebenarnya adalah LAILATUL BINTI QADAR.

Rupa - rupanya, projek Abu mencari lailatulqadar di surau lama itu, hanyalah helahnya semata - mata. Projek sebenarnya adalah setiap malam bersama kekasihnya si Lailatul anak Qadar di surau itu selepas bersolat tarawikh di masjid.

Dipendekkan cerita, selepas solat sunat aidilfitri tahun berkenaan, Abu dan Lailatul pun diijabkabulkan dan disahkan sebagai suami dan isteri oleh imam kampung berkenaan. Tahniah Abu kerana benar - benar mendapat LAILATUL bt. QADAR pada tahun itu.

CUIT SIKIT:

Moral of the story, janganlah percayakan anak anda, terutamanya apabila dia menyatakan mahu melakukan sesuatu yang jarang - jarang dilakukannya. Mana tahu, mungkin ada UDANG DI SEBALIK MEE.

Tahukah di mana dan apa yang anak anda lakukan sekarang?

Nota Kaki:

Kisah di atas adalah hayalan aku semata - mata. Tiada kena mengena dengan mana - mana individu samada yang masih hidup atau masih berada di alam kubur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MyBis

MOYANG AKU PESAN....

wahai anak cucu cicit piut sekelian... TAK BERUBAH : PADAH